BAB 2

15K 649 6
                                    

Airis melirik jam di tangan. Dah pukul 11 malam. Lewat sejam dari waktu biasa dia habis kerja. Dia terpaksa bekerja lebih masa hari ini kerana kedai buku tempatnya bekerja kekurangan orang. Semuanya gara-gara salah seorang budak part-time di situ berhenti secara tiba-tiba. Mungkin stress kerana asyik dimarahi oleh supervisor. Biasalah budak-budak zaman sekarang, jiwa tak berapa nak kental. Kena marah sikit dah lari, berhenti kerja. Akibatnya orang lain yang kena tanggung.

Airis mengeluh. Waktu-waktu begini agak sukar untuk mencari teksi. Terpaksalah dia berjalan kaki sahaja. Mujurlah rumahnya tidak jauh dari tempatnya mencari rezeki. Dalam 15 minit sahaja sekiranya dia berjalan kaki. Walaupun sedikit risau kerana perlu berjalan seorang diri, di malam hari pulak tu, dia tidak punya banyak pilihan. Kalau dia tunggu teksi, alamatnya esok baru dia sampai rumah.

Tawakal je la... monolognya dalam hati.

Setelah hampir sepuluh minit berjalan, Airis sampai di lorong yang agak gelap dan sunyi. Nak tak nak dia perlu melalui jalan tersebut kerana itu satu-satunya jalan menuju ke kawasan perumahan tempatnya menyewa. Langkahnya dipercepatkan. Beg silangnya digenggam erat.

"Cepatlah sampai rumah..." bisiknya pada diri sendiri.

Tidak semena-mena, dia menangkap bunyi seakan-akan suara orang merayu. Langkahnya serta-merta terhenti. Dia terdiam sejenak. Sekali lagi, telinganya menangkap bunyi suara orang. Kali ini sedikit kuat. Dek kerana rasa ingin tahu yang menebal, Airis mula mencari-cari arah dari mana datangnya suara tersebut.

"Rasanya dari arah sana..." bicara Airis sendiri sambil menuju ke arah lorong yang terletak di bahagian kanannya. Ketika dia sampai di hujung lorong, lorong tersebut terpisah kepada dua jalan, kiri dan kanan. Suara itu kedengaran lagi, datang dari lorong di sebelah kanan. Makin jelas di pendengarannya. Dia mula menghendap di sebalik dinding bangunan yang ada di situ. Kelihatan jelas dimatanya...seorang lelaki sedang dikelilingi oleh sekumpulan lelaki lain yang semuanya memakai kot berwarna hitam. Dia dapat melihat dengan jelas keadaan lelaki tersebut yang berlumuran darah, mungkin akibat dibelasah.

"Berani kau khianat aku! Kau fikir kau akan terlepas dengan mudah lepas kau tikam aku dari belakang?!"

Kedengaran tempikan dari salah seorang lelaki berkot hitam yang berada di situ. Airis tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu dek kerana dilindungi oleh lelaki-lelaki berkot hitam yang lain. Kepala lelaki yang berlumuran darah itu ditendang kuat sehingga menyebabkan dia tersungkur. Tersembur darah dari mulutnya.

Airis menekup mulut demi mengelakkan dirinya daripada menjerit. Ngeri melihat keadaan lelaki tersebut. Akalnya menyuruh dia berlalu dari situ, namun kakinya seakan-akan terpaku, tidak mampu bergerak.

Kelihatan lelaki berkot hitam itu mengeluarkan sesuatu dari poket kotnya. Airis terkaku. Dia nampak dengan jelas objek yang dipegang oleh lelaki tersebut. Dia mula menggeletar.

Tidak semena-mena...

Bang!

Bunyi tembakan memecah kesunyian malam. Darah mula memenuhi kawasan tersebut. Si mangsa terkulai layu di dalam kolam darahnya sendiri. Tidak lagi bernyawa.

Airis menggigit tangannya sendiri. Cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan dirinya daripada menjerit. Mata ditutup rapat. Air matanya laju menuruni pipi. Ketakutannya tidak dapat dibendung. Dia perlu pergi dari sini! Kalau lelaki-lelaki itu sedar akan kehadirannya, dia juga mungkin akan menerima nasib yang sama seperti lelaki tadi!

Aku kena beredar!

Namun, nasib memang tidak menyebelahinya. Belum sempat dia beredar dari situ, kedengaran bunyi salakan anjing dari arah belakang. Dengan pantas dia menoleh. Kelihatan seekor anjing liar sedang memerhatikannya dari bahagian kiri lorong sambil menggoyang-goyangkan ekornya.

PERTEMUAN ✅Where stories live. Discover now