Bab 1 - bahagian 1

1.8K 13 0
                                    

Daerah Khun Yuam, wilayah Mae Hong Son, utara Thailand.

Jam 0400. Kebanyakan manusia sedang tidur pada ketika waktu-waktu begini. Kelihatan sebuah pondok yang dikawal oleh 4 orang lelaki yang bersenjatakan raifal M4 dan juga AK-47. Dua daripada mereka berkawal di hadapan, sementara dua lagi mengawal di belakang. Dua lelaki yang berkawal di hadapan berbual-bual sesama sendiri sambil bergelak ketawa. Di bahagian belakang, seorang daripadanya sedang bercakap menerusi telefon bimbit, manakala seorang lagi sedang menguap sambil ia bersandar di sebatang pohon.

Suasana di kawasan tersebut gelap dan dikelilingi oleh kawasan hutan. Hanya cahaya bulan dan lampu kecil yang dipasang pada pintu tersebut menerangi kawasan tersebut.

Di dalam pondok tersebut, terdapat 2 orang lelaki yang sedang diikat di kerusi. Seorang daripadanya berbangsa Melayu, manakala seorang lagi berbangsa Cina. Terdapat kesan bengkak dan lebam pada muka lelaki Melayu tersebut. Kesan tembakan juga terdapat pada dahinya, dengan kesan darah kering yang dihinggapi lalat. Kepala lelaki Melayu itu tersembam ke bawah. Ternyata ia sudah tidak bernyawa lagi.

Sementara itu, kepala lelaki Cina yang diikat bersebelahan dengan lelaki Melayu itu kelihatan terlentuk longlai. Namun, dadanya masih kelihatan bergerak dan ia masih bernafas, walaupun lemah. Wajahnya juga kelihatan lebam dan bengkak. Sesekali dengan matanya terpejam, kepalanya digerakkan sambil mulut dan giginya mengancing, menahan kesakitan. Dia mengerang perlahan.

Keempat-empat lelaki yang berkawal di luar pondok tersebut langsung tidak menyedari bahawa berhampiran kedudukan mereka, 4 orang komando berpakaian celoreng berada tidak jauh daripada mereka. Kesemuanya membawa senjata automatik dan kelengkapan-kelengkapan taktikal yang lain serta dilengkapi dengan alat komunikasi untuk mereka berhubung sesama sendiri. Mereka juga menggunakan gogel pandang malam untuk membolehkan mereka melihat dengan lebih jelas pada malam tersebut. 4 orang komando tersebut terdiri daripada Azeem yang berpangkat Kapten di dalam Angkatan Tentera Malaysia bersama-sama anggota-anggota unitnya yang lain iaitu Sarjan Haris, Koperal Ramasamy dan Koperal Andrew.

Azeem, ketua kepada unit tersebut bercakap dengan nada yang perlahan kepada anggota-anggotanya yang lain. "Semua sudah ada di kedudukan?"

Sarjan Haris menjawab, "Sudah, Tuan."

Kapten Azeem menambah, "Inspektor?"

Inspektor Zulaikha, penembak tepat dan sniper bagi unit tersebut berada hampir 300 meter dari kawasan pondok tersebut. Ia mengambil kedudukan di sebuah kawasan tanah tinggi sambil menghalakan raifal Barret M107A1 yang dipasangkan dengan suppressor ke arah rumah tersebut. Mendengar suara Azeem, Inspektor Zulaikha membalas, "Di posisi, Alpha 1. Tiada pergerakan lain dikesan dalam lingkungan 50 meter daripada kawasan lokasi."

"Roger, Alpha 5," sambut Kapten Azeem.

Mengikut perancangan mereka, Koperal Ramasamy dan Koperal Andrew akan meneutralkan 2 orang pengawal di belakang pondok, sementara Azeem dan Sarjan Haris pula akan 'menguruskan' dua lagi pengawal yang sedang leka berbual-bual di bahagian hadapan.

Azeem melihat kepada jam tangan yang dipakainya. 3:38 pagi. Mengikut apa yang dipersetujui, tepat jam 4:00 pagi, mereka semua akan bergerak menghampiri pondok tersebut dan melakukan tugas masing-masing sebagaimana yang diarahkan.

"2 minit...... semua bersedia," Azeem memberikan arahan kepada yang lain dengan suara yang perlahan.

Tepat jam 4 pagi,keempat-empat komando yang sejak 1 jam yang lepas memerhatikan kedudukan musuh,mula bergerak secara perlahan-lahan ke arah sasaran mereka.

ESPIONAJ : Dosa Sang PetualangWhere stories live. Discover now