Skrin telefon yang menyala dilihat. Sudah hampir waktu makan tengah hari dan ingatan tertumpu semula kepada Sayf yang kata ingin ke mari menemaninya makan tengah hari nanti. Entah betul, entah kan tidak. Tapi firasat Nufa jelas kata lelaki itu memang akan datang.

Sekali lagi, kepala digaru perlahan. Bingung sekejap dengan perangai si Sayf.

"Sejak bila pula dia kawtim dengan mamat tu entah." Kepala menggeleng dan badan kembali kepada tembok. Mahu lihat Nadhif di bawah sana.

Menjengah ke bawah, Nufa terpana sendiri bila dia lihat Nadhif yang sedang tertawa di bawah sana. Jelas dengar gelak besar lelaki itu. Tambah terpana bila lihat Nadhif membetulkan topi di kepala berkali-kali. Bila topi terangkat, elok pula jemari lelaki itu menyusur lembut ke rambutnya.

Nufa telan liur sendiri. Mata terkelip-kelip laju. Tambah lagi bila sedar yang dadanya sudah mula berdebar sedikit dari kebiasaannya.

"Nufa?" Suara Warda kedengaran, tapi bagai angin lalu kerana tumpuan Nufa masih lagi dengan lelaki kacak di bawah sana.

'Wait, what? Kacak?'

Terkelip-kelip mata Nufa dengan fikiran sendiri.

"Nufa Huwainaa!" Dan kali ini suara Warda kedengaran lebih kuat, langsung menyentakkan Nufa dengan fikiran kelirunya sendiri.

Menoleh, Nufa nampak Warda dah bercekak pinggang di pintu.

"Hah?"

Warda menggeleng.

"Kau fikir apa hah?"

Nufa menggeleng sebelum dia kembali memandang ke bawah dan zzup! Mata bulat, mulut ternganga. Semua gara-gara tanpa sengaja dia bertembung empat mata dengan Nadhif yang elok mendongak memandang ke arahnya.

Terkelip-kelip mata Nufa sendiri. Ralit berbalas pandangan dengan Nadhif di bawah sana. Nufa lihat mulut lelaki itu terkumat-kamit seperti berkata sesuatu namun mata masih tetap kepadanya. Buat dahi Nufa berkerut kehairanan.

"Weh, Nufa!" Panggilan Warda sekali lagi menyentakkan Nufa. Kepala menoleh pandang Warda sebelum dia menggeleng perlahan.

'Apa benda kau ni, Nufa?'

"Hah? Jap, aku datang." Kata Nufa seperti baru sedar seraya kaki laju melangkah menuju ke arah Warda yang dah berkerut pelik menyambutnya di muka pintu.

"Kau okey tak?" Soal Warda. Bahu Nufa dipaut dan Nufa hanya jawab dengan sengihan kekok.

Kepala masih mengulang tayang apa yang baru sahaja terjadi tadi. Hairan sendiri dengan diri sendiri yang seperti terpaku melihat Nadhif di bawah sana tadi. Walhal lelaki itu macam biasa sahaja. Masih selekeh yang simple. Tapi, menarik.

"Hah?"

Warda berkerut. Terhenti kaki yang mahu mengekor langkah Nufa turun ke bawah. Nufa yang dah tergeleng kecil sambil garu kepala dipandang penuh kehairanan. Tembok tempat Nufa melepak tadi dipandang sama.

"Ada apa-apa ke kat tembok tadi sampai kau jadi medium aneh hari ini?" Soal Warda. Berura-ura sudah dia mahu ke tembok tadi namun lengannya dipeluk oleh Nufa, sekali gus menghalang dia meneruskan apa yang ingin dilakukan.

Nufa sengih sambil menggeleng kecil.

"Takde, takde. Jom, turun bawah. Takde siapa jaga kaunter." Ajak Nufa.

Warda diam. Atas bawah Nufa dipandang sebelum kaki mula melangkah semula perlahan-lahan. Terpujuk namun jelas dia nampak Nufa bagai melepaskan nafas lega. Buat dia percaya pasti ada sesuatu di tembok tadi.

Tembok itu misteri ya, kawan-kawan!

"Kau nak makan mana hari ni?" Soalan Warda buat Nufa sekali lagi melepaskan nafas lega. Huh! Mujur juga Warda terpujuk. Kalau betul-betul Warda meluru ke tembok tadi, pasti seronok Warda senyum senget sebab dia kantoi pandang-pandang dengan Nadhif.

C | 𝐂𝐔𝐏𝐈𝐃Where stories live. Discover now