8

72 10 0
                                    

BAB 8

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

BAB 8

MAWAR berdiri di depan almari bajunya. Mata meliar mencari-cari baju apa yang sesuai hendak digayakan untuk malam ini. Sebentar sahaja lagi, keluarga Eidlan bakal bertandang ke rumah keluarga angkatnya ini. Di atas permintaan Haji Halim dan Hajah Mariam serta di atas keinginan keluarga Eidlan sendiri, dua keluarga besar mereka bakal bertemu.

Memikirkan itu, Mawar terus sahaja duduk bersila di depan almarinya yang sudah dibuka luas-luas pintunya. Tangan terhulur, mencapai sesuatu dari timbunan baju yang dilipat kemas-kemas di bahagian atas. Mawar kemudiannya, memasukkan kunci kecil yang diambilnya tadi dan menarik laci tengah di antara tiga lapisan laci yang ada. Sudah agak lama Mawar tidak menjengah isi yang ada. 

Penuh laci itu dengan pelbagai keratan-keratan akhbar yang sangat lama. Sudah coklat kekuningan warnanya. Mujur sahaja Mawar pandai menjaganya sehingga tidak terjejas langsung setiap dakwatnya. Keratan-keratan akhbar itu kemudiannya diketepikan dan tangan menarik sebuah bingkai gambar yang juga sudah agak rapuh kayunya.

Lama Mawar merenung gambar itu. Ada seorang lelaki dewasa yang tampan, seorang wanita dewasa yang sangat manis, seorang pemuda lelaki serta dua orang gadis kecil yang sangat cantik dan comel. 

Mawar menarik nafas panjang. Jarinya perlahan-lahan mengusap-usap gambar lelaki, wanita, pemuda lelaki dan salah seorang gadis kecil itu. Air mata Mawar semerta menitis jatuh tepat pada gambar itu tanpa Mawar sendiri sedari. Mawar menelan air liur sambil menahan kesedihan di dalam hatinya. 

Perlahan-lahan Mawar mendekatkan gambar itu kepadanya dan dikucupnya setiap satu wajah yang ada di dalam gambar itu beserta dengan tangisan yang semakin hebat. Setelah kucupan dileraikan, Mawar memeluk pula bingkai gambar itu erat di dadanya.

“Ayah… ibu… abang… baby… Manja rindu sangat-sangat…”

Manja. Itulah gelarannya di dalam keluarga kandungnya dahulu. Hidup bahagia bersama-sama sehingga di usianya yang ke lapan tahun. Mengingatkan itu, tangisan Mawar kembali kuat. Mata dipejamkan dan semakin erat bingkai gambar itu dipeluk.

“Angah, dah siap ke? Ada dua buah kereta dah sampai depan rumah. Keluarga Eidlan kut?”

Mawar tersentak. Lekas-lekas air matanya diseka bagi menghapuskan kesan. Bingkai gambar yang dipeluknya diletakkan semula di tempatnya. Kali ini, baju-baju yang kurang digunakan diambil untuk menutupnya di bahagian bawah sekali. Ditutupnya laci itu dan dikuncinya. Kuncinya disorok kembali di tempat asal. 

“Mawar?” Sekali lagi suara Dilan kedengaran di luar pintu biliknya. 

“Ya! Ya! Angah dah siap! Lima minit angah turun!” Suaranya cuba dikawal. Tidak mahu Dilan di luar dapat mengesan yang Mawar sedang menangis. 

“Okey. Along turun dulu! Jangan lambat sangat!” 

Dahi Dilan berkerut sedikit. Bukan dia tak dengar suara Mawar yang kedengaran lain sedikit. Apa sahajalah yang Mawar sedang lakukan sejak tadi mengurungkan diri di dalam bilik? Tak akanlah masih kecewa dan bersedih disebabkan Keifli sedangkan malam ini keluarga teman baharunya bakal bertandang?

ATMA PEONY & MAWAR ( TERBIT )Where stories live. Discover now