BAB 3

1.9K 87 5
                                    


ANNUR hanya memerhatikan beberapa orang pelanggan yang sedang menikmati keseronokan dan menari terkinja-kinja di dalam kelab malam Lalita Rose itu. Pancaran-pancaran cahaya dari lampu sorot membuatkan matanya kadang-kadang sedikit silau. Beginilah kehidupannya sejak dua tahun yang lalu. Pada waktu siang, dia akan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Pada waktu malam hari hujung minggu pula dia akan bekerja sebagai pelayan bar. Annur tidak ada pilihan lain lagi. Dia mesti mencari wang untuk menampung kehidupannya. Lagipun sejak peristiwa hitam tersebut membuatkan jiwanya semakin kental dan bertekad untuk mengubah nasibnya sendiri.

"Nur!" panggil seseorang. Annur tersentak lalu dia memandang ke arah gerangan yang memanggilnya itu. Kelihatan sahabatnya iaitu, Raisya sedang terkocoh-kocoh berlari ke arahnya. Annur mengerutkan keningnya. Riak wajah Raisya seperti cemas sahaja.

"Kau kenapa ni?" tanya Annur. Gelas yang berada di hadapannya diambil lalu disusun satu persatu.

"Madam Sarah panggil kau. Dia nak kau jadi pelayan untuk VVIP malam ni. Aku tahu kau tak nak. Tapi madam macam paksa aku jugak suruh kau jadi pelayan malam ni," adu Raisya dengan nada serba salah. Dia amat faham bahawa rakannya itu tidak mahu bekerja sebagai pelayan di bahagian VVIP. Kerja itu memang agak berisiko lagi-lagi apabila seorang perempuan bekerja di bahagian tersebut. Kebanyakkan tetamu yang berada di bahagian tersebut adalah golongan orang-orang kaya dan usahawan yang lanjut usia. Kadang-kadang nafsu serakah mereka seperti tidak berpenghujung sampaikan ada beberapa pelayan bar yang terpaksa merelakan tubuh mereka untuk dicabul kerana takut dibuang kerja atau sudah ditawarkan wang yang banyak.

Annur mengetap bibirnya. Dia mendengus kasar. Ada kalanya perangai Madam Sarah sangat menjengkelkan. Mentang-mentanglah dia pengurus di situ, tidak bermakna perempuan tua itu bebas untuk mengeluarkan apa-apa arahan yang boleh mengancam keselamatan para pekerjanya. Kalau dia laporkan benda ini kepada Ah Wei, iaitu bos besar dalam kelab malam ini, mesti Madam Sarah akan ditegur atau dimarahi kerana Ah Wei pun masih lagi ada sikap tolak ansur kepada pekerjanya.

"Kenapa aku pulak? Aku tak nak la. Aku lebih rela jaga kaunter bar dari jaga tempat VVIP jahanam tu. Ramai lagi pelayan lain yang free, kenapa aku jugak yang kena?" keluh Annur. Raisya hanya mengangkat bahunya sahaja tanda tidak tahu.

"Aku dapat tahu jugak, malam ni business partner Ah Wei yang penting tu datang ke kelab. Sebab tu aku rasa Madam Sarah minta kau jaga bahagian VVIP tu. Lagipun kau buat kerja laju, kan?" tanya Raisya sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

Annur mengerutkan keningnya. Sudah beberapa bulan dia bekerja sebagai pelayan bar di Lalita Rose ini. Dia juga ada mendengar desas desus mengatakan 'business partner' Ah Wei ini adalah seorang lelaki yang muda dan tampan. Tidak pernah pula dia lihat kemunculan lelaki itu. Ada juga mengatakan nama kelab Lalita Rose ini direka sempena syarikat lelaki itu. Annur tidak tahu sejauh mana kesahihan berita itu. Tetapi apa yang dia tahu, lelaki yang digembar gemburkan itu sangat penting untuk Lalita Rose.

"Aku... aku takut la. Kalau apa-apa jadi, macam mana? Kalau VVIP tu nak cabul aku ke apa? Siapa nak bertanggungjawab?" tanya Annur bertubi-tubi. Bekerja di bahagian VVIP tersebut seperti masuk ke kandang harimau sahaja. Sangat berisiko.

"Aku rasa tak ada apa-apa kut yang jadi. Sebab... Ah Wei ada sekali dalam bilik VVIP tu. Aku tak rasa Ah Wei akan biarkan kes macam tu berlaku depan mata dia," ujar Raisya sambil menepuk bahu Annur perlahan menenangkan perasaan gundah gulana sahabat baiknya itu.

Annur mengangguk perlahan. Ada benarnya kata Raisya itu. Lagipun, Ah Wei tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi mengenai kes VVIP itu. Tiada seorang pun yang berani mengadu tentang kes tersebut kepada Ah Wei. Itu pun Madam Sarah yang beria-ria menghalang semua pekerjanya untuk buat tindakan tersebut. Agak mencurigakan sebenarnya.

Darlingku Mr Aariz Nadwa (ONGOING)Where stories live. Discover now