Bab 3

571 10 0
                                    

Helikopter yang dinaiki tiba ke sebuah lapangan terbang kecil sejam kemudian. Matahari baru sahaja terbit dan keadaan persekitaran masih lagi samar-samar. Setibanya mereka di sana, Azeem mendapati terdapat 4 buah kenderaan Sport Utility Vehicle atau SUV berwarna gelap. Sejurus sahaja helikopter tersebut mendarat, beberapa orang lelaki datang ke arah helikopter dan membantu mengeluarkan mayat lelaki Melayu dan memapah lelaki Cina tersebut turun. Sarjan Haris memapah keluar Koperal Andrew daripada helikopter dan membawanya ke sebuah SUV sambil dibantu oleh beberapa orang lelaki yang lain. Lelaki-lelaki yang hadir di lapangan terbang itu merupakan anggota-anggota perubatan yang bersedia untuk memberikan rawatan kecemasan dan perubatan kepada mereka yang tercedera.

Azeem turun daripada helikopter tersebut sambil membawa peralatan dan senjatanya. Dia merasa penat dan letih kerana unitnya telah masuk ke dalam kawasan hutan untuk memantau dan menjalankan operasi mereka sejak 48 jam yang lepas. Sambil berjalan ke arah sebuah kenderaan SUV, Azeem terlihat kelibat pegawai atasannya, Kolonel Othman Rashid sedang berdiri memerhatikan mereka bersama-sama dengan Kolonel Aroon Chaiya, seorang pegawai tentera dalam tentera udara Thailand.

Azeem tidak menyapa Kolonel Othman, sebaliknya dia terus membuka pintu belakang kenderaan tersebut dan memasukkan peralatan dan senjatanya. Sarjan Haris mengikutinya dari belakang dan turut memasukkan peralatannya.

"Macamana dengan Andrew?" Azeem bertanya kepada Sarjan Haris.

"Kecederaan sikit sahaja, tuan, terkena serpihan kayu. Tadi yang dia macam lost sikit tu pasal impak letupan."

Azeem menoleh dan memandang ke arah sebuah lagi kenderaan SUV. Dilihatnya beberapa orang anggota perubatan sedang merawat kecederaan Koperal Andrew dan lelaki Cina. Sementara itu, Koperal Ramasamy kelihatan sedang bercakap-cakap dengan Inspektor Zulaikha sambil minum air mineral.

Sementara itu, Kolonel Othman sedang bercakap dengan Kolonel Aroon. Wajah mereka kelihatan serius. Kolonel Othman seterusnya menghulurkan sebuah sampul surat sederhana besar yang berisi kepada Kolonel Aroon. Azeem dapat mengagak apa yang berlaku dan apa yang terkandung di dalam sampul surat tersebut. Memandangkan mereka menjalankan sebuah operasi di wilayah Thailand, beberapa 'arrangement' perlu dilakukan dengan pihak tentera Thai agar misi yang dijalankan oleh unit Alpha pada malam itu dapat berjalan dengan lancar. Lebih-lebih lagi, apabila unit Alpha perlu menggunakan sebuah sebuah helikopter untuk menjalankan tindakan exfiltration, atau lebih ringkas dirujuk sebagai exfil.

Memandangkan kawasan operasi mereka pada masa itu diketahui mempunyai kegiatan-kegiatan pengganas dan kartel dadah, tentera Thai hanya memejam sebelah mata dan membolehkan unit Alpha menjalankan operasi mereka. Walaupun kelihatan seolah-olahnya terdapat sogokan, namun hakikatnya terdapat 'diplomasi tahap tertinggi' yang dicapai dalam kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam lingkungan komuniti ketenteraan dan perisikan Malaysia dan Thai.

ESPIONAJ : Dosa Sang PetualangWhere stories live. Discover now