Bab 2 - bahagian iv

666 8 0
                                    

Jeritan Azeem diikuti dengan sebuah letupan kecil. Roket yang dilepaskan musuh telah terkena sebuah pokok dan mematahkan batang pokok tersebut. Koperal Andrew yang berada berhampiran dengan pokok tersebut tercampak beberapa meter akibat impak letupan yang berlaku.

Selepas roket tersebut meletup, buat beberapa saat tembakan daripada kedua-dua arah terhenti, namun terus bersambung semula. Kumpulan musuh melepaskan tembakan balas ke arah mereka, namun tembakan-tembakan yang dilepaskan tidak begitu tepat disasarkan. Mungkin kerana mereka tidak mempunyai gogel pandang malam dan terpaksa mengagak kedudukan Azeem dan unitnya.

Melihatkan rakannya yang tercampak, Sarjan Haris yang pada mulanya meniarap bangun dan terus melepaskan tembakan. Walaupun keadaan pada ketika itu kelam-kabut, namun Sarjan Haris masih tenang dan terus menembak ke arah musuh. Setelah peluru di dalam magazin habis, Sarjan Haris duduk melutut untuk menukarkan magazin berpeluru dengan magazin kosong.

Pada masa yang sama, Azeem mengambil sebutir grenad lalu menarik pin. Dengan pantas dia melontarkan grenad yang dihidupkan tersebut ke arah kedudukan trak-trak tersebut. Satu letupan berlaku. Pada masa yang sama kelihatan beberapa orang musuh tercampak akibat terkena serpihan grenad yang meletup.

Inspektor Zulaikha turut melepaskan tembakan demi tembakan ke arah musuh. Pada kiraannya, dia telah berjaya menembak dengan tepat sekurang-kurangnya dua orang musuh. Tembakan daripada raifal yang dibawanya sememangnya berkuasa dan menyebabkan tubuh musuh yang ditembak tercampak beberapa meter ke belakang.

"Haris, check Andrew!" Azeem mengeluarkan arahan sambil terus melepaskan tembakan.

Sarjan Haris bangun daripada kedudukan melutut dan terus melangkah dengan hati-hati ke arah kedudukan terakhir Koperal Andrew. Dia dapat merasakan peluru-peluru sedang berterbangan di bahagian kiri dan kanannya. Mulutnya tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat Quran yang dihafal, memohon agar peluru musuh tidak hinggap di badannya.

Sarjan Haris menemui Koperal Andrew yang bersandar di sebatang pokok tumbang. Menerusi gogel pandang malamnya, dia dapat melihat rakannya itu sedang menekap luka di bahu kirinya.

"Andrew, kau okey ka?" kata Sarjan Haris sambil melutut dan memegang kaki Koperal Andrew. Dipandangnya wajah Koperal Andrew yang tidak mempunyai sebarang reaksi.

"Bahu kena serpihan bom, tempat lain tak cedera...... kepala aku berpinar sikit!"

Pertempuran telah berlaku hampir sepuluh minit. Di pihak musuh, sekurang-kurangnya 5 orang musuh telah mati dan selebihnya tercedera. Mereka yang masih selamat mula mengaturkan langkah untuk berundur memandangkan mereka tidak lagi mampu membalas tembakan-tembakan unit komando yang lebih cekap dan teratur.

"Alpha 1, saya nampak musuh mula melarikan diri... ulang, saya nampak musuh mula melarikan diri!" Inspektor Zulaikha memaklumkan. Dia dapat melihat dengan jelas walaupun dalam kegelapan malam saki-baki musuh mula bergerak menjauhi lokasi pertempuran menuju ke kawasan hutan.

"Roger, Alpha 5!"

Azeem mengarahkan anggota-anggotanya yang lain untuk menghentikan tembakan masing-masing. Selepas mereka menghentikan tembakan, mereka juga tidak mendengar sebarang tembakan balas daripada musuh.

Azeem menghubungi helikopter untuk membuat pendaratan untuk membawa mereka pulang. Juruterbang helikopter terus membuat satu pusingan di ruang udara di atas medan pertempuran mereka lalu menuju ke arah kawasan pendaratan yang ditetapkan.

"Alpha 5, kita nak balik. Tinggalkan senjata awak dan cepat ke LZ... Lari!"

Mendengar arahan daripada ketuanya, Inspektor Zulaikha terus bangun dari kedudukannya lalu bergegas ke kawasan pendaratan. Dia meninggalkan sahaja raifal penembak tepatnya di lokasi untuk membolehkan ia segera berlari. Di tangannya hanya ada submesingan MP5 yang dibawa sebagai senjata sokongan. Dengan sepenuh tenaganya, Inspektor Zulaikha berlari meredah lalang yang meninggi ke lokasi pendaratan.

ESPIONAJ : Dosa Sang PetualangOnde histórias criam vida. Descubra agora