Bab 19

4.6K 161 1
                                    

Hari ini, dia terasa tulang-benulangnya letih yang amat. Mana tidaknya, hari ini sepatutnya dia hanya mempunyai 3 waktu P&P. Namun, kerana kekurangan guru Izzhar diarahkan menjaga 3 kelas sebagai guru ganti.

Jika ikutkan rasa, ingin sahaja dia mengoyakkan slip guru ganti yang diselitkan ke dalam buku rekod persediaan mengajarnya. Tetapi dia tahu itu semua sudah menjadi tugasnya. Dia perlu menggalas kerana itu pilihannya. Sedang Izzhar mengeluh merenyokkan slip guru ganti yang dia sudah selesai menjaga kelas yang diarahkan, dia melihat kelas ganti seterusnya.

Serta-merta riak wajahnya bertukar.

"3 Andalas!" luahnya dengan senyuman nakal.

Tanpa berlengah, pantas kakinya melangkah menuju ke kelas yang diarahkan untuk diganti. Sampai di muka pintu dia menjenguk keadaan di dalam kelas itu seketika sebelum menerjah masuk.

Para pelajar berdiri tanda hormat.

"Assalamualaikum cikgu!" Tegas suara ketua tingkatan kelas elit tingkatan 3 sekolah itu.

"Assalamualaikum, cikgu!" sambut pelajar yang lain.

Cikgu Izzhar mengangguk dan memberi arahan untuk duduk.

"Saya akan menggantikan Cikgu Madziah yang tiada pada hari ini kerana mempunyai urusan di luar sekolah", mukadimah dimulakan Cikgu Izzhar.

"Jadi, ada Cikgu Madziah memberikan awak semua apa-apa tugasan? Jika tidak, saya berikan awak semua tugasan"

"Ada. Cikgu Madziah ada sediakan tugasan untuk kami", jawab Afzan selaku ketua tingkatan.

"Kalau begitu, buat kerja awak. Pastikan keadaan kelas terkawal ya? Hormat saya sebagai guru ganti awak", pesan Izzhar tegas sebelum melemparkan senyuman berlesung pipitnya ke arah pelajar kelas itu.

Pelajar perempuan tertawan manakala pelajar lelaki hanya memandang sinis.

Diperhatikannya setiap satu persatu tingkah laku kelas itu. Keadaan masih mampu dikawalnya.

"Cikgu...... ini macam mana? Saya tak fahamlah..." meleret manja sahaja suara itu. Jika tidak teguh dinding iman, pasti sudah layu bila mendengar.

"Yang mana? Ini? Mudah sahaja. Macam ni saya ajar", pen berdakwat hitam di sakunya dikeluarkan. Izzhar mula memberi tunjuk ajar. Sudah begitu tanggungjawabnya sebagai guru.

"Menyampah pula aku lihat si Wanda ni lama-lama. Menggedik bertambah-tambah makin hari", Ieya menjeling melihat gelagat rakan sekelasnya yang berlagak seperti 'diva' itu meraih perhatian.

"Tahu tak apa. Pantang betul ada cikgu bujang, semua dia punya, semua dia nak", Ieja menyokong pendapat Ieya.

"Dia tu memang selalu gedik. Tempoh hari baru menggedik dengan Cikgu Edry dan Cikgu Nazrin. Kali ini, Cikgu Izzhar lah pula. Sebentar lagi, Ustaz Adam masuk, lagi naik tocang!" gerutu Surya. Sakit matanya memandang 'diva senget' yang berada di kelasnya itu.

"Cikgu pun satu, layan je", sambungnya.

"Eh kau ni. Tak pernah sensitif pasal cikgu-cikgu. Tiba-tiba pula sekarang. Ada apa-apa kah?" Hasniza mengusik Surya.

"Kau ni. Dah kau orang yang geram sangat dia gedik-gedik dengan cikgu. Aku bagilah pendapat sekali. Baru rancak topik. Meletop!" Surya secara tidak sengaja telah mencampakkan buku rujukannya.

Dan buku itu berada di bawah kaki Cikgu Izzhar.

Surya bengang. Habis merah mukanya menahan malu.

'Macam mana ni?' Getus hatinya bimbang.

Cikgu Izzhar mencapai buku itu dan membelek-beleknya. Matanya memandang Surya. Tepat.

'Harap-harap cikgu pulangkan balik buku tu. Tolonglah' rayu Surya dalam hati.

Sangkaannya meleset. Cikgu Izzhar mengambil buku itu dan terus disimpan di dalam beg bimbitnya.

Surya mengeluh lemah. Namun hanya mampu menunduk muka.

Surya tidak gemar dipandang sebegitu. Pandangan Cikgu Izzhar seakan-akan larat dengan 1001 perancangan kejam bagi Surya. Seboleh-bolehnya dia memalingkan muka dan berlakon seperti tiada apa yang berlaku walhal hatinya sudah merintih.

***********

Hari ini, merupakan hari terakhir bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun SMK Iskandar Puteri. Bagi pelajar-pelajar tingkatan 3, mereka perlu selesaikan menjawab kertas peperiksaan subjek Pendidikan Islam.

"Kkkrriinggg!!" Loceng menandakan tamatnya waktu peperiksaan. Kertas jawapan dikutip oleh pengawas peperiksaan. Para pelajar melangkah keluar daripada dewan peperiksaan.

Kebanyakan pelajar menunjukkan riak puas hati. Tamat sudah minggu peperiksaan. Selepas ini, mereka boleh bercuti selama 2 minggu. Lapang sedikit fikiran daripada menelaah buku pelajaran.

Nia Surya dan rakan-rakannya juga bersemangat bercerita mengenai perancangan mereka untuk cuti sekolah pertengahan tahun yang akan bermula.

Mereka melangkah ingin ke perpustakaan untuk menemani Surya memasukkan data buku-buku baharu di perpustakaan sekolah. Tambahan pula, Hasniza juga merupakan pustakawan seperti Surya.

Belum sempat mereka memasuki perpustakaan, Cikgu Nazrin keluar dari muka pintu. Cikgu Nazrin merupakan guru penyeliaan perpustakaan.

"Hey girls. Where are you going?" Sapa Cikgu Nazrin penuh ramah.

"Cikgu, nak pergi perpustakaan lah. Nak masukkan maklumat dan ISBN buku-buku baharu yang sudah sampai kelmarin. Cikgu juga yang suruh masukkan", jawab Surya yang tidak lekang dengan senyuman. Membetulkan kaca matanya.

"Oh ya. Sebentar lagi saya berikan awak buku-bukunya. Ada stok baru sampai lagi tu. Yang saya arahkan haritu, buku-bukunya saya sudah letak di atas kaunter. Hasniza ada sekali kan?" Tanya Cikgu Nazrin memetik jari.

"Ada. Kenapa?" Surya menjawab.

"Lagi satu, dah alang-alang ramai yang datang nak membantu ni, saya nak minta tolong boleh?"

"Tolong apa ya cikgu?"

"Tolong saya susunkan buku yang dah serabut di penjuru kaunter pinjaman buku tu pada rak-rak buku mengikut jenis dan saiznya. Ok?"

Mereka mengelamun panjang. Sengaja berpura-pura seperti tidak mendengar kata-kata Cikgu Nazrin.

"Tolonglah ya... saya perlu mengangkat buku-buku baharu yang sudah sampai di pejabat. Banyak bilangannya kali ini", Cikgu Nazrin meraih simpati.

Mereka saling berpandangan.

"Wahai tuan-tuan puteri yang comel-comel belaka bantulah patik mengusaikan tugasan ini. Mahukah tuan puteri sekalian melihat patik tertunggang-tungging berseorangan", sayu mukanya berdrama. Pandai sahaja dia berkata-kata manis.

"Isyyh, isyh, isyh... kasihan beta lihat tuan hamba ini", Surya mengajuk.

"Dahlah cikgu. Jangan nak berteater sangat ya. Baiklah, kami masuk ke dalam dulu dan melakukan tugas seperti yang diarahkan", Hasniza muak pula melihat kerenah guru Geografinya itu meminta bantuan. Pasti dapat mencairkan hati.

"Betul kata Hasniza. Kami sedia membantu!" bangga Surya berkata.

"Mentang-mentanglah keluarga berkhidmat untuk Kementerian Kesihatan, tagline KKM pun diikutnya", Cikgu Nazrin menggelakkan Surya.

"Saya punya sukalah", Surya menjeling mata.

"Ha jeling-jeling mata, cucuk nanti buta macam Kassim Selamat", nakal Cikgu Nazrin mengusiknya. Mereka sudah rapat seperti abang dan adik. Pantang berjumpa ada sahaja yang hendak digaduhkan.

"Macam mana exam? Ok?", Cikgu Nazrin mengalih topik.

"Alhamdulillah.. semuanya berjalan lancar. Tengoklah macam mana keputusannya nanti", Surya membalas selamba.

"Kalau sudah namanya Nia Surya pasti hasilnya nanti gempak!", teruja sungguh Cikgu Nazrin berkata sehingga mendepakan tangan.

"Tidak lain dan tidak bukan, rakan-rakan awak yang di dalam tu juga pasti akan merebut top 10 pelajar cemerlang punya", kali ini tahap keyakinannya sudah sampai puncak Gunung Everest.

Surya malas hendak melayan lebih gurunya yang over-excited itu. Hanya menggelengkan kepala masuk ke perpustakaan dan memulakan tugasnya.

Cikgu, Saya Isteri Awak!Where stories live. Discover now