NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

BAB 3

441 7 0

Tepuk bantal, jampi semangat,

Semangat muncul di dalam mimpi.

Cuaca petang itu sedikit panas. Putaran laju kipas angin di atas kepala seakan-akan tidak memberi kesan. Sesekali bahang panas membuat badan tidak selesa. Namun pelajar-pelajar di dalam kelas langsung tidak peduli. Masing-masing rancak bersembang. Tambahan pula Cikgu Mat masih belum masuk ke kelas. Ada hal sedikit katanya. Peluang keemasan dan saat berbahagia buat semua pelajar bila cikgu lambat masuk ke kelas.

Adib dan gengnya juga tidak terkecuali. Di penjuru belakang kelas dengan gaya yang sangat mencurigakan, ada perbincangan tergempar antara Adib dan rakan-rakan yang lain.

Suara berbisik-bisik. Riak wajah masing-masing kelihatan serius. Gaya mereka seperti pak menteri yang hendak membentang usul kerajaan negeri rasanya. Kerusi masing-masing ditarik rapat. Adib di tengah selaku ketua. Bercakap berbisik namun tekun didengar kroni-kroninya.

Di suatu sudut, tidak jauh dari Adib dan rakan-rakan, Esya diam di hujung meja. Kehadiran dia tidak disedari. Matanya pura-pura tekun membaca jurnal biologi tapi telinganya mencapang mahu mendengar butir perbualan.

Dia sudah tidak peduli kalau dia perlu keras ala-ala mannequin challenge sekalipun, asalkan dia dapat mendengar semua rancangan Adib. Bukan apa, kali ini hatinya sudah tekad. Ini peluang dia untuk membalas dendam. Radar telinga dicapangkan bak kuali Astro. Esya tekun mendengar.

"Nak beli dekat mana?" Ijat bertanya. Mukanya selenga memikirkan rencana Adib.

"Alah, beli benda tu dekat kedailah! Takkan dekat bengkel motor pula! Sengal la kau!" Adon menjawab sambil menunjal kepala Ijat.

"Masa bila kita nak beli?" Arep seperti tidak nampak jalan keluar.

"Masa solat Jumaatlah. Macam tak biasa!" Adib seperti biasa memang cekap lagi pantas akalnya berfikir.

Sambil pasang telinga, akal Esya ligat berfikir. Benda apa yang kambing-kambing ni nak beli sampai berahsia sangat? Esya sudah mula gelisah.

Ni mesti ada benda jahat yang dia orang nak buat! Huh! Penting ni! Esya sudah bersiap-siap untuk mengengsot mendekatkan diri kepada kumpulan Adib. Namun, baru mahu mendekati mereka, Rinn datang menepuk bahu.

"Mak cik, buat apa kat belakang ni? Tidur ke?"

Esya terkejut hampir tersedu dek Rinn yang muncul entah dari ceruk mana. Mujur saja tidak keluar latah hip hopnya itu.

"Shhh... Kau ni buat aku terkejut ajelah!"

Rinn tersengih.

"Kenapa kau terkejut? Kau tengah menghendap orang ke?"

Sekali lagi Esya berkerut dahi sambil menuding jari ke arah mulut Rinn.

"Shhh! Kau diamlah. Aku tengah menyiasat ni. Kalau nak join, duduk diam-diam kat sini. Dengar."

Rinn sekadar mencebik bibir. Namun dia tetap menarik kerusi perlahan di sebelah Esya. Apalah yang mak cik ni nak siasat agaknya? Esya memberi signal supaya fokus kepada Adib dan geng-gengnya. Rinn angguk kecil dan mula memasang telinga.

"Ustaz Mat Shahrul kalau buat spot check macam mana?"

"Minggu ni mana ada spot check dekat pagar. Kelmarin kan dia dah buat!" Adib sudah membuat kiraan sendiri. Gaya seperti penganalis profesional lagaknya.

"Confirm la ni, ya? Tak berbahaya pada perahu-perahu kecil nelayan?" soal Arep penuh rasa bimbang.

"Hahaha confirm!" Adib membalas penuh yakin.

LELAKI LINGKUNGAN CINTARead this story for FREE!