BAB 14

1.1K 21 6
                                    

Pura-pura mengata tidak,

Hati di dalam retak seribu.

Kelentang-kelentung Dayana di dapur. Bunyinya macam menumbuk sambal belacan. Dalam dua puluh minit kemudian, dia keluar dari dapur dan membawa mangkuk berisi daun yang sudah lumat ditumbuk. Ada lima helai daun yang seakan-akan daun pandan tampak sudah dilayurkan bersama-sama minyak.

"Mari, hulur kaki yang bengkak tu." Dayana mendekati Adib yang sejak siang tadi terbaring di atas sofa sambil tangannya memegang sepiring keropok lekor.

"Apa tu?"

"Jangan banyak tanya! Nak baik tak?" Bulat mata Dayana merenung Adib.

"Kalau nak cepat baik, bagi Kak Yana sapu daun tembaga suasa tu, Adib." Azmie yang tekun menghadap komputer riba sempat mencelah.

"Doktor bungkuskan kaki,

dia buka. Nanti kaki tu jadi bengkak macam kaki gajah baru dia tahu," leter Dayana yang memang puas bersabar dengan kerenah Adib.

"Sentuh pun dah sakit, macam mana Kak Yana nak urut?"

"Mengada-adalah! Kemain nak jadi hero! Dah tertiarap macam ni siapa yang susah? Kalau tak nak baik cepat, hah pandai-pandai urus diri sendiri. Lusa Kak Yana dengan Abang Mie nak pergi Bali. Kau duduklah rumah sorang-sorang!"

Mendengar saja perkataan Bali terus terlopong mulut Adib.

"Whoaaa! Bali! Aloha Bali! Nak ikut!" Adib mula merengek. Terus rasa mahu melompat dan bersenam di depan kakak dan abang ipar bukti dia tak sakit teruk.

"Wei! Orang sakit buat cara sakit," jeling Dayana yang memang faham sangat dengan perangai Adib.

"Alah, memang dapat cuti sakit pun. Daripada melangut kat rumah sorang-sorang, bagilah Adib ikut. Mana tahu kot kalau kena urut dengan cewek Bali nanti cepat baik." Macam biasa Adib tersengih-sengih menunjukkan lesung pipitnya dengan gaya mata sepet minta simpati.

"Tak ada maknanya! Dah sakit tu ada hati nak berjalan?"

"Orang sakit mana boleh kena kurung. Nanti tu mengakibatkan kemurungan! Depression! Stres!" Panjang saja jawapan Adib, masih tak putus asa merayu pada kakaknya.

"Abang Mie, bolehlah ya?" Dia mengalih pandangan pada Azmie yang masih tekun menyudahkan kerjanya.

"Tanya Kak Yana," sahut Azmie tanpa menoleh.

"Sini kaki tu!" Sepuluh minit selepas daun tembaga suasa yang sudah ditumbuk itu ditepek dan dipupurkan pada betis Adib, lelaki itu meraung seperti anak kecil dititik.

"Huwaaaa! Pedih, Kak Yana! Hadoiii! Pedihhh!"

Semakin kuat lolongan Adib, semakin banyak daun tembaga suasa itu ditepekkan ke betis dan tumitnya oleh Dayana. Daun yang sudah dilayurkan itu dibuat pembalut.

"Hesy! Patut rakam tadi. Bubuh dekat Instagram. Kemain lagi nak tolong perempuan, dah sakit macam ni terpekik macam nak kena sembelih!" sindir Dayana yang memang sengaja menyakat Adib.

"Apa ni, kak? Janganlah sabotaj! Kita betul sakit ni!"

"Memanglah sakit! Dah kaki tu masuk angin. Doktor balut, kau gatal buka. Hah, tak mahu ikut cakap doktor, mari akak jadi Mak Esah!" bebel Dayana yang menggeleng dengan perangai Adib. Tak pernah serik kalau tak sakit betul-betul.

"Kak, boleh ya pergi Bali..." Adib merengek lagi. Muka menyeringai menahan bisa. Terasa daun tembaga suasa itu seperti menyerap ke dalam urat saraf dan menyentap-nyentap segala urat yang tersimpul dan bengkak.

"Bali? Pergi dalam mimpi ajelah ya, Adib!"

Terkekeh-kekeh gelak Dayana apabila Adib yang kesakitan itu mengomel sendirian.

LELAKI LINGKUNGAN CINTAWhere stories live. Discover now