2

100 14 2
                                    

BAB 2

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

BAB 2

TIGA kuntum bunga peony berwarna putih itu tidak disambut oleh kekasih hatinya. Eidlan lantas menjatuhkan semula tangannya di sisi tubuh bersama-sama dengan bunga-bunga itu. Nafas lelah dilepaskan. Sesungguhnya Eidlan sudah buntu!

“Cakap dengan saya, apa lagi yang saya perlu buat untuk pujuk semula hati awak, Suria?”

Suria menjeling. Tangannya naik memeluk tubuh. Rambut yang ditiup angin dibiarkan sahaja menutup sedikit wajahnya. 

“Awak ingat awak datang jumpa saya dengan bunga yang hodoh itu maka hati saya akan terpujuk?” Mata Suria menjeling bunga di tangan Eidlan. Entah mimpi apa, tak pernah-pernah lelaki kayu seperti Eidlan memberikan dia bunga. Kalau dulu Eidlan buat begini, tentu perasaan cintanya tak akan beralih arah!

Eidlan pandang tangan sendiri. Bunga ini hodoh ke? Sebab itu Suria tidak terpujuk? Mungkin sebab tak ada warna kut? Cis! Eidlan kena scam dengan gadis itu ke tadi?

“Tapi budak dekat kedai bunga tadi cakap, bunga peony putih ni lambang kemaafan.”

“Eee… saya tak pedulilah dengan lambang bunga tu! Saya nak putus!”

Suria yang membentak kasar buat pertama kali sepanjang bersamanya itu jelas membuatkan Eidlan tersentak. Mana perginya Suria yang sangat lemah-lembut setiap kali berbicara dengannya?

“Tak akanlah sebab bunga ni awak nak mintak putus pulak, Suria? Baik, jom kita pergi kedai bunga. Saya belikan awak bunga yang awak suka.”

“SAYA TAK NAK BUNGA!” Kali ini suara Suria semakin meninggi dan semakin keras. Terjegil-jegil matanya menandakan yang dia sungguh-sungguh marah!

“Okey, kalau tak nak bunga… awak nak apa? Bagi tahu saya. Saya akan dapatkan.” Sesungguhnya Eidlan sudah hilang idea mahu memujuk Suria. Sudahlah dia gagal teruk dalam bab memujuk. Semuanya pula berpunca darinya. Eidlan terlupa hari lahir Suria dua hari yang lepas. Ya, Eidlan tahu isunya sangat besar.

“Saya nak putus. Saya tak nak tengok lagi muka awak.” Nekad, Suria mengatakan keputusannya tanpa teragak-agak. 

“Dah dua tahun kita bercinta, Suria. Saya tahu isu lupa hari lahir ni memang isu besar bagi kaum perempuan tapi tak akanlah sampai nak putus.”

“Oh, bukan isu besarlah bagi awak?”

“Suria…” Lemah suara Eidlan. Nak berbahas dengan orang yang sedang dilanda amuk memang tak akan menang punya.

“Hati saya awak tak pernah nak jaga! Alasan awak hanya sebab awak sibuk cari duit demi keluarga kita nanti. Eid, awak nak berkahwin dengan saya untuk seumur hidup tau. Kalau belum berkahwin, belum ada komitmen berkeluarga pun awak dah gagal nak beri perhatian untuk saya, bayangkan kalau selepas kita berkahwin dan lebih teruk lagi kalau selepas kita ada anak?”

Eidlan terngadah. Salah dia juga ke kalau dia berusaha keras demi masa depan mereka berdua juga nanti? Senang pun susah, susah lagilah susah! Pening betul!

“Semua kehendak awak pun bukannya murah, Suria! Awak pun punca kenapa saya berusaha keras untuk semua itu. Saya ni bukannya petik jari aje boleh dapat semuanya tanpa buat apa-apa dan dalam masa yang sama boleh ada 24 jam dengan awak.”

Betul. Kalau bukan barangan yang berjenama seperti kehendak Suria, jawabnya sebelah mata pun Suria tidak akan memandang. Kalau tidak makan di kedai makan terkenal dan berbintang-bintang, tidak sesekali Suria sudi untuk menjamah. Apatah lagi soal untuk saling membantu dan beralah, jauh sekali! Selalunya yang mengeluarkan kos setiap kali mereka bertemu tentu-tentu sahaja dari poket Eidlan sendiri.

Air muka Suria bertambah menyinga. Semakin jelas kebencian di raut wajah itu. “Oh, sekarang awak nak mengungkit?”

Eidlan semakin hilang sabar namun sekuat hatinya cuba untuk kekal bertenang. Direnung penuh berharap wajah cantik Suria agar buat kali yang ke entah berapa ratus kali, Eidlan berharap benar yang Suria kembali sejuk hatinya.

“Bukan saya mengungkit tapi saya nak awak jugak faham saya, Suria.”

“Dua tahun, Eid! Dua tahun saya bertahan dengan awak. Pernah awak berjumpa dengan mama dan papa saya berbincang soal perkahwinan? Jauh sekali untuk bertunang!” Suria melemparkan lagi lahar amarahnya kepada Eidlan.

Kening Eidlan berkerut sejuta. Kepalanya automatik tergeleng kecil. Agaknya di dalam perjalanan ke sini tadi Suria jatuh dan kepalanya terhantuk batu sehingga boleh jadi hilang ingatan seperti ini.

“Serius, Suria? Awak persoalkan tentang ini pulak dekat saya? Awak lupa apa yang papa dan mama awak mintak dari saya masa kali pertama saya luahkan hajat saya untuk menghalalkan awak?”

Barulah riak wajah Suria berubah. Kali ini tidak lagi dilanda amuk tetapi wajahnya menjadi kelat dan pandangan matanya juga dilarikan ke arah lain. Nampak takut-takut sahaja.

“Bukan… bukan susah sangat pun permintaan dia orang tu.” Perlahan sahaja suara Suria. Seolah-olah dia sendiri tidak yakin dengan dirinya. 

Eidlan tersenyum nipis. Dia seakan-akan mulai reda dengan pengakhiran hubungan ini apabila melihat dan mendengar sendiri setiap perlakuan dan kata-kata Suria terhadapnya.

“Permintaan separuh saham syarikat rangkaian tuisyen saya sebagai mahar tu tak membebankan saya?”

“Kalau macam itu, okey. Saya berterus-terang ajelah dengan awak, Eid.” Kali ini Suria berdiri berani berhadapan dengan Eidlan. Sungguh angkuh riak wajahnya. Seolah-olah sudah benci benar terhadap Eidlan.

“Saya nak putus sebab saya dah jumpa lelaki yang lebih baik, lebih memahami saya dan lebih segala-galanyalah dari awak!”

Eidlan terdiam. Jatuh bahunya mendengarkan pengakuan berani dari Suria. Tak pernah terlintas di fikirannya Suria sudah berpaling tadah terhadapnya. Salah apa yang dia lakukan sepanjang hubungan mereka? Apa sahaja kemahuan dan permintaan Suria, seboleh daya dia turutkan.

“Awak tak sayangkan hubungan ni ke?”

Suria ketawa sinis. “Kenapa saya nak kena sayangkan hubungan ini kalau awak sendiri tak sayangkan saya sebaik lelaki lain sayangkan saya?”

“Suria!” Tahap kesabaran Eidlan semakin menipis. Riak sungguh tutur kata Suria!

“Apa? Nak marah? Marahlah! Saya tak peduli! Saya tetap nak putus! Dua tahun dengan awak, semakin lama semakin membosankan. Awak tu kayu!”

“Saya kayu? Ya, memang si kayu ni tak tahu nak hiburkan hati awak. Niat saya bukan lagi nak menghiburkan awak atau bermain-main lagi, Suria. Saya berusaha keras sebab nak menghalalkan hubungan kita. Itu pun awak tak boleh nak faham?”

“Awak dah terlewat. Teruskan usaha awak tu dengan perempuan lain. Sudah ada lelaki yang boleh halalkan saya secepat yang saya mahukan.” Habis sahaja ayatnya, Suria terus sahaja melangkah meninggalkan Eidlan yang sudah tertunduk di atas kerusi di tepi kawasan tasik itu. 

Eidlan memejamkan rapat-rapat matanya. Seumur hidupnya, jaranglah Eidlan nak merasa pedihnya hatinya seperti saat ini. Seluruh tenaga dan pengorbanannya terhadap hubungan ini sia-sia sahaja. Suria langsung tak menghargai dia. 

Tipu kalau Eidlan tak pernah mahu mengalah dengan Suria. Pernah malah banyak kali! Tapi Eidlan masih punya hati dan perasaan simpati. Sebesar apa pun kesalahan Suria, Eidlan masih memaafkan dan menerima Suria di dalam hidupnya. Berpuluh wanita lain ditolak demi Suria tetapi ini akhirnya balasan Suria untuknya?

Hanya kerana seorang Muhammad Eidlan ini kayu?

Mata dicelikkan kembali dan nafas diambil dengan sangat tenang. Separa bangun, pergerakan Eidlan terhenti. Mata menangkap tiga kuntum bunga peony berwarna putih di atas tanah berumput basah itu. 

Eidlan kayu? Baik, mari buktikan yang Muhammad Eidlan bukanlah kayu! Nekad, Eidlan menunduk dan menyambar kasar tiga kuntum bunga peony itu. Digenggam erat dan kuat sekuat hatinya yang sedang nekad. 

Suria belum betul-betul kenal siapa Muhammad Eidlan!

ATMA PEONY & MAWAR ( TERBIT )Where stories live. Discover now