Bab 14 Kerja Baru

5.6K 464 222
                                    


"RUMAH Nara tak jauh dari lif. Memang mak carikan rumah yang selesa sikit untuk Nara."

"Terima kasih, mak." Terharu sungguh aku dengan kebaikan mak. Memang rezeki aku punya mentua sebaik mak dan aku rasa sangat bersyukur.

Keluar dari lif, mak tunjukkan arah ke rumah aku. Letaknya memang betul-betul di sebelah lif. Syukurlah. Taklah penat nak mengangkut semua harta karun kepunyaanku ini.

Mak buka pintu gril dengan kunci di tangannya. Aku tarik nafas lega sebaik menjejakkan kaki di dalam rumah. Luasnya taklah sebesar mana tapi cukuplah untuk aku yang tinggal seorang. Bagi aku, lebih baik tinggal di rumah kecil yang bersih dan kemas daripada tinggal di rumah besar yang 'semak samun'. Aku berazam mahu menghias rumah ini cantik-cantik agar aku rasa selesa tinggal di sini.

Selesai mengemas apa yang patut, mak mengajak aku duduk di sofa.

"Ada perkara yang mak nak bincangkan dengan Nara." Mak memulakan bicaranya.

Aku tak berbunyi. Penuh sabar menunggu bicara mak.

"Mak dah carikan kerja untuk Nara." Mak pegang tangan aku dan digenggamnya erat.

Bulat mataku merenung muka mak. Cepatnya mak carikan aku kerja. Aku belum sempat membuka mulut, mak dah bertindak dahulu.

"Tapi...tak tahulah Nara setuju atau tak kerja kat situ." Mak menyuarakan kebimbangannya.

"Nara tak kisah kerja kat mana-mana, mak." Keningku berkerut. Hairan dengan kata-kata mak.

Kenapa pula aku tak bersetuju? Aku bukan memilih kerja. Aku tahu aku ini bukannya berpelajaran tinggi. Asalkan kerjanya halal dan sesuai dengan kudratku sebagai seorang perempuan, aku dah cukup berpuas hati.

"Semalam Puan Yasmin ada call mak."

Senyap aku dengar nama Auntie Yasmin disebut mak. Ada hal apa Auntie Yasmin menelefon mak?

"Puan Yasmin nak Nara kerja di rumah Dr Haq. Jadi maid dan pengasuh cucunya." Mak dah tak mahu berteka teki. Terus kepada inti bicaranya.

Kening aku bertaut. Mulut melopong. Jadi pembantu di rumah anaknya? Menjadi pengasuh Dazrin?

"Nara setuju tak? Kalau tak setuju tak apa. Nanti mak call cakap Nara tak setuju." Bila nampak aku termenung panjang, mak tenangkan hatiku dengan kata-kata pujukan.

"Cucu Auntie Yasmin tu Dazrin ke, mak?" Aku inginkan kepastian.

"Ya. Nara kenal ke? Pernah jumpa dia?" Kening mak ternaik.

"Ha'ah...Nara pernah jumpa Dazrin. "

Terbayangkan wajah comel Dazrin, hatiku melonjak. Jika menjadi pengasuh Dazrin, aku bersetuju sangat. Aku suka kalau dapat bersama Dazrin. Tapi...

"Yang tawarkan kerja pada Nara ni Auntie Yasmin atau Dr Haq?" Lambat-lambat aku tanyakan soalan itu kepada mak.

"Kalau ikutkan cakap Puan Yasmin semalam, Dr Haq tak tahu pun pasal ni. Puan Yasmin tahu Nara tengah cari kerja sebab tu dia tawarkan Nara jadi maid di rumah anaknya tu. Katanya, cucu dia tu nampak suka pada Nara. Pertama kali jumpa Nara dah jadi rapat." Senyuman mak merekah memandang aku.

Aku pun dah jatuh sayang kepada cucunya. Aku nak sangat jadi pengasuh Dazrin tapi ada perkara yang membimbangkan aku. Haq bukannya suka sangat kepada aku. Menurut kata mak tadi, Haq tak tahu pun aku akan jadi pengasuh anaknya. Mesti dia terkejut bila nampak aku muncul di rumahnya.

Tambahan lagi, tak janggal ke bila aku bekerja di rumahnya? Dahlah dia tu seorang duda dan aku pula janda. Zaman sekarang ini orang cepat berandaian yang bukan-bukan walaupun sebenarnya kami tak buat apa-apa kesalahan.

"Selama ni kalau Dr Haq kerja shif siang, dia akan hantar anaknya ke taska. Petang atau malam baru Dr Haq ambil. Kalau kerja shif malam atau kena on call, dia akan tumpangkan anaknya di rumah maknya. Tapi itulah...kasihan pada anaknya terpaksa tinggal berjam-jam kat taska. Waktu siang Puan Yasmin tak boleh jaga cucunya sebab dia bekerja. Sebab tu, dia nak ambil pengasuh untuk jaga cucunya tu." Mak menyambung penjelasan bila nampak aku tak bereaksi.

Aku berjeda. Aku tahu pasal kehidupan Haq sebab aku pernah mendengar perbualan dia dengan maknya sewaktu mereka datang melawat aku. Tapi...masalahnya sekarang, aku berat hati nak bekerja di rumah Haq. Sebab utama, dia bencikan aku. Sebab kedua pula tentang status kami. Aku enggan menggadaikan ketenanganku dengan berhadapan umpat keji orang. Tak sanggup!

"Nara rasa...tak elok Nara kerja kat rumah Dr Haq." Aku cakap lembut-lembut dengan mak. Aku tak mahu mak berkecil hati jika aku menolak cadangan mak dengan kasar..

"Kenapa pula tak elok?" Muka mak berkerut.

"Yalah...Nara ni janda dan dia duda. Apa orang akan cakap kalau nampak Nara kat rumah Dr Haq? Mak fahamkan maksud Nara?" Aku memandang mak sebentar kemudian tunduk memandang meja.

Mak ketawa kecil kemudian menggeleng kepala. "Nara takut orang mengatalah ni ya?"

Aku tak menjawab. Tak perlu berkata apa-apa. Mak yang lebih dahulu makan garam daripada aku tentu dapat menebak maksudnya.

"Maksud Puan Yasmin tu, dia nak Nara kerja di rumah Dr Haq waktu Dr Haq kerja siang. Kalau kerja shif malam, Dr Haq akan hantar anaknya ke rumah Puan Yasmin macam biasa. Nara tak perlu tinggal kat rumah Dr Haq. Takkanlah Puan Yasmin nak suruh Nara tinggal kat rumah anaknya? Dia pun faham keadaan Nara."

Penjelasan mak melegakan perasaan aku tapi hatiku masih berbelah bahagi. Aku berjeda. Masih tak mampu membuat keputusan.

"Nara cuba dulu kerja kat situ. Kalau rasa tak selesa, Nara resign. Sementara tu Nara cuba juga cari kerja lain. Dapat kerja lain nanti, berhentilah kerja kat situ."

"Nantilah Nara fikir dulu." Nafas panjang kuhela. Berat hati nak bersetuju dengan cadangan mak. Jika aku terus menolak, berkecil hati pula mak nanti.

Tapi...kata-kata mak ada betulnya. Apa salahnya jika aku bekerja sementara di situ? Dapat kerja lain nanti, aku berhentilah. Daripada duduk 'menanam anggur', dapat juga aku duit setiap bulan. Tapi macam mana dengan Haq? Ikhlaskah dia mengambil aku bekerja di rumahnya?

Untuk sementara waktu ini aku akan tebalkan muka bekerja di rumah Haq. Harap-haraplah aku tahan bekerja di situ, sebelum aku dapat kerja baharu yang lebih stabil. Akhirnya aku membuat keputusan begitu. 




GERIMIS (Terbit)Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ