15. Separuh Dia

112 8 0
                                    

K berhenti di gerai menjual sayur. Dia mencari sayur petola. Sejak hari rabu lagi K teringin makan petola masak air bersama ayam goreng. Jadi pagi sabtu ini, K turun ke Paddy's Market mencari sayur-sayuran asia yang susah didapati di kedai biasa. Kalau bertuah, bunga kantan pun boleh jumpa terjual di sini. Air tebu pun ada walaupun rasanya kurang enak berbanding tebu di Malaysia. 

K memilih sayur petola dengan berhati-hati. Ada pelanggan lain juga turut singgah di gerai tersebut. K hanya mendengar pelanggan tersebut berbual. Dari lenggok percakapan mereka K sudah tahu pelanggan tersebut juga dari Malaysia. 

K ambil sebatang petola. Sebatang petola cukup untuk dia seorang makan. Lagi pun petola yang dijual agak besar dan sudah puas K pilih, tiada saiz kecil.  Selepas ini K perlu cari suun pula. Suun sedap digandingkan dengan petola. Kadang-kadang K masak dengan ikan bilis. Kadang-kadang K masak dengan udang. Kalau tiada ikan bilis atau udang pun enak juga. 

K bayar harga petola dan petola bertukar tangan. K ingin bergerak meninggalkan gerai tersebut tapi ada tangan menahannya. "Karimah," eh? 

K menoleh pada empunya suara yang menegurnya. Seorang wanita yang sedikit berusia. siapa? "ya?" balas K dengan keliru. Melihat wajah wanita tersebut, K rasa dia tidak mengenali wanita tersebut. 

"Ibu, Amad dah beli sayur kacang panjang dekat gerai sebelah sana," kedengaran suara lelaki dibelakang wanita tersebut. Eh? Serentak itu K dan lelaki tersebut berpandangan. 

Ahmad. 

"Karimah,"seru Ahmad dengan kaget. Risau pun ya. Kalau-kalau Karimah lari seperti hari itu.

K terkedu. Ini kali pertama K bertemu Ahmad selepas K beri jawapan. Juga kali pertama selepas pertemuan di Muzium Seni Kontemporari tempoh hari. 

"kalau ada orang suka Karimah, apa patut Karimah buat?" soal K ketika dia menghubungi Izzat. K masih belum buat keputusan dengan lamaran Ahmad ketika itu dan cuba meminta pendapat Izzat, abang sulungnya. Perkara ini juga melibatkan keluarga dan penting untuk K memaklumkan pada keluarganya. Namun, sebelum K beritahu Abah dan uminya dia cuba bagi pembayang pada Izzat terlebih dahulu. Itu pun K takut-takut untuk bercerita pada Izzat. 

"kenapa? Ada lelaki mat saleh nak masuk meminang Karimah ke?" Izzat tidak menjawab soalan K tetapi membalas soalan dengan nada bergurau. K telan air liur. Pandai Izzat serkap jarang.

"bukan lelaki mat saleh tetapi lelaki soleh," balas K dengan nada serius. Izzat ketawa dengan jawapan K. 

"kalau betul,suka. Bagitahu Abah dan Umi," nasihat Izzat setelah puas ketawakan K. Walaupun gaya K dan Izzat bercakap seperti santai tetapi masing-masing memahami perkara yang dibincangkan. 

"Abang tolong beritahu Abah dan Umi, boleh? Karimah tak tahu nak cakap macam mana," pohon K dengan takut-takut. Lagipun, K tidak pernah ada pengalaman seperti ini. K percaya Izzat boleh membantunya. Izzatkan sudah berkahwin, sudah tentu dia pernah mengalami keadaan begini. Seterusnya, K menceritakan bagaimana hubungan dia dengan Ahmad terjalin. Walaupun ada ketika Izzat mengusiknya, K hanya menebalkan muka. Sungguh dia tidak pandai urus perasaan dan hati. 

"Abang doakan Karimah. Suruh Abah dan Umi doakan Karimah juga. Nanti bila Karimah ada jawapan, Karimah akan maklumkan pada semua," kata K sebelum dia menamatkan panggilan jarak jauh dengan Izzat. Lama K berbincang dengan Izzat tentang Ahmad. 

Siapa sangka selepas K beritahu keluarganya, K dengan tenang menerima lamaran Ahmad. Tiada lagi ragu-ragu seperti minggu sebelumnya. Izzat juga ada memaklumkan pada K bahawa keluarga Ahmad ada datang ke rumah untuk berkenalan dan berbincang tentang majlis pertunangan dan resepsi. K terasa masa berlalu dengan cepat walaupun sebenarnya proses itu berlaku dalam tempoh dua bulan. 

Dia Lelaki RandomDonde viven las historias. Descúbrelo ahora