03

161 17 5
                                    

  "Siapa yang mengulang Semester 1 dan 2?"

  Kesemua mereka mengangkat tangan. Guru itu mengeluh kasar.

  Rahim, guru Biologi yang berumur dalam lingkungan 40-an itu menulis sesuatu pada timbunan kertas di atas meja makmal. Mejanya memang tidak pernah tersusun dari dulu, walaupun sudah berbelas tahun mengajar di sekolah itu.

  Rahim tidak mengeluh kerana anak-anak muridnya mengulang kertas Biologi kedua-dua semester (walaupun memang dia rasa sakit hati sebab mereka bukannya fokus pun selama ini), tetapi berkenaan hilangnya keceriaan kelasnya.

  Selalunya, jika dia bertanyakan soalan, pasti ada yang mencelah dan 'pergaduhan' antara dia dengan anak-anak muridnya pasti berlaku.

  Namun keceriaan seperti itu tiada lagi sejak seorang pelajarnya hilang seminggu lepas.

  "Joshiwa."

  "Jo-shu-a."

  "Ah, tak kisahlah nama awak macam mana pun. Awak tetap berada di hati saya. Kan?"

  Remaja Cina itu menggaru kasar kepalanya. Dia menghela nafas, menahan marah dan geli. Memang Joshua tetap rasa geli walaupun dia tahu gurunya itu hanya hendak berlawak tahap biadap.

  "Cikgu nak saya buat apa?"

  "Saya bukan nak minta tolong apa-apa, cuma... Nur macam mana sekarang?"

  "Dia tak mahu datang sekolah lagi."

  "Awak ni mesti tak pandai pujuk ni..." Rahim cuba buat lawak lagi. Sesekali dia menguatkan suara agar lawaknya didengari semua pelajarnya yang muram durjana.

  "Kami dah cuba banyak kali, cikgu! Tapi Nur tetap tak nak datang sekolah..." Ling mencelah, menerima anggukan kecil dari dua rakan perempuannya di sebelah.

  "Dia masih rasa bersalah, cikgu... Kami tak tahu nak buat apa dah." ujar Harvin pula. Jarang Harvin berkata-kata tanpa terselit lawak bodohnya seperti itu.

  Rahim mengeluh lagi. Fikirannya melayang jauh memikirkan perkara ini.

  "Nanti-nanti pujuklah Nur lagi. Beritahu dia kita akan buat kelas tambahan untuk Semester 3. Sem 3 tinggal lagi seminggu je ni."

  "Hmm okey..."

  Rahim bangkit dari kerusinya, menyambung pelajaran selepas berehat tadi.

  "Jadi ingat, Hardy-Weinberg dan Natural Selection yang paling penting. Ni semua mesti keluar dalam exam!-..."

  Joshua menyangkut dagu di meja. Meskipun matanya kekal terpaku di papan putih, mindanya sudah ke tempat lain. Ah, bosan betul Biologi hari ini. Joshua tidak bersemangat mahu mendengar benda yang dah diulang-ulang dari bulan lepas.

  Dia teringat, semalam dia dan rakan-rakan sekelasnya melawat Nur lagi, kali ini di rumahnya. Waktu itu tiada lagi polis dan wartawan yang asyik menyoal-nyoal. Rahim juga tiada untuk mengganggu.

  Waktu itulah, Nur ceritakan apa yang membuat dia terleka semasa cuba menolong Haizat melepaskan diri.

  Ia sebuah ukiran tatu. Tatu berupa jam pasir tanpa pasir di dalamnya. Kecil dan simple.

  Joshua menggosok-gosok telapak tangannya, menyapu muka sambil dia mengeluh perlahan. Dia tidak faham. Rakan-rakannya yang lain pun sama. Kenapa Nur terleka pada sesuatu seperti tatu itu? Nur tidak beri penerangan tentang mengapa dia terleka pada tatu tak bermakna itu. Apabila ditanya Vaani semalam, Nur mengunci mulut.

  Remaja itu menggosok-gosok tengkuk. Sesekali dia menjeling di kerusi sebelah. Jujur, dia rindu rakannya. Dia rindu akan Haizat dan Nur. Dia rindu kelas kecilnya ini; kelas Biologi seramai 7 orang ini. Sejak ketiadaan Haizat, semuanya berubah.

HAIZATWhere stories live. Discover now