Mak berjeda. Air mata yang mengalir di pipi aku, mak usap lembut.

"Mak tahu semua pasal tu, sayang. Walau apa pun yang terjadi antara Nara dan Jaz, mak tetap anggap Nara menantu mak. Kalau ada apa-apa masalah, Nara terus beritahu mak. Jangan simpan je."

Kelu bibir aku mahu membalas. Memang kepada maklah tempat aku meluahkan segala rasa. Siapa lagi yang aku ada selain mak? Kalau mak juga membuang aku, tiada lagi tempat untuk aku mengadu.

"Cuma...mak nak tanya Nara sikit." Tepat mak memandang muka aku.

Aku hanya mengangguk tanda mengiakan.

"Kenapa Nara tak beritahu Jaz yang Nara mengandung? Kalau Nara bagitahu mungkin Jaz tak akan ceraikan Nara dan musibah ni tak berlaku." Mak mengusap lenganku seakan memberi kekuatan.

"Nara tak fikir macam tu, mak. Tak ada bezanya kalau Nara bagitahu atau tak. Dia memang berniat nak ceraikan Nara." Aku menyanggah.

Otakku kembali kepada kenangan enam bulan lalu. Mungkin kata-kata mak ada benarnya. Tapi, mungkinkah Jazlan takkan ceraikan aku jika tahu aku hamil? Tak. Aku tak yakin perkahwinan kami dapat diselamatkan. Beritahu atau tak, Jazlan tetap akan melepaskan aku. Bukan ke itu yang Wafa mahukan? Jazlan hanya mengikut telunjuk si penyondol itu. Walau apa pun alasannya, aku tetap akan diceraikan dan itu takdir untuk aku.

"Tak apalah Nara. Perkara dah jadi. Mak balik dulu, Nara. Insya-Allah petang atau malam ni mak datang lagi." Selepas merungkaikan pelukan, mak bangun dari katil.

"Ya, mak." Aku mengangguk.

"Ada apa-apa yang Nara nak suruh mak bawakkan? Mana tahu Nara teringin nak makan apa-apa. Datang nanti mak bawak sekali."

Aku tersenyum kemudian menggeleng kepala. Kalau ikutkan tekak aku, memang banyak makanan yang aku teringin nak makan. Maklumlah dah enam bulan aku terlantar di hospital. Tapi nanti-nantilah. Karang tak larat mak nak melayan selera aku.

"Mak pergi dulu ya? Jangan sedih-sedih lagi." Tak henti-henti mak menasihati aku.

Senyuman pahit aku hadiahkan untuk mak. Tak mungkin nasihat mak aku turuti. Tiada ubat yang mampu menyembuhkan luka di hati ini. Mungkin masa dapat mengubati segalanya. Hanya itu yang aku pinta sebelum bayang mak menghilang di balik tirai yang menabiri katilku.

SETENGAH jam selepas mak pergi, tirai yang melindungi katil aku diselak dari luar. Aku yang baru nak terlelap, spontan membuka mata. Mengecil mataku melihat Jazlan berdiri di depanku. Di sisinya, seorang wanita sedang memeluk erat lengan Jazlan. Tak payah menunggu Jazlan memperkenalkannya kepadaku, aku dah dapat mengagak siapa perempuan itu. Aku masih ingat gambar-gambar yang perempuan tu hantar kepadaku sebelum aku ditimpa kemalangan.

Kenapa mereka datang ke sini? Hatiku memberontak. Jika tujuan Jazlan datang hanya mahu membubuh garam di lukaku ni, baik tak payah. Perempuan tu pula macam nak tunjuk lagak depan aku yang bekas suamiku kini dah jadi milik dia.

Ambillah. Aku dah lepaskan Jazlan dari hati aku. Tiada lagi kasih yang tersisa untuknya. Apa yang tinggal hanya memori. Kalaulah memori itu pun boleh dipadam dah lama aku genyeh-genyeh biar hilang terus dari ruang kepala aku.

"You keluar dulu. Tunggu I kat luar." Jazlan mengarahkan Wafa keluar.

Wafa macam tak nak ikut arahan Jazlan. Berkerut mukanya memandang muka bekas suamiku. Sorotan tajam dilemparkan ke arahku. Aku buat tak pandang. Menyampah aku nak tengok muka mereka berdua lama-lama.

Wafa beredar bila tak mampu melawan pandangan tajam Jazlan. Dia sempat mendengus kasar sebelum keluar. Dahi aku berkerut. Apa lagi yang perempuan ni tak puas hati? Aku dah lepaskan Jazlan untuk dia. Seharusnya dia berterima kasih kepadaku. Bukannya jadikan aku musuh dia.

Jazlan mendekati aku di atas katil. Aku langsung tak cuba untuk bangun walaupun aku mampu berbuat begitu. Aku ni bukannya penghidap sakit kronik sampai tak mampu bangun. Cuma, aku tak rasa Jazlan memerlukan layanan istimewa sampai aku perlu menghormati dia.

Kerusi yang terletak di sudut, Jazlan tarik dan letakkan di tepi katil. Dia duduk. Lama ditenungnya muka aku. Aku buat muka bersahaja tanda aku tak kisah dia datang. Aku dah tak rasa apa-apa melihat dia muncul di depan aku. Hati aku kosong. Sepi. Tak tahulah ke mana menghilangnya percikan cinta yang sebelum ini aku simpan untuk dia.

Aku tak sedar berapa lama kami diulit sepi. Tak pastilah mengapa Jazlan memilih untuk diam. Aku pun tak teringin untuk memulakan perbualan. Macam mana aku nak bercakap jika memandang muka dia pun aku tak sudi? Kalau dia marah dengan layanan aku lagi bagus. Biar dia cepat-cepat pergi dari sini.

"Nara....abang minta maaf...."

Terhambur bisikan maaf dari bibir Jazlan. Aku yang baru nak memusingkan badan untuk membelakangkan dia terus tak jadi bila terdengar suara esakan yang tertahan-tahan.

Jazlan menangis? Aku terdiam. Tanpa kata. Tanpa suara. 


GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now