"Kau cari disana. Dia tak lari jauh."

"Okey."

Setelah keadaan kembali reda, lelaki itu berpaling ke kiri dan ke kanan untuk mengintai. Yakin tiada bahaya yang mengancam, jarak mereka tercipta setelah figura itu berundur setapak ke belakang. Darleesa masih menggeletar dengan riak ketakutan bercampur sangsi. Apabila lelaki itu menanggalkan tali mask muka di telinga kiri, jantungnya gugur tertiarap ke tanah. Mata bundar yang dirindui setengah mati itu menghantar satu renungan yang sukar diramalkan sama sekali. Tangan Darleesa disentuh dan diusap lembut, wujud garisan riak kesal yang terpampang di wajah gerangan ini apabila menyedari kesan calar dan luka-luka kecil di telapak tangannya.

"Macam mana aw-"

Bibir Darleesa dipagut dan diurut lembut tanpa sempat bicara dihabiskan. Kedua-dua belah tangannya terjatuh ke bawah. Lelaki itu menarik tubuhnya rapat untuk mengalirkan segala rasa yang terpendam. Apabila ciuman terungkai, mata bundar itu sayu merenung ke dalam korneanya. Makin bergetar urat sendi bergoncang seiring paluan jantung yang ingin melompat keluar dari badan. Lelaki itu mengelus lembut pipinya dengan marak kasih. Darleesa dihurung rasa sebak berganda-ganda.

"Aku rindu kau." Khairul mengucap dalam bisikan halus. Ada getaran dalam nadanya. "38 hari kau hilang Darleesa, 5 minggu 3 hari aku cari kau merata-rata alam. Aku hampir gila sayang."

"Saya ada alasan saya sendiri..." Darleesa menunduk kebawah, tidak sanggup untuk menentang anak mata bundar itu. Bunyi keluhan dilepaskan kedengaran. Wajah diangkat. Dia masih tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh menjumpainya di sini. Mustahil lelaki itu boleh mengetahui lokasi keberadaannya yang terceruk di kawasan pendalaman yang tidak pernah dimasuki pihak berkuasa. "Macam mana awak boleh ada di sini? Awak jejak saya?"

"Aku datang dengan polis."

Khairul membalas separa berbisik. Mata hazelnya masih mengawasi keadaan sekeliling. Bimbang-bimbang keberadaan mereka terdedah oleh mata-mata liar. Selepas penangkapan Johan dua minggu lalu, lelaki itu dipaksa untuk berbicara perkara benar kerana hukuman penjenayah dapat dikurangkan sebagai insentif dalam pemberian maklumat penting untuk menyelesaikan kes. Ini membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan memastikan keadilan diperoleh. Nyawa isterinya dalam bahaya saat ini.

"Polis dah kumpulkan orang kampung."

Polis? Mata Darleesa membulat. "Ke-kenapa?"

"Panjang, nanti aku cerita sayang. It's not safe, we need to get out of here."

Khairul membalas lembut. Tangan Darleesa ditarik dan mereka sama-sama berjalan menyelusuri semak-samun. Darleesa tidak pasti arah selamat yang perlu diikuti tetapi melihat saja lelaki itu ligat berjalan di satu kawasan asing, dia beranggapan mereka menuju ke jalan yang betul. Di akhir penghujung rimbunan pokok-pokok besar, kakinya menjejak ke kawasan lapang bertanah merah. Berdebar-debar jantungnya apabila terdapat sebuah Range Rover berwarna hitam yang terparkir di situ. Ammar dan seorang lelaki berkumis keluar dari kereta apabila menangkap kelibat mereka berlari anak di tengah jalan.

Khairul membuka langkah besar dan menguak pintu untuk mempersilakan Darleesa masuk ke dalam kereta. Seatbelt dikenakan pada tubuh isterinya. Darleesa yang menjadi pemerhati dalam kekabutan itu kelihatan takut dengan sebarang kemungkinan. Bunyi das tembakan meletus. Wajah Ammar dicari. "Mar, kau bawa Darleesa terus ke Seremban. Inspektor Zamani dan lain dah tunggu disana. Dengar cakap aku, jangan berhenti di mana-mana pun. Jangan berhenti. Kalau ada yang mengejar, teruskan pandu sampai bini aku betul-betul ada di tempat selamat. Pelan kita dah berubah. Syed tengah buru Leesa sekarang sebab dia ada di sini. Leesa tak boleh ada dengan aku, budak-budak dia ramai."

Ammar mengangguk mengerti. "Kau nak kemana?"

"Aku kena patah balik ke kampung. Adham cari Syed."

Khairul mengetap rahang. Matanya terlari sekilas ke arah Darleesa yang turut menadah telinga. Wajah gadis itu sayu sekaligus memberatkan lagi hatinya untuk berpisah. Tapi apa yang bisa dia lakukan? Membiarkan gadis itu tetap bersamanya adalah satu idea yang buruk. Syed Norman tahu dia akan menuju lurus kearah Darleesa tidak kira apa pun. Sebelum upacara di perkampungan asli bermula, tim polis sudah terlebih dahulu bersedia di posisi kerana maklumat yang dibongkar Johan bertepatan. Malam ini bakal menjadi malam berdarah dan isterinya berada di kampung tersebut.

[C] Jika Harus BegituWhere stories live. Discover now