Bab 5

553 48 43
                                    

Sahak memandang bas-bas yang bersusun di hentian, berbagai warna bas yang dapat dia lihat. Sahak melihat ke tiket bas dan mencari nombor bas seperti di dalam tiket. Bas berwarna merah putih susu menarik perhatiannya. Agak lama dia memandang ke arah bas tersebut sebelum bas itu bertukar menjadi kuih lapis. Bebola mata Sahak bercahaya dan menelan air liur melihat kuih lapis sebesar bas.

Sahak berjalan ke arah kuih lapis tersebut. Dalam hatinya cuma satu, mahu makan sepuas-puasnya. Tiba-tiba kuih lapis itu bergerak. Sahak mula tak tentu arah dan mengejar kuih lapis yang bergerak keluar dari perkarangan hentian bas. Langkah Sahak semakin laju bila kuih lapis itu bergerak laju. Dalam gerak perlahan, Sahak mengapai-gapai tangan ke udara, "jangan pergi, jangan pergi..." jerit Sahak seakan-akan mahu menangis.

"Encik, encik bas tu nak ke bengkel bukan ke Kolumpo, encik," jerit perempuan kaunter berambut pendek, kepalanya terkeluar dari lubang bulat di cermin kaunter.

Mendengar jeritan itu, Sahak kembali ke alam nyata dan berhenti mengejar bas tersebut. Sahak menggosok perutnya.

Kena makan ni, karang tak sampai ke Kolumpo, mayat aku je yang balik ke kampung. Kata Sahak dalam hati.

Sahak lihat tiket bas sekali lagi, tertulis pukul 9.15am. Sekarang baru pukul 8.30am, sempat lagi untuk bersarapan. Sahak menuju ke belakang kaunter tiket ke arah rumah kedai yang banyak kedai-kedai makan.

"Bang, kasi roti canai satu, roti kasi lembut ya," kata Sahak sebaik sahaja dia duduk di meja kedai yang banyak menjual alat permainan kanak-kanak di dalamnya. Manakala di bahagian luar ada satu meja menebar dan membakar roti canai. Air pula Sahak terpaksa pesan di kedai sebelah. Memandangkan seleranya mahu pekena roti canai pagi itu dan diantara banyak-banyak kedai makan yang berderet hanya kedai itu sahaja yang menyediakan roti canai sebagai sarapan. Entah kombinasi apa berniaga permainan kanak-kanak dan roti canai tidaklah Sahak dapat memikirkan kerana perutnya benar-benar kelaparan.

"Siap!" balas brader roti canai. Sekeping roti canai yang nampak sungguh lembut dan semangkuk kuah kari tak ada sambal, mengikut fikiran Sahak kuah kari yang ada sambal di dalamnya adalah satu agenda tersembunyi yang dilakukan oleh mamak-mamak kerana mahu merosakkan reputasi roti canai. Mengikut hukum makanan, kuah kari atau kuah dhal yang dicampur sambal merupakan syirik kecil bagi pemakan roti canai.

Sahak terasa mahu menangis melihat kelembutan roti canai dalam pinggan. Matanya bergilir-gilir memandang roti canai dan brader penebar roti canai. Wajah Sahak sayu.

"Ini kalau tak lembut ni, lu ambik pisau potong jari gua ni," kata brader roti canai seraya membuat isyarat memotong jari.

Sahak menangis dalam hati sambil memandang roti canai yang belum digoreng dalam pinggan. Licin serupa muka pelakon lelaki Korea.

KolumpoWhere stories live. Discover now