Bab 4 - bahagian i

562 10 0
                                    

Operasi yang dijalankan telah selesai. Objektif mereka untuk menyelamatkan dua individu gagal kerana lelaki Melayu telah meninggal dunia sebelum sempat diselamatkan. Walau bagaimanapun, lelaki Cina yang cedera berjaya dibawa pulang. Setelah kembali ke Malaysia, Azeem dan anggota-anggota unitnya telah diberikan 2 minggu untuk R&R. Namun, baru sahaja 3 hari berehat, Azeem telah mendapat panggilan untuk menghadiri taklimat operasi. Walaupun masih berasa penat, dia menggagahkan dirinya untuk hadir ke pejabatnya yang terletak di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Apabila dia tiba ke pejabat, Azeem diminta oleh petugas pejabatnya untuk terus ke bilik operasi bagi taklimat. Azeem mengikut sahaja arahan tersebut. Dia terus memasuki lif untuk ke tingkat 4 ke bilik operasi. Memang secara kelazimannya, dia akan mendapat taklimat operasi di bilik tersebut. Setibanya ke tingkat 4, pintu lif terbuka dan Azeem melangkah keluar daripada lif. Didapatinya Puan Latifah, kerani senior yang bertugas menjaga bilik taklimat operasi tersebut sedang berada di meja dan sedang menaip sesuatu di komputernya. Melihatkan Azeem yang baru keluar dari lif dan sedang berjalan ke arahnya, Puan Latifah berhenti daripada menaip, lalu mengambil fail yang berada di rak di belakangnya.

Azeem menyapanya, "Assalamualaikum. Sihat, Puan?"

"Alhamdulillah. Okey ja. Bila sampai?"

Azeem tidak segera menjawab. "3 hari lepas."

Puan Latifah tersenyum. "Hmm, ni nak dapat kerja baru la ni," balas Puan Latifah sambil menghulurkan fail yang diambil daripada kepada Azeem.

Azeem menyambut fail tersebut. "Apa nak buat, cari makan."

"Kejap lagi Kolonel datang. Dia suruh Kapten tunggu dulu di bilik taklimat."

"Okey, terima kasih."

Azeem berjalan menuju ke bilik taklimat tersebut yang terletak kira-kira 50 meter di sebelah kiri lif. Ia singgah sebentar di ruangan pantri dan melihat samada terdapat kopi yang telah dibancuh. Azeem tersenyum kecil melihatkan ada kopi yang tersedia dibancuh di dalam mesin pembancuh. Dia mengambil sebuah mug lalu menuangkan kopi ke dalam mug tersebut. Kopi masih panas dan wap naik ke udara daripada mug tersebut. Setelah meletakkan teko pembancuh kopi tersebut, Azeem berjalan terus menghala ke bilik taklimat operasi.

Puan Latifah memandang sahaja Azeem yang pada hari itu memakai kemeja panjang berbutang hingga ke lengan dan berseluar khakis berjalan melepasinya. Segak dan kacak. Itulah apa yang terlintas di fikirannya. Azeem seorang yang berketinggian sederhana, tidak terlalu kurus atau terlalu berisi. Kulitnya sawo matang. Dengan gaya rambut pendek dengan sedikit jambang dan kumis yang nipis, memang mana-mana anak gadis akan rasa tertawan jika melihat Azeem. Memikirkan keadaan itu, Puan Latifah tersenyum sendirian lalu meneruskan kerjanya.

Azeem mematikan langkah setibanya di hadapan pintu. Bilik tersebut merupakan sebuah bilik taklimat yang berdinding kaca. Lebih istimewa, kaca yang digunakan adalah switchable glass yang membolehkan dinding kaca tersebut dikaburkan ketika mesyuarat sedang berlansung. Azeem mengimbas matanya di pengimbas retina dan menyebutkan kata laluan, lalu secara otomatik pintu kaca tersebut terbuka. Apabila pintu terbuka, Azeem melangkah masuk ke bilik tersebut dan didapatinya air-cond telah sedia dipasang. Dia meletakkan mug berisi kopi panas di atas meja lalu menarik kerusi untuk duduk. Setelah duduk, Azeem melihat kandungan fail yang diberikan kepadanya sambil minum kopi panas tersebut. Tiket penerbangan ke Cambodia.

ESPIONAJ : Dosa Sang PetualangWhere stories live. Discover now