Bab 1 Hamil

14.5K 468 147
                                    


AKU melangkah ke arah motosikal yang kuparkir di seberang jalan. Senyumanku melebar. Aku baru saja keluar dari Klinik Obstetrik dan Ginekologi Mawar. Berita yang disampaikan Doktor Qistina tadi buat hatiku kembang. Terasa nak berteriak kuat-kuat di depan klinik tapi nanti orang kata aku gila pula.

Menurut Doktor Qistina, aku sedang hamil. Dah nak masuk tujuh minggu. Aku mencongak dalam kepala. Tujuh minggu bersamaan dengan sebulan lebih.

Dah hampir dua bulan aku hamil! Aku rasa macam nak melonjak. Tak terkata betapa bersyukurnya aku. Inilah rezeki yang sekian lama aku tunggu-tunggu. Empat tahun aku menanti dengan penuh sabar. Akhirnya Allah kabulkan doaku. Terima kasih Ya Allah!

Jazlan mesti gembira mendengarnya. Lebar sengihku teringatkan Jazlan. Dah lama sangat suamiku mengimpikan kehadiran seorang cahaya mata. Banyak kali dia mengeluh dan mengata aku tak mampu memberinya zuriat tapi aku diamkan saja. Kalau aku balas, dah tentu pergaduhan akan tercetus. Aku tak nak bergaduh dengan dia pasal anak. Jika Allah nak bagi kami rezeki, adalah. Lambat macam mana pun, apa yang penting kami kena sabar.

Selama lima tahun berkahwin, dah banyak kali dia tuduh aku mandul. Sekarang dah terbukti aku tak mandul. Aku sihat walafiat. Mungkin selama ini belum ada rezeki kami untuk punya cahaya mata. Sebab itu aku berusaha dengan berubat sana sini. Aku pergi berurut dan makan macam-macam pil yang diberi oleh doktor. Alhamdulillah...usaha aku membuahkan hasil. Aku rasa sangat beryukur.

Enjin motosikal aku hidupkan. Aku capai topi keledar dan sarungkan di kepala. Sebelum balik, aku bercadang nak singgah pasar, mencari barang dapur. Peti ais rumah aku dah kosong. Petang ni aku bercadang nak masak lauk ikan pari bakar cecah air asam dan masak lemak nanas campur ikan masin. Selain itu, aku akan sediakan juga puding jagung sebagai makanan pencuci mulut. Semua itu makanan kegemaran Jazlan.

Tentu Jazlan pelik melihat lauk malam ni berbeza daripada biasa. Ketika itulah aku akan peluk dia dan sampaikan berita gembira ni. Bijak tak cara aku memberi kejutan kepada suamiku? Angan-angan aku dah sampai ke bulan.

BALIK dari pasar, aku terus mandi dan bersolat zuhur. Kemudian aku terus ke dapur. Jazlan jarang-jarang pulang makan tengahari di rumah. Kalau balik pun awal-awal lagi dia dah maklumkan kepadaku . Justeru, aku lebih suka memasak di waktu petang. Tapi hari ini aku perlu sediakan banyak juadah. Sebab tu aku kena mula lebih awal. Takut nanti tak sempat siap.

Dua jam kemudian, aku selesai memasak. Aku terus ke ruang tamu dan rebahkah diri di atas sofa. Mata kupejamkan. Dapat melelapkan mata sekejap pun jadilah. Hilang letih nanti aku akan bangun dan menyambung kerja-kerja yang tertangguh.

Patutlah sejak akhir-akhir ini aku cepat letih. Rupa-rupanya perutku berisi. Aku raba perut yang belum ketara besarnya. Inilah buah cinta aku dan Jazlan. Permata yang aku nanti-nantikan sekian lama.

Pukul 6.30 petang aku dah siap mandi dan sabar menunggu Jazlan pulang. Selalunya, waktu macam ni dia dah balik. Tapi sejak dua tiga bulan kebelakangan ini, aku perasan dia kerap pulang lewat. Alasannya sama saja. Banyak kerja. Ya...aku faham dia sibuk. Sebab tu, aku tak pernah merungut. Aku bukan seorang isteri yang suka menyelidik macam-macam. Aku percayakan dia seratus peratus kerana dialah lelaki terbaik untuk aku. Satu-satunya lelaki yang sangat aku sayangi selain abah.

Aku dan Jazlan berkahwin ketika usia kami masih muda. Perkahwinan suka sama suka. Percintaan kami bermula di sekolah menengah. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Jazlan melanjutkan pelajaran ke universiti. Aku pula hanya bekerja di kilang. Bukan tak layak ke universiti tapi aku yang tak nak. Masa itu aku hanya ingat nak bekerja, kumpul duit dan kemudian berkahwin dengan Jazlan. Ibu dan abah pula tak mendesak. Samada aku sambung belajar atau tak, mereka tak kisah sangat.

GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now