BAB 10

734 10 1

Di dalam telur lagi kunanti,

Inikan pula di dalam sangkar.

"Adib, bangunlah! Dah nak maghrib ni! Tak mahu balik kampus ke?" Suara Dayana dari dapur sudah memetir.

"Woi! Bangun! Berapa kali nak jerit ni?!" Hati Dayana semakin panas.

"Payah jerit-jerit. Simbah aje air segelas." Azmie yang sudah siap berkain pelekat dan berbaju Melayu menyampuk.

"Huh! Lepas tu saya yang serabut nak kena usung tilam, jemur tilam!"

Dayana memang tak cukup gemar melihat suaminya muncul dari dapur dengan membawa botol air dan cawan ke arah Adib yang sedang tidur.

Meloncat terus Adib dari katil apabila disimbah air oleh abang iparnya.

"Payah sangat nak kejut. Tak kuasa aku nak terjerit-jerit. Siram aje terus!"

"Kau ni nak balik ke tak?" Dayana sudah siap berkemas untuk Adib sejak petang tadi.

"Balik."

"Ni dah pukul berapa?"

"Alah, balik sebelum pukul sepuluh."

"Itu... Akak dah siapkan barang-barang kau." Mata Dayana menghala ke arah satu sudut rumah. Adib yang tadinya terpisat-pisat terus terbuntang mata memandang barang yang rapi bersusun.

"Apa tu, kak?"

"Barang-baranglah. Adib kata duduk rumah sewa, kan?

"Aha."

"Dah dapat kunci, kan?"

"Dah."

"Hah, ni semua barang untuk rumah sewa tu la."

"Hah?"

Terlopong Adib memandang. Matanya berkerut dan kemudian menggeleng.

"Apa ni, kak? Macam nak pindah satu rumah aje."

"Hahaha... Nasib kaulah, Adib! Abang dah cakap, Kak Yana kau degil." Azmie sudah tergelak-gelak apabila melihat mata Adib melekat dan terpaku pada satu sudut.

Ada dua biji bantal, ada karpet kecil, baldi, penyidai baju, beg berisi cadar, selimut, pinggan mangkuk sudu dan garpu serba satu termasuk cawan beralas dan gelas.

"Kak Yana, apa ni?"

"Apa ni, apa?"

"Barang tu! Siapa nak bawa?"

"Adib bawalah ke rumah sewa."

"Tak mahulah! Tu macam nak berhijrah terus aje."

"Huh! Suka hati kaulah! Akak dah kemaskan, kau tak mahu bawa, kau punya pasal!" Dayana sudah mula berleter panjang. Malas mahu menahan pedih telinga, Adib terus bingkas mandi dan bersolat. Makannya juga laju. Bak kata Dayana, kunyah patah dua aje nasi tu dah ditelan! Kemudian segera dia bersiap untuk kembali ke sarang.

Pada tubuh yang kurus itu, tergantung satu beg selempang. Tiga helai baju sangkut pada hanger. Beres! Tak berkelip Dayana memandang adik lelakinya itu. Ni macam nak tidur dua hari dua malam aje gaya dia balik asrama. Paling sakit mata Dayana memandang seluar yang dipakainya. Sumpah macam terlondeh aje rupanya.

"Boleh tak pakai seluar tu senonoh sikit?" Jeling Dayana.

"Fesyen tu..." Azmie sengaja menyakat isterinya.

"Ni fesyen nak tunjuk pakai spender cap apa, ya!" jerkah Dayana namun Adib tetap selamba.

"Kata duduk rumah sewa, sabun mandi, sabun pencuci, ubat gigi dengan baldi, takkan tak bawa langsung?"

LELAKI LINGKUNGAN CINTARead this story for FREE!