Bab 6

17K 906 75
                                    

I'll make sure to keep my distance
Say I love you when you're not listening

.

.

PEJAM celik, sudah hampir tiga tahun berlalu dari waktu Fateh berjaya menamatkan zaman persekolahannya. Setelah selesai menghadiri kelas persediaan ke luar negara yang berlangsung selama dua tahun setengah tersebut, telah melayakkan Fateh untuk terbang jauh ke Ireland bagi mengejar cita-citanya.

Hari yang amat dielakkan oleh Iris telah tiba. Hari yang membawa erti dia akan kehilangan Fateh secara tak rasmi dalam hidupnya. Tetapi mungkin berbeza pula bagi Fateh yang begitu mengimpikan saat ini untuk berlaku.

Iris cuba untuk kekal tersenyum bagi menenangkan hati sendiri. Dia tak kisah asalkan sahabatnya gembira dengan apa jua keputusan yang diambil. Melihatkan Fateh berjaya sehingga ke menara gading, sudah cukup bagi Iris memujuk hatinya agar tidak bersedih untuk berjauhan dengan lelaki itu. Impian Fateh adalah impiannya juga.

Iris mengerling sekilas pada Fateh yang sedang berbaring di atas rumput tersebut dengan perasaan yang memberat sayu. Namun riak wajahnya masih cuba dikawal sebiasa mungkin. Bimbang terlalu menunjukkan kesedihan sebenar yang membelenggu hati. Akhirnya dia turut serta berbaring di atas rumput.

"Iris..."

Fateh memanggil perlahan saat Iris juga turut sama berbaring sepertinya di atas rumput. Mereka berdua menikmati bersama keindahan langit malam yang terbentang luas di ruangan mata. Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk melepak di sini pada setiap malam minggu bagi merehatkan minda setelah penat bersekolah selama lima hari berturut-turut.

Tanpa menyahut panggilan Fateh itu, Iris membetulkan pembaringannya dengan melagakan hujung kepalanya dengan kepala Fateh. Rambut mereka seperti bercamtum dalam keadaan begitu. Ibarat dua tubuh yang bersatu secara memanjang. Sengaja dia tidak berbaring di sisi Fateh kerana tidak mahu lelaki itu nampak wajahnya yang berubah mendung sejak tadi.

"Iris?"

Fateh mendongak ke belakang seboleh yang mungkin, bagi meraih perhatian Iris yang begitu leka merenung longgokkan bintang yang bersinar terang di atas kepala.

"Apa dia? Aku dengar ni..." Iris menjawab malas. Lebih tepat lagi, dia sedang tenggelam melayan perasaan sendiri.

"Ingatkan dah tertidur tadi." Fateh kembali membetulkan kedudukan kepalanya untuk berbaring selesa.

"Iris, aku sedihlah..."

"Kau dah kenapa? Sejak bila pandai nak sedih-sedih?" Pedas Iris membidas.

"Tak tahu. Tiba-tiba rasa sedih..." Fateh meluah rasa.

Seraya itu tangannya naik meraba rambut panjang Iris yang menyentuh hujung rambutnya. Rambut Iris diusap lembut sebelum dipintal-pintal bagi menghilangkan rasa bosan dan keresahan yang begitu memberat di dadanya.

"Aku terlalu gembira... dan pada waktu yang sama terlalu sedih!"

Fateh masih meneruskan aktivitinya bermain-main dengan rambut Iris.

"Kenapa pula?" Iris bertanya sekadarnya. Langsung tidak dihalang jemari Fateh yang begitu ralit bermain dengan rambutnya. Sudah menjadi hobi lelaki itu memintal rambutnya setiap kali mereka berdua berbaring berdua di atas rumput sebegini.

"Aku gembira sebab tak lama lagi impian aku bakal tercapai." Fateh berjeda bagi menarik nafas yang terasa lelah.

"Tapi aku terlalu sedih nak tinggalkan Malaysia... tinggalkan kau..." Lelah Fateh bersuara. Jelas kedengaran pilu pada nada suaranya.

Salahkah Aku Menanti [TERBIT]Unde poveștirile trăiesc. Descoperă acum