Rumput Yang Lebih Hijau

30 0 0
                                    

1

Kadang-kadang dia fikir, namanya dan realiti hidupnya bagaikan langit dan bumi. Nama yang diberi : Aliza, yang menurut arwah ibu membawa maksud ‘kegembiraan’ dalam Bahasa ibrani. Tetapi sejak kecil Aliza membahasakan dirinya sebagai Mawar. Menurut arwah ibunya lagi, Mawar merupakan nama timangan yang diberi oleh arwah opah semasa dia berusia 6 bulan. Dan seingat Aliza, tiada seorang pun yang kenal Aliza dengan nama sebenarnya. Seluruh pekan Kepala Batas kenal Mawar, anak perempuan Maimunah. Bukannya Aliza.

Menurut orang tua-tua, nama merupakan doa. Seperti mantra yang diulang berkali-kali, maksud disebalik nama itu akan menjadi kenyataan. Kadang-kala Aliza fikir, mungkin sebab itulah hidupnya tidak seindah namanya. Ironinya, hidup nya tidak pernah gembira. Realitinya, Aliza rasa dia tidak pernah berhenti diduga dan diuji.

Jarum jam menunjuk ke angka 9 tetapi langit masih belum betul-betul gelap. Daripada tingkap dapur apartmentnya, dia dapat lihat warna jingga yang semakin menghilang di ufuk barat dan anak-anak muda yang berbasikal ke taman Paul Mistral bertentangan bangunan apartmentnya. Musim panas merupakan musim yang paling digemari Aliza.

Suasana musim panas di bumi napoleon bagaikan bangun daripada lena musim salju yang nyenyak. Siang yang lebih panjang, suhu yang panas dan kering, pesta sehingga larut malam. Semua orang, terutamanya muda-mudi keluar daripada gua persembunyian dan berlibur di kaki lima. Aliza gemar berdiri di tingkap dapur sambil memerhatikan gelagat pelanggan Paul yang beratur panjang menunggu giliran pizza mereka dihidangkan. Setiap hari isnin, rabu dan hujung minggu akan ada kugiran yang main muzik secara langsung di taman rekreasi berdekatan dan setiap kali muzik dimainkan, pelanggan-pelanggan Paul akan menari, ketawa sambil meneguk beer yang sejuk.

Lagi 30 minit telefon pintarnya akan melaungkan azan dan Aliza akan bersungkai di tepi tingkap. Sejak teman serumahnya pulang ke Malaysia, Aliza akan berbuka puasa seorang diri sambil melihat keramaian di Paul Mistral. Suasana setiap petang seakan-akan sama, kanak-kanak lelaki berambut perang main Frisbee dengan Husky nya yang besar seakan serigala, sepasang warga emas yang dia kenal muka tetapi tak kenal nama jalan berpegangan tangan melintas jalan setelah puas berdua-duaan di taman dan seorang gadis berambut perang dalam lingkungan awal dua puluhan yang duduk di atas kerusi batu sambil membaca majalah.

Aliza yakin yang dia merupakan satu-satunya warganegara Malaysia masih tinggal di Grenoble pada cuti musim panas kali ini. Kebanyakkan rakan sekelasnya telah pulang ke tanah air untuk menyambut Ramadhan dan aidil fitri bersama keluarga tercinta.

Jauh disudut hatinya, Aliza berharap dia juga mampu pulang bercuti di Malaysia. Dia rindukan arwah ibu dan kemeriahan berpuasa di kampung.

2

Walaupun dia ada kelas tambahan sehingga pukul 6 petang, Aliza langsung tidak dapat lelapkan mata. Dia baring membelakangi sepupu ibu nya sambil menahan nafas. Dia cuba untuk meminimumkan pergerakan agar lelaki itu tidak perasan yang Aliza masih berjaga.

Dia cuba pejamkan mata, cuba paksa diri nya untuk tidur. Mungkin semuanya hanya mimpi ngeri. Mungkin sekiranya dia sedut dan hembus nafas dengan perlahan, air matanya akan berhenti mengalir secara sendiri. Mungkin sekiranya dia baring kaku, segala lebam dan sakit di badannya akan hilang. Mungkin semuanya hanya mimpi.

Lima belas minit berlalu, tetapi jarum minit bagaikan diperlahankan dan lima belas minit terasa bagaikan lima belas tahun. Lelaki itu selesai berpakaian dan buka pintu bilik tidur lalu tinggalkan Aliza seorang diri. Sebaik sahaja pintu tertutup rapat, Aliza bergegas bangun dan kunci pintu tersebut. Sofa lama yang ibu tumpang letak di dalam biliknya ditolak untuk hadang pintu.

Rumput Yang Lebih HijauWhere stories live. Discover now