Part 39

19.4K 1.8K 556
                                    

Cahaya daripada papan tanda dari salah sebuah kedai runcit memenuhi wajah Daisha yang sedang mendongak membaca nama kedai. Kata Arash, ada benda yang hendak dibeli sebelum balik semula ke hotel. Bahagian hujung lengannya ditarik hingga menutup bahagian tangan, mengipas-ngipas lengannya sambil menyandar pada motor suami.

Arash menganjurkan lengan, tangannya  dikembangkan seolah-olah menunggu Daisha untuk mengisi ruangan kosong di antara jari.

"Abang pergilah. Kita tunggu dekat luar ni. Kita tak ada nak beli apa-apa pun..." jelas Daisha, lengan bajunya mengibas-ngibas dalam lambaian tangan untuk menolak pelawaan Arash.

"Teman abang masuk dalam sekejap. Awak duduk dekat luar ni nanti kena culik."

Kecil gelengan kepala Daisha, dililit dengan suara tawa. "Mana ada orang nak culik kita! Kita tumbuk dia nanti!"

"Kalau comel macam ni dia cekau masuk dalam van je. Tak sempat awak nak tumbuk." Arash paut juga tangan Daisha, ditarik untuk masuk ke dalam kedai runcit.

Kedai runcit yang tampak serba lengang dari luar sebenarnya masih lagi dikunjungi pelanggan. Rata-rata yang masuk, kesemuanya tidak mengambil masa yang lama untuk membuat pembayaran. Mungkin kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dibeli sebelum mereka mengorak langkah masuk ke dalam kedai lagi.

Berbeza dengan Arash yang tampak seolah-olah tahu akan tujuannya menyinggah ke sini, namun dari tadi hanya memerhati bahagian peti sejuk minuman.

Puas Daisha ternanti-nanti Arash membuat pilihan,  anak mata dia juga meneliti setiap susunan air tin yang tersedia dalam pelbagai warna. Hawa sejuk menyapu bahagian wajah Daisha apabila sang suami akhirnya menarik pintu peti berisi pilihan air tin yang disusun mengikut jenama.

Susunan air tin berperisa limau ais dan botol mineral bergerak ke hadapan memenuhi ruangan kosong di rak apabila Arash mengambil setiap satu daripada dua jenis minuman tersebut. Wajahnya dibawa pula menghadap isteri.

"Sofea tak nak?"

Melanguk wajah Daisha, bibirnya menganjur ke bawah sambil cuba memikirkan keputusan. Lama tak minum air tu...tapi air yang ini pun sedap! "Kalau kita nak dua, boleh ke? Kita nak air kundur dengan cincau!"

"Apa benda pula air kundur ni, sayang..." tak pernah pula Arash dengar air minuman berperisa itu sebelum ini. Berkerut-kerut kening, melilau matanya mencari sebelum ditunjuk oleh Daisha sendiri.

"Dekat situlah, abang! Atas sekali!" ujar Daisha.

Usah kata nama, bentuk buah pada corak tin juga tidak pernah dilihat Arash. Hendak kata timun, tidak. Hendak kata peria juga bukan. Dibelek-belek tin minuman sebelum diletakkan di dalam bakul kecil. "Air kundur ni air apa, sayang? Peliknya nama?"

"Air kundur tu..air kundur lah! Sedap! Nanti abang rasa kita punya," komen Daisha. Kak Jiah cukup gemar akan minuman tersebut. Daripada Kak Jiah jugalah dia mula belajar minum air kundur. Awal-awal, rasanya agak pelik namun berkali-kali merasa, tekak dia sudah mula menerima rasa tersebut. Dulu, air itu jugalah yang dicari-cari Daisha jika dia berkesempatan untuk menghabiskan sisa baki gaji hariannya.

"Jom, cari mi segera pula."

Tercengang Daisha. Dah lewat, abang pula jarang makan lewat-lewat sebegini. Ingatkan balik ni, hendak terus lelapkan mata. "Untuk apa..? Abang lapar ke?"

"Kita kan ada movie night malam ni?" ujar Arash, senyumannya bak mencerminkan senyuman di wajah Daisha. Semakin naik hujung ulas bibir Daisha, begitu juga dengan hujung ulas bibirnya Arash.

"Betul ke ni?! Kita nak tengok movie sama-sama?" Daisha terus berpaling semula pada rak mi segera di bahagian depan kedai tadi.

"Betul, manja. Abang dengan awak je, boleh kan?" terkaan Arash mengenai tepat pada sasaran. Dia tahu, ada yang tidak kena apabila persoalan yang dianjurkan Arash mengenai rancangan Daisha dan rakan-rakan dibiarkan tergantung tanpa sebarang jawapan.

Her ProtectorWhere stories live. Discover now