Bab 2 - bahagian ii

761 9 0
                                    

Hampir seminit berlalu. Akhirnya Koperal Andrew menurunkan tangannya ke bawah. Azeem dan yang lain kelihatan lebih tenang dan tidak lagi di dalam situasi bersedia untuk menembak musuh.

"Apa yang kamu nampak, Koperal?" Pertanyaan tersebut dilontarkan kepada Koperal Andrew kerana ingin mengetahui apa yang berlaku sebentar tadi.

"Saya nampak macam ada pergerakan 10 meter di bahagian kanan di antara pokok-pokok... tetapi sebenarnya tak ada apapun."

"Okey."

Mereka kembali meneruskan langkah ke arah zon pendaratan.

Sementara itu, Inspektor Zulaikha bergerak dengan pantas. Dia masih lagi berada di bahagian tebing tinggi dan menghala ke lokasi objektif mereka. Daripada kedudukannya, dia dapat melihat zon pendaratan yang terletak tidak berapa jauh daripada kedudukan mereka.

Tidak berapa lama kemudian, keheningan waktu pagi di kawasan itu tertangguh dengan bunyi enjin helikopter yang sedang terbang. Inspektor Zulaikha berhenti bergerak dan cuba mengamati bunyi tersebut. Setelah merasa yakin bahawa bunyi tersebut datangnya daripada helikopter, dia terus memaklumkan perkembangan tersebut kepada anggota-anggota yng lain.

"Alpha, Alpha 5 di sini. Saya boleh dengar bunyi helikopter menghampiri dari kedudukan saya, over."

"Alpha 1 kepada Alpha 5. Kami pun boleh dengar. Anggaran jarak?"

"Lebih kurang 1 kilometer."

"Okey, kami dah nak sampai ke lokasi. Lebih kurang 3 minit."

Inspektor Zulaikha meneruskan langkahnya untuk ke zon pendaratan sesegera mungkin. Dia perlu mencari lokasi yang sesuai untuk mengawasi kawasan tersebut daripada sebarang bentuk ancaman sementara helikopter tiba dan anggota-anggota lain dapat sampai dengan selamat.

Akhirnya Inspektor Zulaikha tiba di zon pendaratan tersebut. Dalam kegelapan malam, Inspektor Zulaikha memerhatikan sahaja persekitaran kawasan tersebut. Buat masa ini, tidak ada apa-apa yang mencurigakan dan boleh menjadi ancaman terhadap misi ini.

Tidak berapa lama kemudian, Inspektor Zulaikha dapat mendengar dan melihat helikopter yang akan membawa mereka semua keluar daripada kawasan tersebut. Walaupun suasana pada malam tersebut gelap pekat, namun helikopter yang sedang terbang rendah tersebut dapat dikesan dengan jelas menuju kawasan pendaratan yang telah ditetapkan.

Namun sesuatu yang tak diduga juga kelihatan. Daripada jauh, Inspektor Zulaikha mengesan terdapat dua buah kenderaan yang sedang bergerak lagu mengikuti helikopter tersebut.

Inspektor Zulaikha bertanya kepada dirinya sendiri. Siapa mereka? Dengan segera Inspektor Zulaikha bergerak mencari kedudukan yang lebih terlindung dan sedikit tinggi daripada kawasan yang lain. Dia mengesan sebuah kawasan yang lebih tinggi daripada yang lain dan segera ke sana. Apabila tiba di kawasan tersebut, didapatinya terdapat sebatang pokok yang telah tumbang. Dia seterusnya meletakkan raifal penembak tepat yang dibawanya di atas batang pokok yang tumbang dan menghalakan senjata tersebut ke arah kenderaan-kenderaan yang sedang menghampiri.

"Alpha 1, mungkin kita ada tetamu tak diundang, over!"

Azeem dan anggota-anggota unitnya yang lain tidak segera menjawab, namun terus bergerak di dalam kegelapan malam tersebut.

Untuk menyusun langkah seterusnya, Azeem mengeluarkan arahan kepada Inspektor Zulaikha, "Buat tinjauan dan maklumkan siapa mereka."

"Baik, Alpha 1!"

Setelah menerima arahan tersebut, Inspektor Zulaikha terus melihat menerusi skop raifalnya untuk melihat siapa yang datang. Setelah beberapa ketika, Inspektor Zulaikha berpuas hati bahawa sesiapa sahaja yang menaiki kenderaan tersebut, mereka tidak mempunyai niat yang baik.

"Alpha 1, saya dapat lihat dua trak pikap, dengan kedua-dua trak terdapat 6 orang di dalamnya. 4 orang yang berada di belakang trak bersenjata, saya ulang, 4 orang di belakang trak, bersenjata!"

"Alpha 5, cari kedudukan menyerang dan bersedia!"

"Roger, Alpha 1!"

ESPIONAJ : Dosa Sang PetualangWhere stories live. Discover now