Setelah tersedar yang dia telah mengambil tindakan yang agak membahayakan dan amat berisiko, bulu roma serta merta tegak. Seram sejuk berada di kawasan itu seorang diri.

Saat Hannah hendak membuka pintu kereta, badannya tiba-tiba sahaja terdorong ke belakang akibat tarikan yang kuat daripada seseorang.

"Ah!" Dia terjerit kecil akibat terkejut. Perutnya kecut serta merta. Terasa di lehernya, ada sepucuk pistol sedang diacukan. Tangannya ditarik ke belakang. Pergerakannya terkunci. Wangian yang sungguh maskulin menerjah rongga hidung Hannah. Wangi!

"Apa kau buat dekat sini?" Keras suara itu menjerkah Hannah membuatkan dirinya tersentak daripada lamunan.

"Err... Err..." Badannya menggigil ketakutan. Hannah berasa kesal kerana mengambil tindakan sejauh ini tanpa berfikir panjang. Kerana terlalu ikutkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, dia meletakkan dirinya di dalam bahaya.

"Jawablah. Tergagap-gagap kenapa!?"

Terenjut bahu Hannah. Dia terkedu. Air mata hampir menitis.

"Apa kau buat dekat sini?" Kali ini nadanya lebih keras, menunjukkan bahawa lelaki itu tidak menerima diam sebagai jawapan.

Hannah bergelut untuk melepaskan diri, namun cubaannya gagal kerana lelaki itu sudah mengunci kemas pergerakannya. Lagipun, tenaga perempuan tidak setanding kekuatan yang dimiliki oleh seorang lelaki.

"Kau bergerak, aku tembak kau." Suara itu sangat maskulin, namun kasar dan menakutkan!

Dia diam membatu, tidak tahu apa yang patut dilakukan pada ketika itu. Air mata sudah mengalir membasahi lekuk pipi, tidak sangka penghujung hayatnya akan berakhir dalam keadaan sebegini.

"Sekali lagi aku tanya, kau buat apa dekat sini?" Pistol ditekan dengan lebih kuat pada leher.

Seluruh tubuh menggeletar hebat, tidak terungkap dengan kata-kata ketakutan yang melanda dirinya kini. Hanya kepada Allah segala pergantungan diserahkan. Dia Tuhan semesta alam, mengetahui segala yang tersurat di langit mahupun di bumi.

"Aku kira sampai tiga—"

"Satu."

"Dua."

"Ti—" Picu pistol ditarik.

"Saya sebenarnya ikut van putih ni tadi sebab saya nampak seorang budak dalam van tu macam dalam kesusahan. Walaupun saya tak tahu mana van ni pergi tapi hati saya tetap nekad nak tahu apa yang terjadi sebenarnya." Dalam kepayahan, Hannah menerangkan sebab dia berada di tempat itu. Hampir teresak apabila tahu yang dia sudah tersalah langkah, namun ditahannya kerana bimbang lelaki itu akan mengapa-apakannya.

"Saya bukannya sengaja nak datang sini, tapi saya—" Ayat Hannah tergantung apabila lelaki itu memotong percakapannya.

"Lain kali, guna otak sebelum buat apa-apa. Bila dah nak mati, baru nak menyesal tak ada guna." Datar nada lelaki itu.

Air mata mengalir dengan semakin deras. Inilah sikapnya dari dahulu lagi, suka buat sesuatu tanpa berfikir panjang sehingga akhirnya memakan diri.

"Awak, lepaskan saya boleh?" Dengan penuh sayu, Hannah memohon simpati. Tidak kisah andai dia disuruh melutut sekali pun, asalkan dia dapat pulang ke rumah dengan selamat.

Dalam sekelip mata, tubuhnya dipusingkan ke hadapan menghadap lelaki itu namun tangan lelaki itu masih kemas mencengkam lengannya. Hannah hanya separas dada lelaki itu.

Lelaki itu berpakaian serba hitam, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Mukanya ditutup dengan topeng dan hanya kelihatan matanya sahaja. Mata hazel nya yang begitu menawan, tidak terlalu besar dan tidak terlalu sepet. Namun, mata helang milik lelaki itu amat menarik pada pandangan Hannah. Topi yang dipakai menutup separuh mukanya menyukarkan lagi Hannah untuk mengecam gerangan siapakah lelaki itu.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now