Bab 6 Koma

5.9K 478 122
                                    


PERLAHAN-LAHAN aku membuka mata. Persekitaranku nampak berbalam. Kelopak mata aku kerdipkan berulangkali sebelum pandanganku mengitari sekitar ruang. Di mana aku berada sekarang? Aku pandang tiub yang menyucuk lenganku dan beberapa peralatan lain yang mengelilingi katil tempat aku terbaring. Aku berada di hospital?

"Nara dah sedar! Alhamdulillah..."

Aku terdengar suara lembut menegurku. Terus aku palingkan muka. Seorang wanita pertengahan umur melangkah pantas mendekatiku. Aku renung tepat wajahnya. Akalku bekerja keras cuba mengingati wajah itu. Rasa macam ingat-ingat lupa. Menatap wajahnya yang keibuan aku rasa selesa. Rasanya dulu aku sangat rapat dengan dia. Tapi, siapa ya?

"Nara...ni mak. Nara ingat mak?" Bila nampak aku terpinga-pinga, wanita itu memperkenalkan diri. Tanganku yang terletak di sisi katil, dipegangnya lembut.

Mak? Kening aku berkerut. Dia bukan mak aku. Aku ingat muka mak kandung aku. Aku tak panggil mak aku mak tapi aku panggil ibu. Dah sah wanita ini bukan ibu aku.

"Nara...ni mak. Mak mentua Nara. Nara ingat tak?"

Mak mentua? Aku dah berkahwin? Dengan siapa? Minda aku diasak soalan bertalu-talu. Ingatan aku tenggelam timbul. Mungkin aku terlantar lama di katil hospital sehingga aku payah nak mengingati suami dan perkahwinan aku.

Wajah wanita yang membahasakan dirinya sebagai mak itu nampak sedih. Dia bangun memicit butang di atas kepala katil. Tak lama kemudian seorang jururawat datang mendekatiku.

"Alhamdulillah...puan dah sedar."

Seorang jururawat manis menyapa aku. Tanganku diangkat dan pergelangan tanganku ditekan dengan ibu jari. Denyutan nadiku diperiksa dan bacaannya dicatat dalam observation chart yang tergantung di hujung katil. Lega aku bila tiub yang terpasang di lenganku ditanggalkan.

"Nadi puan okey. Sekejap lagi doktor akan datang check keadaan puan. Puan boleh tanya apa-apa pada doktor nanti."

Aku mengangguk lemah. Selepas jururawat tadi keluar, aku mengalihkan pandangan ke wajah 'mak mentuaku'.

"Dah enam bulan Nara koma. Nara tak ingat apa-apa ke pasal accident malam tu?" Sayu renungannya melekat di mukaku.

Aku berjeda. Dah enam bulan aku koma? Dahiku berkerut seribu. Patutlah macam dah lama sangat aku terlantar di atas katil. Badanku terasa sengal semacam.

Aku cuba mengingati kemalangan yang menimpaku enam bulan lalu. Sesaat. Dua saat. Tiga saat aku mengerah otak. Akhirnya, bilah-bilah kenangan berbalam-balam menjengah kotak memoriku.

Wajah seorang lelaki sederhana tinggi dan berkumis nipis pantas menjengah Malam itu hujan gerimis. Aku menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. Apa yang aku ingat malam itu aku menangis kerana terlalu sedih. Sebab apa ya? Aku cuba mengimbas memori yang tenggelam timbul di mindaku.

Wajah Jazlan. Barulah aku ingat peristiwa yang terjadi malam itu. Sebelum kemalangan itu, aku telah diceraikan Jazlan dengan talak satu. Aku sekarang sudah bergelar janda!

Air mataku merembes. Aku dah dapat ingat semua kejadian itu. Punca perceraian aku. Pergaduhan aku dengan Jazlan. Wafa. Gambar-gambar yang dihantar Wafa. Layanan Jazlan terhadap aku sepanjang tiga bulan terakhir perkahwinan kami. Anak dalam rahim aku. Aku ingat semuanya!

"Mak..." Tak dapat menahan pilu aku mengongoi.

"Dah...jangan sedih-sedih, sayang. Nara baru je sedar." Mak memeluk tubuh aku. Kepalaku dipaut dan diletakkan di bahunya.

Aku tumpahkan tangisan semahu-mahunya. Kesedihan yang aku rasai enam bulan lalu bagai tak mahu lenyap. Mungkin ketika itu aku tak jumpa seseorang untuk aku tumpangkan kesedihan ini. Bila dah jumpa barulah aku dapat menangis semahu-mahunya.

Sepantas kilat aku meraba perut. Aku teringatkan bayi dalam kandunganku. Ketika kejadian ngeri itu berlaku, usia kandunganku baru mencecah tujuh minggu. Tapi kini....

"Mak....anak Nara..."

"Dahlah, sayang. Jangan fikir lagi pasal anak Nara tu. Dah tak ada rezeki Nara. Nara boleh cuba lagi nanti." Mak sendiri tak dapat menahan pilu. Pantas muka aku dipautnya. Dahi dan pipiku diciumnya bertalu-talu. Air mata di pipinya bercampur baur dengan air mataku.

Esakan aku meninggi. Memang dah tiada rezeki aku untuk memiliki anak. Aku reda. Mak kata aku boleh cuba dapatkan anak lagi. Aku nak cuba dengan siapa? Jazlan dah buang aku. Mungkin aku boleh dapatkan zuriat jika aku berkahwin lagi. Tapi, nak memikirkan pasal jodoh lain pun aku ngeri. Aku takut peristiwa lama berulang kembali.

"Menangis puas-puas, sayang. Lepas ni Nara kena berhenti menangis. Lupakan semua kesedihan. Bangkit dan mulakan hidup baru." Mak memujuk.

Aku tak menyahut. Gerimis yang memercik di pipi aku kesat dengan hujung lengan uniform pesakit. Tak tahulah boleh atau tak aku bangkit dan lupakan kesedihan ini. Tapi aku akan cuba. Aku kena jadi kuat. Bukan untuk siapa-siapa tapi untuk diri aku juga.

Pintu bilik terbuka dan masuk seorang perempuan berjubah putih. Dari tanda nama di dadanya aku tahu dia doktor yang merawatku. Nurul Asyikin namanya. Senyuman manisnya ketika menyapaku membuat hatiku senyaman salju.

Dr Nurul Asyikin memeriksa degupan jantungku. Setelah berpuas hati dengan keadaan kesihatanku, dia fokuskan perhatiannya ke wajahku pula.

"Dah enam bulan puan koma. Puan ingat tak kemalangan yang menimpa puan?"

Aku mengangguk. Nak tak nak aku kena ingat juga kejadian ngeri itu walaupun aku tak mahu.

"Baguslah kalau puan ingat. Maknanya puan tak mengalami memory impairment atau kerosakan memori sekurang-kurangnya untuk kejadian sebelum berlakunya kemalangan. Kami perlu buat beberapa ujian untuk memastikannya. Sesetengah orang yang mengalami kejadian yang sama kehilangan sesetengah memori dalam hidup mereka. Jadi saya tak nak puan rasa panik jika perkara tu berlaku pada puan." Doktor Nurul Asyikin menjelaskan impak kemalangan yang mungkin menimpa aku.

Aku mengangguk lagi. Aku memahami serba sedikit apa yang cuba dijelaskan oleh doktor muda ini.

"Kami kena tahan puan di sini beberapa hari lagi untuk buat beberapa ujian tentang tahap kesihatan puan. Bila tak ada apa-apa masalah puan boleh discharge beberapa hari lagi."

Aku diam tanda akur dengan penjelasan Doktor Nurul Asyikin. Harap-haraplah kesihatan aku memuaskan. Tak sabar aku nak keluar dari hospital dan mulakan hidup baru.

"Puan rehatlah ya? Kalau ada apa-apa masalah, puan tekan je button kat dinding tu. Nanti nurse akan datang bantu puan." Selepas berpesan begitu, Dr Nurul Asyikin keluar dari bilik.

Aku pejamkan mata. Sisa-sisa air jernih di pipi, aku usap dengan ibu jari. Aku bimbangkan masa depanku. Aku kini bergelar janda. Aku tak bekerja. Kerja apa yang boleh aku buat untuk menyara hidupku? Mungkin aku patut bekerja kilang macam dulu. Itu saja pekerjaan yang sesuai untuk aku yang tak berpelajaran tinggi ini.

Mujur aku tiada anak dengan Jazlan. Kiranya itu juga satu rahmat buat aku. Kalau tak, banyak lagi yang perlu aku fikirkan. Bukan saja tentang diri aku. Malah zuriat aku juga.

"Nara...jangan sedih-sedih ya? Mak sentiasa ada di sisi Nara. Apa-apa masalah Nara boleh beritahu mak." Mak memeluk bahuku. Mata mak basah. Mak turut menangisi nasib buruk yang menimpa aku, menantunya.

Tiada jawapan yang mampu aku berikan. Tak terdaya aku nak membalas kata-kata mak. Apa yang berada dalam hatiku, biar aku sendiri yang menanggungnya. Aku perlukan masa dan ketenangan untuk menghadamkan semua ini.

Bagilah aku masa. Biarpun lambat aku akan bangkit dari kegagalan dan rasa putus asa ini. Insyaa-Allah.


GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now