"Papa benci aku sebab aku bukan anak yang baik." Mendatar saja Delilah mengucap kata.

Dan untuk itu, Diaz langsung tidak mengerti apa nakna di sebaliknya.

"Bukan anak yang baik dalam erti kata lain, membenci mak tiri sendiri?"

Delilah senyap tidak membalas.

"Kalau ya pun, kenapa sampai buang kau dari hidup dia?"

"Mungkin sebab dia lebih sayangkan isteri baru dia berbanding anak sendiri?" Delilah turut berteka-teki. Sempat dia menghela nafas panjang sebelum menyambung kata. "Perempuan tu.. dia bukan saja penyondol yang merosakkan rumah tangga orang. Tapi seorang pengkhianat."

Berlapis dahi Diaz ketika itu. Dia diam menanti bicara Delilah yang seterusnya. Tak sangka pula apa yang bakal dia dengari itu akan mengundang rasa terkejut sehingga membuat dia melongo besar.

"Dulu dia kawan rapat dan kawan sekerja mama. Mungkin terlebih rapat, sampai suami mama pun dia sanggup kebas."

Spontan, wajah jelita Lea terngiang-ngiang di minda. Diaz tidak pernah tahu cerita ini akan meruntunkan hatinya. Fikirnya, Lea itu hanya seorang wanita janda yang berpisah dengan suaminya atas sebab tertentu. Contohnya sudah tidak sehaluan. Langsung tak pernah terlintas penyebab rosaknya rumah tangga Lea kerana orang ketiga.

"Apa yang papa kau nak sangat dekat puak-puak si Bellatrix tu? Nak kata cantik, tak adalah cantik mana." Kutuk Diaz tidak semena-mena. Sengaja kerana dia dapat rasakan kekecewaan Delilah kala itu.

Deras Delilah angkat kepala.

"Apa dia? Bellatrix?" Ulangnya sebelum ketawanya mula terletus. Aneh, tapi dia rasa terhibur.

"Ha.." Sahut Diaz yakin dengan mimik wajah bersungguh.

"Ni first time aku setuju dengan kau Diaz! Ha'ah la.. perangai macam perempuan sihir. Elok sangatlah kalau berkawan dengan Bellatrix." Tukas Delilah bersama sisa ketawanya.

Entah mengapa, Diaz turut disapa gembira bila Delilah tergelak dengan lawak bodohnya. Tanpa sedar, hujung bibirnya juga menyungging senyum.

"Jangan sedih sangat. Kau anggaplah baba tu sebagai papa kau jugak."

Terkapar-kapar Delilah mendengar ucapan Diaz. Tak sempat membalas, jejaka itu sudah keluar dari bilik stor. Meninggalkannya seorang diri bersama Ginger. Lama dia menghadam ayat Diaz sebelum dia mencebik, tersentuh hati.

"Diaz poyo!"

*****


"D dengan Delilah nak bela kucing?"

Terkejut Tuan Amza mendengar berita dari Diaz tengah hari itu. Sesaat, dia palingkan wajah memandang isterinya. Dua beradik ni patut berhenti bagi kejutan kepada mereka. Ada saja benda yang dilakukan!

"Delilah yang beria." Sempat Diaz membalas dalam dia sibuk menikmati nasi daging yang dimasak oleh Lea. Berselera sungguh sampai tak sempat nak angkat kepala. Setakat ini, semua masakan wanita itu sedap belaka pada tekaknya.

"Tapi D kan tak suka kucing sebelum ni?"

"Mana ada D cakap macam tu." Jawab Diaz lagi. Kali ini satu pakej dengan mulut yang penuh.

Tuan Amza terkebil-kebil. Tak jadi dia nak masukkan nasi ke dalam mulut disebabkan tingkah Diaz yang dirasakan pelik.

"Habis tu kenapa sebelum ni D tak pernah nak bela kucing?"

Berkerut sekejap dahi Diaz mendengar soalan yang tak putus dari baba. Kacau dia makan aje!

"Entah, tak terfikir pula sebelum ni." Diaz telan kejap nasi yang dikunyah. "Lagipun D bukan ada dua puluh empat jam dekat rumah. Baba pun, balik aje terus terperuk dalam bilik kerja. Kang mati kebulur kucing tu, sia-sia dapat dosa."

Dia.. Delilah Lavelle[O/G]Where stories live. Discover now