Lain yang ditanya lain yang dijawab.

“Aku tanya ni, kenapa tak balik dengan ayah?”

Rosli diam sahaja. Hanya mata yang berani berlari ke seluruh wajah Naziefa yang bersih.

“Abang Li ada kerja. Tak boleh duduk lama. Sekadar hantar ayah je ke sana.”

Naziefa mengetap bibirnya geram. Tak suka sungguh apabila orang kepercayaan ayah ambil mudah saja akan tugas yang diberikan. Lagipun kerja apa yang lelaki itu buat. Setahu dia Rosli tak ada kerja. Hanya menjadi pembantu ayah setiap masa. Dalam erti kata yang lain lelaki itu pengurus peribadi ayah. Kerja lain? Langsung tak ada.

“Abang Li pergi cari kerja. Kalau dapat sempatlah Abang Li kumpul duit. Dah janji dengan diri sendiri nak kahwin dengan Efa nanti.”

Terus Naziefa menjeling tak suka. 

“Cari orang lain. Aku tak nak,” tegas suara Naziefa lontarkan.

Rosli tiba-tiba hamburkan tawa kecil.

“Efa tak boleh menolak sebab ayah Efa dah setuju. Lagipun tak ada orang lain dah yang layak dijodohkan dengan Efa kalau bukan Abang Li.” 

Dada Naziefa serta-merta berapi panas sebaik mendengar penjelasan lelaki berkumis tebal itu. Dia tak percaya. Langsung tak percaya. Selama ini tak pernah pun ayahnya menyebut hal begini. Langsung tak pernah dia dengar. Tetapi entah kenapa tiba-tiba saja kakinya tak mampu dipasak kukuh. Kata-kata itu ada benarnya. Mungkin ayahnya tak akan memilih orang lain untuk dijadikan menantu. Kalau bukan Abang Man sepupunya, tentu lelaki ini - awak-awak ayahnya yang menyerlah berbanding yang lain. Lelaki ini memang disebut-sebut bakal menggantikan ayah. Itupun jika ayah sudah tak mampu berdiri di hadapan ramai. 

Tiba-tiba ingatan Naziefa melayang mengingati harapan si ayah. Mungkin ayah tak akan kahwinkan dia dengan lelaki ini jika dia menurut kata ayah. Menjadi tok jogho perempuan. Namun lamunannya  mati di tengah jalan apabila sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapannya. Naziefa terkejut.

Rosli pula kerutkan dahi. Mata mengamati orang di dalam dengan pandangan tajam.

Siapa sangka Raziah keluar dengan muka bengis dan pastinya Naziefa  terkejut besar. Begitu juga dengan Rosli.

“Kau berdua buat apa kat sini. Dalam gelap macam ni. Nak kena tangkap basah ke?” jerkah Raziah tak pandang kiri kanan. Matanya cerlung memandang Rosli. Lelaki itu hanya lemparkan senyum sinis. Dalam hati Rosli cukup suka kalau betul kena tangkap. Biar Naziefa tahu dia benar-benar mahu memperisterikan gadis itu. 

Mata  Rosli kembali memanah mata Naziefa. 

“Efa cuba tanya ayah. Abang Li yakin jawapan ayah Efa sama dengan apa yang Abang Li cakap tadi,” pesan Rosli lantas berlalu pergi. Mungkin kembali ke rumahnya yang hanya berselang empat buah sahaja dari rumah Naziefa.

Naziefa hembus nafasnya kesal. Berharap segala kata-kata lelaki itu tidak benar sama sekali. Jika benar dia yang akan sengsara sampai ke tua.

Raziah di depan pula kecilkan pandangan. Menilik wajah itu dengan rasa geram.  Dia singkirkan dulu soal Rosli. Sekarang ini yang bermain di fikiran hanyalah perihal Naziefa.

***

“Kenapa kau nak balik kampung tak cakap dengan aku?” sergah Raziah di laman rumah Naziefa.

Terperanjat gadis itu dengan pertanyaan sepupunya.

“A… a… aku….” tak terjawab pula apabila mengingati Raziah merajuk dari hari pendaftaran asrama sehingga ke saat ini. Dalam rasa bersalah dia memandang Raziah lama. Berbulan-bulan lamanya Raziah diam tanpa berita. Jadi dia buat keputusan memang Raziah benar-benar membencinya.

TARANUM kasih NAZIEFAWhere stories live. Discover now