CHAPTER 04

7.2K 288 9
                                    

"ASSALAMUALAIKUM , Dato'," ucap Rafique seraya menghulurkan tangannya namun huluran tangannya itu dibiarkan, tidak bersambut.

Seorang lelaki separuh umur sedang duduk bersandar di sofa empuk. Wajah lelaki tua itu kelihatan agak serius. Kasya merasa kurang senang apabila papanya tidak menyambut huluran Rafique dan tidak menjawab salam lelaki itu. Wajah papanya mencuka.

"Awak duduklah dulu. Saya nak ke dapur sekejap nak buatkan air," Kasya meminta diri untuk ke dapur

"Duduk," arah Dato' Amir dingin setelah kelibat anaknya hilang.

Lambat-lambat Rafique duduk menghadap lelaki itu. Mata Dato' Amir tepat dan tajam menikam anak mata Rafique.

"Nama apa?"

Rafique menelan liur mendengar soalan dingin daripada lelaki tua itu.

"Rafique. Rafique Amsyar," balasnya gugup.

"Tinggal kat mana? Macam mana boleh kenal dengan Kasya?" Soal lelaki itu lagi

Rafique menelan liur. Pahit.

"Saya tinggal tak jauh dari kolej. Area rumah murah-" kata-kata Rafique terhenti apabila Dato' Amir membuat isyarat menyuruhnya untuk berhenti.

"Rumah murah?" Tanya Dato' Amir dengan sinis. Lambat-lambat Rafique mengangguk. Nampaknya, lelaki di hadapannya ini tidak sukakannya. Dilihat dari raup wajah dan nada bicara sahaja, sudah boleh diagak. Rafique cuba untuk memberanikan diri. Ekspresi wajahnya dikawal biar dia kelihatan tidak gugup. Dihadapannya ini ialah seorang yang sombong. Dia tidak boleh gusar.

"Huh, macam manalah Kasya boleh nak berkawan dengan kau. Tinggal dengan siapa?" Tanya Dato' Amir lagi.

"Sorang," balas Rafique pendek.

"Habis, apa yang kau buat untuk sara diri kau?"

"Saya part time," balas Rafique, pendek.

"Macam mana kau boleh tanggung perbelanjaan dekat kolej tu? Kolej tu kolej elit. Mahal. Hanya orang kaya je yang belajar dekat situ. Atau, kau terima bantuan biasiswa? Dari kerajaan?" Soal Dato' Amir dengan sinis.

"Dato', saya-" sekali lagi kata-katanya terhenti.

"Kau sebenarnya tak layak nak berkawan dengan anak aku. Jangan-jangan kau berkawan dengan dia sebab harta? Ye lah, orang miskin kan, dia tak nak berusaha. Harapkan pertolongan dari orang. Masa kecil-kecil tak nak belajar sungguh-sungguh, lepastu bila dah beranak pinak, mulalah takde duit nak-" kata-kata Dato' Amir terhenti apabila Rafique berdiri. Wajahnya kelihatan tegang. Hatinya mula membara.

"Dato', saya hormat Dato' sebab Dato' orang kaya. Orang berpangkat tinggi. Tapi Dato' jangan ingat, Dato' ada duit, Dato' boleh cakap lepas je dengan saya. Saya manusia juga, Dato'. Ada perasaan. Ye, saya sedar siapa diri saya. Saya sedar saya tak layak nak berkawan dengan Kasya. Mungkin ianya satu dosa bagi orang kaya sekiranya berkawan dengan orang miskin macam saya," Rafique berjeda seketika lalu menghela nafas. Wajah Dato' Amir yang sombong itu dipandang.

"Dato' nak hina saya, tak apa. Tapi, jangan pernah melibatkan arwah ibu bapa saya. Patutlah mereka dulu tak suka dengan orang kaya. Rupanya, begini perangai kalian. Sombong, bongkak. Dato' kena ingat tak semua benda di dunia boleh dibeli denagn wang. Pangkat dan kekayaan yang Dato' miliki sekarang atas sebab rezeki yang telah Allah berikan kepada Dato'. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik semua tu," sambung Rafique lagi. Panjang lebar. Melepaskan geramnya sebelum dia melepaskan keluh yang berat.

"Maafkan saya jika saya terkasar bahasa. Saya balik dulu. Assalamualaikum," Rafique meminta diri sebelum melangkah keluar meninggalkan rumah mewah itu.

"Huh, biadap!" ucap Dato' Amir perlahan. Dadanya diurut perlahan. Lantang sekali anak muda itu!

"Papa tak pernah nak berubah, kan?" Kasya bersuara dari arah belakang secara tiba-tiba.

"Papa tak suka dia. Miskin! Biadap!"

"Dia tak biadap, pa! Disebabkan dia miskin, papa hina dia? Sampai bila papa nak merendahkan orang miskin? Rafique tu satu-satunya kawan Sya, pa," balas Kasya diikuti dengan esakan. Kakinya diatur laju menaiki tangga menuju ke biliknya. Hatinya hancur berkecai.



"ASSALAMUALAIKUM," salam diberikan kepada Rafique seraya melabuhkan duduknya di sebelah lelaki itu.

"Waalakumussalam," jawab Rafique lalu diam. Fokus kepada kerjanya.

Serba salah menyelubungi diri Kasya. Tidak tahu apa yang patut dia mulakan untuk memancing kawannya itu untuk berbual. Terasa kekok.

"Hari ni hari kelima," Kasya mula bersuara.

Rafique hanya tersenyum tanpa memandang gadis di sebelahnya.

"Saya nak minta maaf atas apa yang papa dah buat kat awak," Kasya bersuara lagi.

Lelaki di sebelahnya dipandang dengan penuh rasa bersalah. Namun, lelaki itu tidak memandangnya. Hanya sebuah senyuman terukir di bibir lelaki itu. Senyuman yang nipis.

"It's okay. Saya pun nak minta maaf sebab dah berkasar dengan papa awak," Rafique bersuara seraya memandang Kasya.

"Papa memang macam tu. Apa yang awak cakap tu tiada yang salah," balas Kasya lalu tersenyum.

Rafique turut tersenyum.


HARI ini genap 15 hari mereka berkenalan dan berkawan. Sungguh Kasya yakin bahawa Rafique lah kawan yang dicari selama ini.

Kakinya menuruni tangga dengan laju. Rambut yang terjuntai disingkap ke celah telinga. Tali beg sandangnya yang terlondeh disingkap ke bahu.

"Sya nak pergi mana?" Tanya Dato' Amir yang baru memasuki rumah.

"Sya nak keluar.." balas Kasya acuh tak acuh.

"Nak keluar dengan budak tu ke?" Pertanyaan Dato' Amir mematikan langkah Kasya lalu gadis itu memandang papanya

"Papa ada benda yang nak dibicarakan" ucap Dato' Amir.

"Sya dah lambat, pa. Sya pergi dulu," Kasya terus beredar meninggalkan papanya. Malas mendengar ulahan papanya.


"2 MINGGU lagi Rafique. Dah cukup ke 20 ribu aku tu?" Tanya Joe seraya mengelilingi Rafique. Bibirnya mengukir senyum sinis.

"Aku nak ingatkan kau je. Lagi 2 minggu. Ye lah. Kau kan dah ada kawan. Dengar kata anak orang kaya. Uish, asal kau tak minta je duit dengan dia?" Joe mula menyeringai.

"Aku kawan dengan dia bukan sebab harta. Hutang kau, biar aku bayar dari hasil titik peluh aku sendiri," balas Rafique, mulai bengang.

Hasil titik peluh? Bagaimana dia nak cari wang sebanyak itu dengan hasil titik peluhnya sedangkan dia sudah dibuang kerja gara-gara dia sentiasa datang lewat ke tempat kerja. Dia bukannya sengaja tetapi disebabkan dia perlu melakukan dua perkara dalam sehari, amat payah. Ditambah pula dia sudah mula sibuk dengan assignments.

"Okay, fine! 2 minggu nanti, aku nak 20 ribu aku cash depan mata aku. Kalau tak-" kata-kata Joe terhenti apabila dia melihat Kasya berlari ke arah mereka.

"Ouh, tu kawan kau. Ingat! 2 minggu nanti aku datang," bisik Joe rapat di telinga Rafique sebelum beredar. Dia melihat ke arah Kasya sehingga membuatkan gadis itu merasa takut. Kasya yang bertentangan mata dengan Joe mula merasa gerun.

Samseng tu! Samseng yang sama yang pukul Rafique pada malam tu.

"Awak okay?"

RAFIQUE AMSYAR ✔ Where stories live. Discover now