BAB 1

23 1 0
                                        

LANGKAH kaki dilajukan untuk menyaingi langkah gadis kecil molek di sisinya. Sekali-sekala Adara menarik sedikit kain kurung kapas berwarna putih bercorak bunga-bunga kecil berwarna biru yang sudah sedikit pudar warnanya itu. Serba tidak kena mahu melangkah dengan kain yang agak meleret di hujung kaki. Kalau tersilap langkah, dia mungkin mencium simen berkilat itu secara percuma. Percuma dapat malu sekali, memang pakej lengkap!

Nafas yang agak mengah ditarik dan dihembus cemas. Kini mereka sudah berada di lobi bangunan dua puluh lima tingkat yang bukan main gah dan canggih. Lampu-lampu kekuningan yang menerangi ruang bawah yang luas itu tidak ubah seperti berada di hotel mewah. Tidak sempat Adara mahu menghayati keindahan hiasan di situ kerana Husna sudah menarik tangannya memasuki perut lif. Sempatlah jeling-jeling macam tu je!

"Kau janganlah nak menung-menung tak tentu pasal." Husna menepuk lengan Adara. "Kita dah lambat ni. Sepatutnya pukul lapan setengah tadi kita dah sampai, ni dah lewat sepuluh minit. Mampus!"

Husna beriak resah sambil menilik jam tangannya. Kemudian matanya beralih pula ke arah petak kecil di atas pintu lif yang menunjukkan aras tingkat yang sedang mereka lalui.

"Sepuluh minit je pun, takkanlah nak kena marah? Kan jalan jammed tadi..." balas Adara, cuba menyedapkan hati sahabatnya. Kalau Husna takut, dia lagilah takut. Dah rasa lemah lutut nak berdiri tegak ni! Kena pula hari ni ialah hari pertama dia akan bekerja di pejabat Husna, dan melihat riak sahabatnya yang cemas satu macam begini, makin tidak sedap hati dibuatnya. Memang orang dekat Kolumpo macam ni ke 'fesyen'nya? Sentiasa kelam-kabut mengejar masa?

"Kau tak kenal bos aku tu macam mana, kalau lambat seminit pun dah kena pekik tahu tak." balas Husna sambil meloncat-loncat setempat. Nampak sangat panik tidak tentu arah.

Adara mengerutkan kening. Nasib baik cuma mereka di dalam perut lif ni, kalau tidak memang dia tak mengaku member dah ni! Dah macam orang buat warming up nak maraton pun ada.

"Nanti kau dah kerja sini lama, kau tahulah perangai Tuan Putra tu macam mana..." sambung Husna lagi. Mata melirik jam di pergelangan tangan, rasa hendak pusing jarum jamnya lima belas minit ke belakang. Tetapi macamlah jam di tangan bos besar dia tu boleh berpusing sekali! Oh, alangkah indahnya jika Doraemon itu benar-benar wujud. Memang dia nak beli sekor simpan dalam laci kat rumah dia tu.

Adara gigit bibir saat sebaris nama itu singgah di telinga. Amboi, nama bos Husna ni Tuan Putra ke? Nama tak nak kalah meletupnya. Hebat sangat ke lelaki tu? Ada sama macam putera raja? Mahu bertanyakan Husna, dia rasa macam tidak sesuai pula. Lagi-Lagi melihat riak wajah sahabatnya yang macam hendak menangis itu.

Saat pintu lif terbuka di tingkat sembilan belas, pantas Husna menarik tangan Adara untuk keluar. Terkial-kial Adara mengekori langkah Husna yang macam tidak cukup lantai hendak dipijak. Setelah melewati pintu kaca automatik yang terbuka apabila disentuh dengan kad, Husna membawa Adara masuk ke ruang besar yang dipenuhi dengan kotak-kotak empat segi berwarna biru.

Di dalam kotak itu, mata Adara sempat menangkap imej seperti meja sederhana besar lengkap dengan komputer, rak-rak kecil dan juga telefon. Kebanyakannya dihias dengan gambar-gambar peribadi dan hiasan-hiasan ringkas lain. Kemudian ada pula kertas-kertas dan fail yang bersusun dan bertaburan di atas meja. Agaknya inilah yang disebut Husna sebagai workstation tu. Tempat pekerja-pekerja di sini membuat kerja mereka. Nampak hebat! Desis hati Adara.

Ketika melewati ruang luas itu, mereka bertembung dengan beberapa orang pekerja yang kelihatan mula sibuk mengambil tempat masing-masing. Dalam keadaan terkocoh-kocoh, Husna sempat memperkenalkannya sambil lalu. Gayanya macam hendak cepat sangat, macam hendak kena tinggal dengan bas ekspres.

"Morning, ni kawan I Adara..." ucap Husna berulang kali.

Adara pula tidak sempat hendak buka mulut beramah mesra. Mana tidaknya, Husna masih mengheret tangannya entah ke mana. Mahu tidak mahu, dia sekadar menayang sengihan kelat di bibir. Hendak cakap 'hai' pun tak sempat! Yalah, orang KL... kan moden, kalau nak sapa cakap 'hai' tu memang dah sesuai sangat dah tu. Dia selalu tengok dalam drama betapa canggihnya orang-orang KL ni bercakap.

My Angle Of My Heart {slow update}Stories to obsess over. Discover now