Bab 7 Penyesalan

6.4K 507 272
                                    


TERINGATKAN ibu dan abah di kampung, aku pantas mencari telefon bimbitku. Aku perlu memaklumkan pada ibu yang aku dah sedar daripada koma. Aku takut ibu risaukan aku. Dah enam bulan aku koma di hospital. Mungkin ibu dan abah tak tahu apa-apa tentang aku. Tentu mereka risau setengah mati.

Tapi di mana telefon bimbitku? Tak pastilah di mana aku simpan harta kesayangan aku tu. Seingatku, dimalam kejadian kemalangan itu, aku membawanya bersama. Mungkin kini masih berada di dalam beg tanganku.

"Nara cari apa?" Mak bertanya bila melihat kepalaku terpusing-pusing. Sekejap aku pandang ke kanan kemudian beralih ke almari kecil di tepi katil.

"Nara cari handbag Nara. Mak nampak tak?" Aku tak memandang muka mak. Sibuk membuka almari kecil, mencari beg tanganku.

"Mak simpan handbag Nara kat rumah. Doktor suruh simpankan. Doktor kata, takut jadi apa-apa kalau simpan kat sini. Nara nak cari apa kat dalam handbag tu?"

"Nara cari handphone Nara. Nara nak call ibu. Nak beritahu ibu yang Nara dah sedar." Aku sangat merindui ibu dan abah. Aku mahu mereka datang menziarahiku di sini. Aku masih belum mampu pulang ke kampung menjenguk mereka berdua dalam keadaan aku yang begini.

Mak tak menjawab. Wajah mak nampak sayu. Tak habis-habis lagi ke mak risaukan aku? Aku dah dapat terima semua dugaan ini. Mak tak perlu susah hati kerana aku.

"Nara...ibu dan abah Nara dah tak ada." Air mata mak menitis.

Ibu dan abah dah tak ada? Bibirku terketar-ketar. Apa maksud mak tadi? Minda aku tak dapat mencerna sepenuhnya kata-kata mak. Wajah mak aku pandang tepat. Menghantar pertanyaan.

"Ibu dan abah Nara dah meninggal dunia. Seminggu lepas Nara koma, ibu Nara jatuh sakit. Terkejut dengar Nara masuk hospital. Lepas tu abah Nara pulak meninggal. Sakit angin ahmar." Mak menjelaskan sambil menepuk lembut lenganku.

Tiada suara terlontar dari bibirku. Aku terkedu. Menerima banyak berita duka dalam suatu masa membuat aku terdiam macam patung. Terkejut sangat.

"Baru lagi abah Nara meninggal. Kalau tak silap mak, dua bulan lepas." Mak menyambung cerita.

Aku cuba menahan tangis. Namun sekuat mana pun aku menahan, gugur lagi air mataku. Teresak-esak aku menangis.

Selama ini aku menyangka abah akan pergi dulu daripada ibu sebab abah memang dah lama menghidap sakit angin ahmar. Tapi tak sangka pula ibu dan abah pergi serentak meninggalkan aku keseorangan.

Nafas aku tarik dalam. Air mata yang masih belum kering aku sapu dengan hujung jari. Kini aku sendirian menongkah arus. Tanpa abah. Tanpa ibu. Tanpa suami yang sebelum ini berjanji akan menjaga aku sampai maut memisahkan kami. Kini aku hidup sebatang kara. Mampukah aku melangkah gagah seperti sebelum ini? Aku tak pasti. Namun mampu atau tak, hidup ini harus diteruskan. Selagi hayat ini masih ada.

"Dah...Nara jangan sedih-sedih. Tabah ya?" Mak peluk aku ketat-ketat. Mungkin mahu membangkitkan semangat aku yang kian pudar. Aku rasa selamat dalam pelukan kasih mak.

"Abang Jaz dah ceraikan Nara, mak." Aku ketap bibir sambil membalas pelukan mak.

Aku tak pasti samada mak tahu atau tak aku bukan menantunya lagi. Di malam Jazlan melafazkan talak ke atasku, aku tak sempat memberitahu sesiapa. Bagi pihak Jazlan pula aku tak pasti. Tapi mestilah dia dah pukul canang kepada semua orang yang dia dah ceraikan aku. Bukan ke dia dah tak sabar-sabar nak berkahwin dengan buah hatinya tu?

"Mak tahu, Nara. Jaz dah beritahu mak." Mak melepaskan pelukan di tubuhku. Wajah mak nampak sayu.

"Dia nak kahwin lain, mak. Nara dah beri keizinan untuk dia kahwin lain. Tapi dia tetap ceraikan Nara." Aku tak dapat menahan tangis . Basah lagi mata aku yang dah mula kering.

GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now