Belakang seorang yang bersarung jubah putih,tingkap berlangsir hijau muda serta dinding juga siling yang berwarna cerah.Juga bau-bauan khusus yang menyengat hidungnya.Semuanya aneh belaka kerana sebelum ini bukan itu yang dilihatnya.

Bilik kurungan di Balai Temenggung dan lantai beralas jerami serta wajah Panglima Madeia yang tunduk hormat kepadanya.

Nanti...

Ini bukannya....

" Selamat pagi cik Kaiiara.." susuk berjubah putih itu menoleh sambil tersenyum dan ia sekali lagi membuatkan Kaii tergamam.

Melihatkan bingkai wajah tersebut,Kaii hanya mampu terkebil-kebil dan satu nama mendadak tersangkut pada kerongkongnya.Usai mencubiti isi lengannya-yang ternyata sakit - bagi memastikan bahawa dia tidak bermimpi,Kaii menarik semula kain tebal putih yang menyerkupi seluruh tubuhnya itu sehingga ke paras kepala.Menggeletar di bawah selimut.Gementar kerana doktor dan ruangan wad hospital begitu hanya menandakan satu hal.

Dia telah kembali lagi ke dunia asalnya daripada dunia Babad Saribu Bhyangkara! Jangan tanyakan bagaimana kerana dia tidak tahu bagaimana.Ingatannya tentang hal itu langsung tidak ada.

Apa sebenarnya yang sudah berlaku??

Tiba-tuba sahaja sesuatu melintasi kotak fikirnya membuatkan dia bingkas melempar selimut ke kakinya.

"Buku.." Kaii mencengkam pergelangan tangan doktor tersebut mengakibatkan sang doktor yang sejak dari tadi sudah hairan dengan kelakuan pesakit itu bertambah pelik." Buku saya.Di mana buku saya??"

"........."

Cengkaman tangan Kaii menerbitkan hairan dalam hati doktor tersebut kerana tenaganya bukanlah tenaga yang mampu terluap daripada seorang pesakit yang baru beberapa hari lepas hampir sahaja tidak dapat diselamatkan akibat mengalami penurunan suhu tubuh yang mendadak.

Namun hairan apalah dia.Gadis itu merupakan seorang atlet memanah yang sangat cemerlang sebelum dia mengalami kemalangan ngeri beberapa bulan sudah.

Pintu dibuka dari luar dan adegan tarik menarik antara Kaii dan doktor tersebut mati begitu sahaja tatkala dua susuk tubuh menyelit masuk.

Seorang yang kemas dalam balutan sut hitam tanpa lengan yang menindih kemeja biru tua dengan lengan kemeja yang digulung tiga empat inci di bawah siku.Lengkap dengan tali leher dan jam tangan bertali perak melingkari pergelangan tangan kanannya.Rambut hitam dengan sedikit tona kelabu itu didandan rapi ke belakang menyerlahkan dahi.Seluar hitam yang kemas dan rapi serta kasut hitam berkilat melengkapkan penampilan kemasnya.

Sementara seorang lagi juga lengkap bersut hitam dan berkemeja putih.Juga bertali leher dan daripada penampilan kedua-duanya,jelas menunjukkan mereka bukan datang ke situ akibat tersalah bilik seperti anggapan Kaii.

Ketika lelaki terakhir yang menyelit masuk itu meletakkan tangan pada bahu sang doktor dan membawanya keluar dari ruangan tersebut,pemuda tinggi lampai berbahu kukuh tersebut mengeluarkan sesuatu dari dalam beg kertas yang dibawanya.

"Maafkan saya,cik.Saya keringkan dulu buku kepunyaan cik ini dan hari ini saya baru berkesempatan menyerahkannya semula kepada cik."

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now