Bila Jazlan habis belajar, kami terus berkahwin. Selepas berkahwin, Jazlan menyuruh aku berhenti kerja. Aku mengikut saja. Duniaku selepas itu hanya berputar di sekeliling Jazlan dan rumah tangga kami.

Selepas bersolat maghrib, aku panaskan lauk dan hidangkan di atas meja makan. Kemudian, aku ke ruang tamu dan hidupkan suis televisyen. Mataku terarah ke kaca televisyen namun otakku melayang teringatkan Jazlan.

Jam di dinding aku pandang. Waktu sudah pukul 10.00 malam namun Jazlan masih belum pulang. Makanan yang aku hidangkan dah lama sejuk. Perut aku pun dah mengaum kelaparan. Tengahari tadi aku cuma makan tiga keping roti bersapu mentega. Ingatkan, aku nak makan lebih sedikit bersama Jazlan malam ini. Tapi apa kan daya, batang hidung Jazlan pun tak nampak.

Sudahnya aku bangun menuju ke dapur. Aku capai pinggan dari rak dan menyenduk nasi. Dah tak sanggup aku menunggu Jazlan balik. Perutku asyik berbunyi sejak tadi. Bayi dalam perut aku ni pun dah lapar. Tak sanggup aku nak mendera anakku semata-mata mahu menunggu ayahnya pulang.

Selesai makan, Jazlan masih tak nampak muka. Jam di dinding dah berganjak ke pukul 11.00 malam. Aku periksa telefon bimbit kalau-kalau ada mesej yang masuk. Hampa. Mesej WhatsApp yang aku hantar petang tadi masih tak berbalas. Malah langsung tak dibaca.

Malas nak menghantar mesej yang lain, aku terus letak telefon bimbit di atas meja dan berbaring di atas sofa. Televisyen yang sedang menayangkan filem Inggeris aku biarkan terpasang. Lama kelamaan kelopak mataku memberat dan aku menguap berkali-kali. Aku tak berdaya menahan ngantuk. Aku terlena di sofa panjang.

"Nara...Nara....bangun!"

Aku terjaga dari lena bila terasa bahuku digoncang perlahan. Sebaik mata terbuka, aku lihat wajah Jazlan berkerut.

"Kenapa tidur kat sini? Nak tidur pergilah masuk bilik." Jazlan merungut.

Di tangannya terdapat briefcase dan tali leher berwarna coklat yang dipakainya pagi tadi. Walaupun pulang lewat, wajahnya tak nampak letih. Segar bugar saja. Berbau harum pula. Sempat lagi Jazlan menenyeh minyak wangi sebelum balik. Kata sibuk?

"Nara...tunggu abang balik."

Sambil bangun dari sofa aku rapikan ikatan rambutku yang berserabai. Sempat mataku melirik ke arah jam di dinding. Pukul 11.45 malam. Dah hampir tengah malam baru Jazlan teringat nak balik rumah?

"Tak payah tunggu. Kan dah tahu abang memang balik lambat?" Jazlan mendengus. Briefcase diletak di atas sofa. Butang bahagian atas baju kemejanya ditanggalkan.

"Nara tak tahu abang balik lambat. Nara ada hantar WhatsApp tapi abang tak balas." Aku lahirkan kekesalan. Jazlan bukan sekadar tak balas malah mesej yang aku hantar langsung tak dibaca.

"Abang sibuk. Tak sempat nak baca." Mudah sangat jawapan Jazlan.

"Tak apalah." Benda dah lepas. Tak guna aku merungut.

"Abang nak makan? Nara panaskan lauk dulu."

Bila tengok Jazlan bergerak ke dapur, aku kelam kabut. Mesti suamiku tengah lapar. Nampaknya aku kena hangatkan semula lauk yang dah sejuk. Barulah Jazlan berselera nak makan. Bab makan, suamiku memang cerewet. Dia tak akan jamah lauk yang dah sejuk. Lebih-lebih lagi jika lauk tu lebihan makanan semalam. Memang dia tak akan sentuh.

"Tak payah susah-susah. Abang dah makan tadi." Jazlan menegah.

"Tapi...Nara dah masak. Ingatkan abang balik awal. Tu yang Nara masak banyak lauk. Semua yang Nara masak ni lauk favourite abang." Aku buka penutup mangkuk casserole dan tunjukkan kepada Jazlan.

"Buat apa masak banyak-banyak? Membazir aje. Esok buang juga kan?" Suara Jazlan meninggi. Kuat dia mendengus. Tajam matanya menjeling aku.

"Err...Nara ingat abang balik..."

"Berapa kali aku nak terangkan yang aku banyak kerja? Lain kali kalau aku lambat balik tak payah tunggu aku dan tak payah hantar mesej suruh aku balik cepat. Memang aku sibuk. Dan tak payah masak banyak-banyak. Ni siapa yang nak makan semua makanan ni? Kau...kalau pasal habiskan duit aku memang pandai. Yalah...orang tak kerja. Duduk rumah goyang kaki. Cukup bulan dapat duit simpan bawah bantal." Jazlan berleter tak habis-habis.

Aku terdiam. Terkelip-kelip mataku merenung muka Jazlan. Tak sangka dia akan marah-marah macam ni. Sebelum ni tak pernah dia guna bahasa aku dan kau bila bercakap denganku. Mungkin dia letih sangat sampai terlepas kata-kata kasar dari mulutnya. Walaupun terasa hati, aku cuba berfikir positif.

Bila nampak aku terdiam, Jazlan melangkah ke mesin penapis air. Cepat-cepat aku melangkah ke kabinet di tepi dinding. Sebiji gelas aku ambil dan hulurkan kepadanya. Jazlan mengambil tanpa memandang aku. Nampaknya, marah Jazlan masih belum surut.

Silap aku juga berbuat sesuatu tanpa memberitahu dia. Duit yang aku guna untuk beli barang dapur tu memang duit dia. Tentulah dia mengamuk bila semua makanan ini bakal dihumban ke dalam tong sampah.

Tapi...sayang aku nak buang semua makanan ni. Penat aku memasaknya pagi tadi. Aku kena simpan semuanya di dalam peti sejuk dan pagi esok aku akan hangatkan semula. Tak mengapalah kalau Jazlan tak nak makan. Aku akan cuba habiskan selagi perut dan tekakku larat menelannya.

Selepas meneguk air sejuk, Jazlan letak gelas di dalam singki. Langkahnya diatur ke tangga. Aku kelam kabut. Aku kena beritahu Jazlan berita gembira yang aku terima pagi tadi. Nak menunggu esok, aku bimbang dia akan pulang lewat lagi. Bila lagi aku nak beritahu dia kalau bukan sekarang?

"Abang...ada hal penting Nara nak beritahu abang." Cepat-cepat aku tahan Jazlan daripada mendaki tangga. Aku sangat teruja mahu menyampaikan berita kehamilanku. Tak sabar aku nak tunggu reaksi ceria suamiku.

"Kau tak nampak ke aku tengah penat ni? Cakap esok je." Berkerut muka Jazlan menepis tanganku. Tanpa menoleh dia terus berlari mendaki anak-anak tangga meninggalkan aku termangu di tingkat bawah.

Aku garu kepala yang tak gatal. Pening melihat perangai suamiku. Drastik sangat perubahan sikapnya. Dulu, Jazlan tak macam ni. Dulu, Jazlan peramah dan penyayang. Beberapa minggu kebelakangan ini dia macam dah tak ambil peduli pasal aku. Apa yang aku buat sepanjang hari di rumah, dia tak pernah tanya. Kalau balik kerja, selalu buat hal sendiri. Telefon bimbit jangan cakaplah, memang tak berenggang langsung dari tangannya.

Memang sejak akhir-akhir ini kami kurang berkomunikasi. Mana nak datang komunikasi bila Jazlan sering saja pulang lewat malam? Cuti hujung minggu pun Jazlan tak pernah lekat di rumah. Ada saja aktivitinya. Out station, jumpa kawan-kawan atau temankan mak pergi pasar. Alasan yang kurang logik pada pendapat aku.

Kadang-kadang aku terfikir, mungkinkah Jazlan ada skandal dengan perempuan lain? Namun, sangkaan buruk itu dengan pantas aku tepis. Aku tak nak berfikir yang buruk-buruk tentang suamiku. Aku tak sanggup kehilangannya kerana aku sangat sayangkan dia. Tapi macam mana kalau ia betul-betul terjadi? Sanggup ke aku menghadapinya?

Tak...Jazlan tak akan sanggup menduakan aku. Dia sayangkan aku seperti aku sayangkan dia. Jazlan jadi macam ni kerana dia dah lama inginkan anak. Sekarang aku dah hamil. Bererti rumah tangga kami akan kembali berseri dengan kehadiran cahaya mata kami.

Jika esok Jazlan balik lewat lagi, macam mana aku nak beritahu dia tentang kehamilan ini? Mungkin aku perlu beritahu dia menerusi apikasi WhatsApp. Memang cara itu kurang berkesan kerana aku tak boleh tengok reaksi dia. Tapi, tak mengapalah. Sekurang-kurangnya, perasaanku lega bila berita yang sangat mustahak ini telah aku sampaikan. Tak sabarnya aku menunggu detik itu tiba. 






GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now