Berubah garang wajah Datuk Johan. Dia menatap tajam muka isterinya.

"Akak, kenapa nak di sebut nama budak tu lagi. Dia memang dari dulu lagi bukan ada kaitan dengan kita."

"Kau diam, Piah." gertak Puan Latifah.

Kecut Datin Safiah jadinya. Tak pernah dia melihat wajah bengis kakak iparnya.

"Mak ngah, tak payahlah sebut pasal dia. Tengoklah, dia tak ada pun kita semua boleh bergaduh macam ni. Memang dari dulu dia tu bawa malang." Farah pula cuba menambah.

"Bila orang tua bercakap, jangan menyampuk. Adab kat mana?" Puan Latifah memarahi Farah pula.

Memang dia akan hamburkan segalanya sekarang. Lantaklah siapa yang nak terasa ke apa.

"Abang, saya hormat dan sayangkan abang. Dari dulu, saya hormati setiap keputusan abang. Tapi, bila abang buat keputusan untuk halau anak kita, hilang hormat saya pada keputusan abang tu.

Abang sibuk cakap pasal redha tapi abang sendiri tak redha dengan takdir Allah. Sibuk nak nasihat orang lain tapi diri sendiri pula tak nak nasihat." sindir Puan Latifah.

Berderau darah Datuk Johan.

"Kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Pah. Aku ni suami kau! Ingat sikit dosa pahala." tengking Datuk Johan.

"Saya tak nak kurang ajar, bang. Tapi sebab saya dah tak tahan. Saya rindukan anak kita. Setiap hari saya rindukan dia." suara Puan Latifah sedikit lirih.

"Dia bukan anak kita. Kau jangan lupa sampai bila-bila yang dia bukan anak kita!"

Puan Latifah sedikitpun tidak gentar mendengar tengkingan Datuk Johan. Baginya, cukuplah seandainya dapat meluahkan apa yang ada didalam hatinya.

"Dia anak kita, bang. Saya susukan kita. Abang orang yang pentingkan agama, takkan abang tak tahu hukum anak susuan?"

Datuk Johan terdiam. Soalan isterinya seperti menamparnya di muka.

"Kenapa abang diam? Hakikat yang Ani tu anak kita takkan boleh diubah sampai bila-bila. Tak kira abang atau sesiapa pun yang cuba menidakkan Ani, hakikat yang dia anak saya adalah tetap dan takkan berubah."

Datin Safiah mulai sedar perubahan wajah Datuk Johan. Dia pantas memandang Farah untuk cuba menarik perhatian.

"Sudahlah, pak ngah, mak ngah. Tak payahlah sebut pasal dia lagi. Sekarang ni, apa kita nak buat dengan masalah papa dan mama saya?" Farah cuba melarikan topik.

Puan Latifah memandang Farah dengan ekor mata. Dia menghelakan nafasnya.

"Kak ngah, janganlah pergi cakap pasal benda lain. Hal rumah tangga saya ni lagi penting. Apa patut saya buat?" Datin Safiah mengadu lagi.

Datuk Johan masih membisu.

"Apa lagi kau kena buat, Piah? Pergi berbincang dengan suami kau je lah. Itu aje caranya nak selamatkan rumah tangga kau." cadang Puan Latifah dengan suara geram.

Iparnya ni selalu begini. Ada masalah, datang menangis-nangis bagai. Bila diberi cadangan bukannya nak ikut. Lepas itu, minta lagi pendapat orang lain. Geram pula dengan perangai macam ni.

"Saya tak nak jumpa dia lagi. Saya sakit hati, kak."

Puan Latifah sudah mendengus geram. Nasihat ini itu tak nak pakai.

"Abang ngah, tolonglah saya ni."

Datuk Johan memandang wajah isterinya. Puan Latifah sudah menatap kearah lain. Dia memandang semula adiknya yang mengeluh dari tadi.

"Biar semuanya reda dulu. Kalau berjumpa sekarang pun tak guna juga sebab akan buat keputusan dalam keadaan marah. Jadi, tunggu sampai masa yang sesuai." Datuk Johan sudah bernada lembut. Suaranya kedengaran sedikit lemah.

Datin Safiah mengangguk.

"Farhan kat mana sekarang?" soal Datuk Johan.

"Saya malas nak tahu. Biarlah dia tidur kat mana sekalipun."

Datuk Johan memandang Farah pula.

"Saya tak tahu. Mungkin kat hotel, mungkin dengan perem.." Farah tak sempat menghabiskan ayatnya.

Mamanya disebelah dikerling. Terus meraung kuat Datin Safiah. Puan Latifah sudah menutup telinganya disebalik tudung itu. Farah cuba menenangkan mamanya yang meronta-ronta.



"PAPA dah makan?" soal Fariz seraya duduk di depan Datuk Farhan.

Rupanya, Datuk Farhan menginap di hotel ini selama tiada di rumah. Setelah dimaklumkan oleh Farah apa yang terjadi, Fariz terus menghubungi ayahnya. Sudah 3 hari papanya tidak pulang.

"Papa dah makan tadi. Fariz?"

Fariz mengangguk.

"So, apa yang papa nak buat sekarang dengan mama? Dengan keluarga kita?" Fariz terus dengan soalan yang memang ingin ditanya.

Datuk Farhan agak terperanjat. Yalah, memang dah tak berlapis anak terunanya ini bila bertanya.

"Apa maksud Fariz?"

"Papa tahu apa yang Fariz maksudkan. Fariz hanya nak dengar penjelasan dari papa aje." ujar Fariz dengan nada serius.

"Papa masih sayangkan keluarga kita."

"Jadi, papa pilih keluarga kita dan akan putuskan hubungan dengan perempuan tu?"

Datuk Farhan menggeleng.

"Papa takkan berpisah dengan mama tapi papa pun tak boleh berpisah dengan dia."

Fariz mengeluh dengan apa yang papanya ujarkan.

"Siapa perempuan tu, pa?"

"Seorang wanita yang memahami papa."

"Papa dah lama kenal dengan dia?"

"Hampir setahun kami kenal."

"Dia nak kikis duit papa je tu."

Membuntang biji mata Datuk Farhan.

"Fariz jangan suka hati cakap orang macam tu. Dia tak nak harta, papa. Dia ikhlas dengan papa. Kalau pun dia nak kikis duit papa, biar papa yang tanggung sendiri. Fariz jangan nak masuk campur."

Fariz diam. Untuk apa lagi di tanya dan di balas papanya.

"Fariz minta maaf. Tapi, papa dah tak sayangkan mama ke?"

Datuk Farhan merenung wajah anak terunanya. Masih cintakah dia pada isterinya itu? Dia juga masih keliru. Tapi yang pasti, dia sangat sayangkan keluarganya.

"Papa, Fariz mungkin tak faham situasi dan perasaan papa sepenuhnya. Tapi, walau betapa papa tak sukakan perangai mama, dia adalah isteri papa yang papa kahwini lebih dari 20 tahun." ujar Fariz setelah Datuk Farhan diam agak lama.

"Thanks, Fariz. Biar papa dan mama selesaikan masalah ni. Awak dan Farah tak perlu masuk campur."

Fariz mengangguk.

"Fariz faham. Tapi, kalau papa perlukan orang untuk bercakap, Fariz ada untuk papa."

Datuk Farhan tersenyum. Bangga dengan sikap anaknya yang tidak memihak pada dia mahupun isterinya. Ini masalah yang harus diselesaikan antara dia dan isterinya sahaja. Tidak perlulah melibatkan orang lain termasuk anak-anak.

Saat Cintaku Berbisik Rindu [Original Tajuk: Semarak Api Cinta]Where stories live. Discover now