Bab 2 Wafa

6.3K 367 123
                                    


BANGUN pagi. aku bersikap seperti biasa. Macam tak ada apa-apa berlaku malam tadi. Selepas mandi dan bersolat subuh, aku angkat bakul pakaian kotor dan turun ke tingkat bawah. Sementara menanti pakaian siap dicuci, aku sediakan sarapan pagi. Itu rutin aku setiap pagi sebelum Jazlan pergi kerja.

Aku capai seluar panjang yang dipakai Jazlan semalam dan seluk poketnya. Aku memang selalu periksa pakaian dia sebelum menyumbatnya ke dalam mesin basuh. Manalah tahu kalau-kalau di dalamnya ada kertas tisu atau duit siling. Karang kotor pula pakaian dicemari cebisan kertas tisu.

Puas hati kerana tiada apa-apa di dalam poket seluar, aku periksa pula poket baju kemejanya. Ketika itulah aku melihat ada tanda merah di bahagian atas poket baju kemeja Jazlan. Nampak macam kesan lipstik. Pantas aku angkat dan dekatkan ke hidung. Wangi! Ini bukan bau minyak wangi yang biasa Jazlan gunakan. Minyak wangi suamiku tak berbau lembut macam ni. Ni macam bau minyak wangi perempuan.

Hatiku berdebar. Menggeletar tanganku ketika memasukkan baju kemeja ke dalam mesin basuh. Aku cuba tenangkan diri dan alihkan fokus aku dengan menyediakan sarapan pagi. Namun, ketika meletakkan pinggan nasi goreng di atas meja, debaran di dadaku tetap tak mahu reda. Malah semakin kuat pula menghentam dada.

"Abang, sarapan." Nampak saja muka Jazlan menjengah dapur aku terus pelawa dia bersarapan. Aku cedok nasi goreng ke dalam pinggan dan letak di depannya bersama secawan kopi panas.

Jazlan yang dah lengkap berpakaian kemas menarik kerusi dan duduk. Menghidu bau minyak wanginya yang semerbak membuatkan aku teringatkan kesan lipstik di baju kemejanya. Terkumat kamit bibirku mahu bertanya namun sudahnya aku pendamkan niatku. Aku tak berani menanya dia. Takut mendengar jawapannya.

"Abang...hari ni abang balik lewat lagi?" Aku kuatkan hati membuka mulut.

"Hmm..."

Jazlan tak pandang muka aku. Tangan kanannya memegang sudu sementara tangan kiri sibuk membelek skrin telefon bimbit. Apa agaknya yang menarik di telefon bimbitnya? Nak saja aku rampas barang kesayangannya tapi aku masih mampu mengawal diri. Aku tak akan buat macam tu. Aku bukan jenis isteri yang suka memeriksa telefon bimbit suami. Namun, panjang juga leherku menjengah skrin telefon bimbitnya. Tajam matanya menjeling bila nampak aku terjenguk-jenguk mengintai.

"Hari ni tak payah masak banyak. Masak untuk awak aje. Abang memang balik lewat malam ni."

Aku mengangguk. Jazlan yang sudah selesai makan bangun dari kerusi. Pinggan bekas makannya ditinggalkan atas meja. Air kopi di dalam cawan hanya diteguk sedikit.

Pun begitu, hati aku lapang bila dia tak lagi bercakap kasar denganku. Nada suaranya sudah kembali lembut. Panggilan untuk aku pun dah kembali jadi awak. Bukan kau macam malam tadi. Bermakna, marahnya malam tadi tak berlanjutan hingga ke pagi. Leganya hati aku.

Aku mengikuti langkah Jazlan ke ruang tamu. Setelah dia siap menyarung stoking, aku hulurkan briefcase. Dia mencapainya dan melangkah ke pintu. Enjin kereta dihidupkan. Tiada ucapan selamat tinggal dan kucupan mesra di pipiku macam dulu. Dah hampir tiga bulan dia berhenti melakukannya. Aku pun tak tahu mengapa. Tiba-tiba saja dia berubah laku dan membuatkan hatiku tertanya-tanya apa puncanya terjadi semua itu.

Tangan kulambaikan bila melihat kereta Jazlan keluar dari porch. Biarpun suamiku langsung tak menoleh, aku tetap buat begitu. Ia dah jadi rutin aku selama lima tahun bergelar isteri. Susah aku nak buang perkara yang dah sebati dalam diriku. Aku masih macam dulu. Hanya suamiku yang berubah. Itu yang aku perasan.

Aku tutup pintu, menguncinya dan teruskan rutin sebagai seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Mengemas dapur, ruang tamu, mencuci tandas dan mengemop lantai. Pakaian di dalam mesin basuh aku keluarkan dan sidai di ampaian. Kemudian aku naik ke tingkat atas. Aku keluarkan dua tiga helai pakaian Jazlan dari almari dan menggosoknya. Siap semuanya, aku gantung semula di dalam almari.

Aku turun ke dapur semula bila selesai tugas di tingkat atas. Barulah aku berselera nak makan bila semuanya sudah selesai. Aku ambil pinggan dan cedok sedikit nasi goreng. Air kopi di dalam teko aku tolak ke tepi. Ketika hamil ini aku bertekad untuk 'bercuti' minum kopi biarpun ianya agak sukar. Doktor sudah menasihatkan aku untuk menghindari minuman berkafein ketika hamil. Sekarang aku akan paksa tekakku untuk minum susu.

Huh...bau susu saja dah buat tekak aku mual. Macam mana aku nak habiskan segelas? Tapi nak tak nak aku kena habiskan juga. Tak lama mana pun aku tersiksa kerana tak dapat minum kopi. Selepas bersalin nanti aku akan bedal cukup-cukup.

Aku tengah berkira-kira mahu mencurahkan susu ke dalam singki ketika telefon bimbitku berbunyi. Gelas di tangan aku letak di atas meja kemudian bangun mengambil telefon bimbit. Ada mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp. Aku periksa nombornya. Ia bukan dari senarai kenalan aku. Siapa agaknya? Hatiku rasa cuak.

Sebaik mesej itu ditekan, berlumba-lumba gambar menjengah skrin. Semuanya gambar mesra suamiku bersama seorang wanita! Gambar mereka sedang makan, sedang duduk bersama, sedang ketawa mesra malah sedang berpelukan pun ada. Aku terkedu. Siapa perempuan ni? Apa hubungan dia dengan suamiku?

Menggeletar tanganku membaca baris-baris ayat yang dihantar si pengirim. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Wafa. Seorang janda muda beranak dua. Panjang Wafa bercerita tentang hubungannya dengan Jazlan.

Menurutnya, dah tiga bulan mereka bercinta. Mereka kerap menghabiskan masa berdua dengan menonton wayang dan membeli-belah. Hampir setiap malam Jazlan 'melepak' di rumahnya.

Wafa menjelaskan yang baru-baru ini Jazlan ada melamarnya. Dia belum memberi kata putus kerana tahu Jazlan dah beristeri. Kalau boleh dia tak mahu berkongsi kasih. Akhir sekali, Wafa sempat memohon maaf kerana terlanjur menyayangi suamiku.

Terlepas telefon bimbit dari tanganku. Sesak dadaku membacanya. Betullah sangkaanku selama ini yang Jazlan berlaku curang. Patutlah beberapa bulan kebelakangan ini susah sangat nak tengok Jazlan menghabiskan masa di rumah. Mana taknya? Ada rumah lain tempat Jazlan memenuhi masa terluang. Isteri yang sah tak dihiraukan tapi perempuan lain dilayannya macam permaisuri. Hatiku sebak. Air mataku mula bergenang.

Sampainya hati Jazlan buat aku macam ni. Lima tahun aku meredah onak dan duri bersamanya. Itu belum dihitung waktu aku bercinta dengannya. Aku habiskan usia mudaku sampai sekarang hanya dengan Jazlan. Hidupku hanya berlegar di sekeliling dia. Aku taat kepadanya. Tak pernah sekali pun cakapnya kubantah. Memang hidup kami ada kekurangan tapi selama lima tahun ini kami baik-baik saja.

Aku sukar hamil namun tak pernah terlintas di fikiranku, Jazlan akan menjadikan kekuranganku itu sebagai alasan untuk berlaku curang. Jazlan bukan tak tahu hukum agama. Solat dan puasanya terjaga. Malah bila berada di rumah, Jazlan selalu mengamalkan solat-solat sunat. Tapi aku tak faham mengapa dia sanggup membuang segala amalan baik itu kerana nafsu. Kalau dah asyik berkepit dengan perempuan yang bukan mahram, boleh percaya ke mereka tak berbuat apa-apa? Tak. Aku tak percaya. Mustahil Jazlan yang normal mampu menahan keinginan lelakinya.

Aku bangun melangkah ke ruang tamu. Air mata yang menjejeh di pipi aku biarkan. Biarkan saja kesedihan ini tumpah semahu-mahunya. Aku tak berdaya menahan sebak. Kecewa sangat dengan Jazlan.

Perut yang masih kempis, aku gosok perlahan. Hilang sudah keterujaanku mahu menyampaikan berita kehamilan ini kepada Jazlan. Jika aku beritahu pun apa gunanya? Jazlan bukan peduli. Hatinya dah diikat si janda muda. Perempuan yang boleh beri dia anak berderet-deret macam gerabak keretapi. Dengan aku, nak dapat seorang pun terpaksa menunggu bertahun-tahun.

Sanggup ke aku berkongsi kasih dengan Wafa? Aku tak pasti. Apa yang aku tahu aku tak sanggup berpisah dengan Jazlan. Tak sanggup aku kehilangannya. Aku sangat sayangkan dia. Jazlan pun tahu itu. Mungkin sebab itulah dia mengambil kesempatan terhadapku. Dia tahu, tanpa dia aku bukan siapa-siapa.

Mengapa pengakhiran rumah tangga aku harus begini? Hatiku sebu. Aku tutup muka dengan tangan. Menangis tersedu-sedu. 



Bertabahlah baca pasal Jazlan ni ya. Sesiapa yang rasa-rasa nak sumbat Jazlan masuk dalam guni tu boleh inform author dulu. Kita buat sama-sama. 😅😅



GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now