Bab 5 - bahagian i

500 6 0
                                    

Selepas taklimat selesai, Azeem diminta untuk melaporkan diri ke bahagian UPO atau ringkasan bagi Unit Peralatan Operasi. Di bahagian tersebut anggota-anggota ESPIONAJ akan melaporkan diri untuk mendapatkan apa-apa peralatan mahupun gajet yang akan dibekalkan bagi mereka menjalankan misi yang telah diberikan. Di kompleks Jabatan Perdana Menteri Putrajaya, bahagian UPO terletak di tingkat bawah tanah. Di bahagian tersebut, bahagian Penyelidikan & Pembangunan ESPIONAJ menjalankan pelbagai ujikaji bagi menghasilkan pelbagai peralatan, senjata terbaru dan gadget bagi anggota-anggota ESPIONAJ menjalankan operasi dengan lebih lancar.

Sebagai sebuah agensi perisikan utama Malaysia, ESPIONAJ mendapat peruntukan yang banyak bagi memastikan segala gerak kerjanya berjalan lancar. Malaysia tidak lagi mahu menjadi pemerhati dan pengikut, ataupun menjadi 'mangsa' di dalam realiti dunia semasa. Malaysia perlu bertindak dan proaktif dalam menjaga segala kepentingannya di seluruh dunia, samada untuk kepentingan jangkamasa panjang mahupun matlamat jangkamasa pendek.

Azeem menggunakan lif untuk ke tingkat bawah tanah. Setibanya dia ke tingkat tersebut, pintu lif dibuka dan Azeem melangkah keluar. Di tingkat tersebut sesiapa sahaja yang baru keluar daripada lif akan 'disambut' oleh dua orang pengawal yang menjaga pintu masuk ke bahagian UPO. Dua orang pengawal yang memakai pakaian seragam ESPIONAJ melihat Azeem berjalan ke arah mereka. Seorang daripada pengawal tersebut berada di meja dengan sebuah komputer dan peralatan sementara pengawal kedua berdiri untuk membuat pemeriksaan badan.

Azeem mengeluarkan kad kuasanya lalu menunjukkan kad tersebut kepada pengawal tersebut. Pengawal mengambil kad tersebut lalu memasukkan kad tersebut ke slot di komputer. Gambar Azeem tertera di skrin komputernya. "Kapten, scan mata."

Azeem terus melangkah ke arah pengimbas retina yang terletak di tepi pintu besi lalu mengimbas matanya. Sebaik sahaja matanya diimbas, kedengaran seperti kunci pintu besi dibuka dan pintu keluli tersebut bergerak.

Pengawal yang mengesahkan identiti Azeem mencabut kad kuasanya lalu diserahkan semula kepada Azeem. Azeem terus berjalan untuk melepasi pintu keluli tersebut, namun pengawal kedua yang menunggu meminta Azeem untuk mengangkat tangannya untuk pemeriksaan badan. Azeem menurut sahaja dan pengawal tersebut menggunakan alat pengimbas untuk memeriksa badannya. Apabila pengawal tersebut mengimbas Azeem di bahagian badan, alat tersebut mengeluarkan bunyi. Azeem kelihatan sedikit terkejut.

"Oh, sorry, saya terlupa," kata Azeem sambil mengeluarkan sepucuk pistol yang dibawanya dari dalam jaket dan menyerahkan pistol tersebut kepada pengawal.

"Tuan boleh ambil balik pistol ni bila keluar."

"Okey."

Pengawal tersebut kembali berdiri tegak selepas membuat pemeriksaan kepada Azeem. "Tuan boleh masuk sekarang."

"Terima kasih," jawab Azeem sambil tersenyum lalu melangkah masuk ke dalam bahagian UPO. Sebaik sahaja Azeem melangkah masuk, Azeem memandang ke seluruh pelusuk bahagian tersebut. Terdapat beberapa bilik yang berbeza dengan staf-staf yang bekerja untuk unit masing-masing. Azeem terus berjalan masuk dan melepasi bilik-bilik yang berbeza. Terdapat makmal kimia, bengkel kenderaan, firing range tertutup, gudang senjata, makmal peralatan elektronik dan makmal komputer. Kelihatan petugas-petugas UPO yang terdiri daripada lelaki dan perempuan berbilang bangsa sedang tekun menjalankan tugas masing-masing.

Ketika berjalan melepasi firing range tertutup, Azeem memandang ke arah bilik tersebut yang boleh dilihat daripada luar menerusi tingkap fiberglass. Seorang lelaki sedang menggunakan sebuah senapang patah automatik AA12 dan menembak ke arah sasaran yang terletak hampir 100 meter di hadapannya. Tembakan-tembakan yang dilepaskan secara bertalu-talu tersebut menghancurkan patung sasaran dengan hanya sekelip mata.

Selepas tembakan dihentikan, Azeem meneruskan langkahnya untuk bertemu Alfian Zahid, seorang pegawai teknologi. Bilik Alfian terletak paling belakang antara pejabat dan makmal yang ada. Setibanya di bilik Alfian, Azeem mendapati Alfian sedang tekun melihat sesuatu di bawah kanta pembesar. Alfian seorang pemuda berusia awal 30-an, memakai kacamata tebal dan berambut kerinting. Pada hari itu, Alfian memakai baju dengan fesyen kotak-kotak berwarna perang, berseluar jeans dan kasut Converse.

"Boss, sibuk ka?" sapa Azeem.

Mendengar suara yang dikenalinya, Alfian yang sedang duduk membelakanginya memusingkan kerusi. "Wei, lama tak singgah!"

Air muka kedua-duanya kelihatan ceria. "Tak sempat, Boss, asyik outstation."

"Masuk, masuk, bang," balas Alfian. Dia segera bangun daripada kerusi dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Azeem. Azeem menyambut tangannya.

"Kolonel suruh jumpa kau."

"Yup, ada benda nak bagi," kata Alfian. "Aku seronok kau masih hidup lagi, hahahaha!"

Azeem turut ketawa mendengar gurauan kasar rakannya itu. Tapi itulah realitinya. Bidang tugas dan kerjanya memang berisiko tinggi. Bila-bila masa sahaja maut boleh menghampiri. "Alhamdulillah, umur panjang lagi."

"Jap," kata Alfian sambil membuka peti ais kecil di bilik pejabatnya, lalu mencapai sebotol Barbican lalu menghulurkannnya kepada Azeem.

Azeem mengambil Barbican yang dihulurkan Azeem. "Thanks." Dengan menggunakan tangan kanan, Azeem memulas penutup botol Barbican tersebut. Sebaik sahaja penutup botol terbuka, Azeem meneguk minuman berperisa strawberi tersebut. Kebetulannya dia berasa agak dahaga walaupun telah meminum secawan kopi semasa taklimat sebentar tadi.

"Bro, kau tunggu kejap. Aku nak ambik barang," pinta Alfian sambil menolak kerusinya kepada Azeem.

"Okey."

ESPIONAJ : Dosa Sang PetualangWhere stories live. Discover now