Bab 1

1.5K 65 121
                                    

Bau bas tidak lagi serupa dengan bau bas ketika Sahak berulang-alik ke sekolah menaiki bas bebrapa tahun dulu. Bau dari negara pemakan bawang dan anti deodoran menusuk ke hidung. Pernah juga pemandu bas bertindak mengantung papan bertulis 'SILA MANDI SEBELUM NAIK BAS INI!' namun papan tersebut dengan berat hati terpaksa ditanggalkan kerana mendapat amaran keras secara bertulis dari Jabatan Perdana Menteri. Surat itu mengatakan pemandu bas bersikap rasis dan tidak mengamalkan nilai-nilai murni ketimuran. Pemandu bas juga diminta mengisi borang akujanji dan bersumpah tidak akan mengulangi lagi perbuatan seperti itu di kemudian hari.

Sahak merenung jauh ke luar tingkap. Keputusannya mahu ke Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang telah dirancang. Ia adalah satu keputusan terburu-buru. "Intelligence without ambition is a bird without wing!" Tegas dan sedikit keras suara Pak Mail, abah Sahak melontarkan kata-kata. "Apa anakanda tidak malu sama burung-burung? Mereka keluar di waktu pagi mencari rezeki, tapi anakanda, apa adanya?" kata Pak Mail lagi. Pak Mail ini orangnya gemar menggunakan bahasa yang menunjukkan bangsa. Ada ketikanya dia akan mendeklamasikan sajak berkenaan peperangan walaupun sedang melihat bulan purnama.

Itu yang membuatkan hati Sahak terguris. Tidur malamnya terganggu, dan kerana itu jugalah dia berada di dalam bas, dan nekad mahu lari dari rumah.

Kolumpooo! Tungguuu! Jerit Sahak dan menumbuk cermin tingkap. Semua penumpang berhenti dari melakukan sebarang aktiviti dan memandang ke arah Sahak. Ada juga terdengar cakap-cakap belakang yang menuduh Sahak hisap gam. Lelaki tua di sebelah Sahak lekas-lekas berpura-pura tidur kerana khuatir Sahak bertindak ganas dan mencederakannya.

Bas terus bergerak seperti seekor gajah yang dipaksa membawa muatan penuh. Setiap penumpang melakukan hal masing-masing dan menunggu masa untuk menekan loceng bila hampir tiba ke destinasi. Tapi tidak bagi Sahak, dia masih belum mempunyai agenda lagi. Niatnya mahu ke Kuala Lumpur timbul setelah dia terbangun di tengah malam kerana mahu kencing. Dan entah syaitan apa yang merasuk waktu itu, dia langsung menyimpan baju ke dalam beg, mengambil sekeping kertas dan menulis nota mahu pergi meninggalkan rumah. Kemudian dia meletakkan nota ke dalam pembakar roti kerana tahu abahnya gemar makan roti bakar sebelum ke kebun.

Bintik-bintik peluh mula terbit di dahi yang sengaja dikerutkan untuk menunjukkan yang Sahak benar-benar dalam keadaan rungsing. Mahu kembali semula ke rumah dan melupakan agenda asalnya mahu lari ke Kolumpo bukanlah satu perkara yang patut dia lakukan. Mungkin abahnya telah membaca nota di dalam pembakar roti dan mengharapkan dia akan pulang dengan sebuah kejayaan dan menjerit, "My son, my son" dan memeluk Sahak dengan penuh rasa bangga. Mungkin juga nota itu turut terbakar bersama roti dan telah berada di dalam perut abahnya. Yang buatkan Sahak jadi dua kali rungsing, dia pernah menerima SMS mengatakan pen dakwat cair mengandungi unsur-unsur babi.

Sahak mula terbayang api neraka kerana telah menjadi punca abahnya makan roti berserta pen dakwat cair.

KolumpoOnde as histórias ganham vida. Descobre agora