Bab 1 ( part 2)

568 24 0
                                    

DAIM bersandar di kerusi sebaik saja dia selesai membuat ulangkaji. Esok kertas peperiksaan STPM yang terakhir. Selepas hari esok, dia sudah bercadang untuk mencari kerja sambilan. Mungkin keputusan ini bakal membuatkan kedua ibu bapanya mengamuk.

Selepas dia mendapat keputusan SPM yang cemerlang, dia membuat keputusan drastik dengan menolak tawaran ke IPTA. Semuanya disebabkan seseorang. Dia tak sanggup untuk berjauhan dengan gadis itu. Lebih-lebih lagi setelah dia mengetahui keperitan hidup Raiqa.

Kali pertama mereka bertemu, hatinya sudah tertawan. Walaupun usianya masih 17 tahun ketika itu, dia gagal untuk melupakan Raiqa. Siapa sangka sejak detik itu, hubungan mereka semakin rapat.

Bunyi ketukan pintu melenyapkan kisah beberapa tahun yang lepas. Buku latihan ditutup terlebih dahulu. Dia berjalan ke arah pintu bilik bilik. Pintu dibuka sedikit.

“Abah ganggu ke?”

“Tak, abah. Daim baru habis buat ulang kaji.”

“Boleh abah masuk?”

Daim sekadar mengangguk. Pintu dibuka sedikit luas. Dia duduk di atas katil. Sementara abah pula, lebih selesa duduk di kerusi yang ada di bilik.

“Esok hari terakhir Daim jawab kertas peperiksaan. Dah rancang Daim nak belajar ke mana lepas ni?”

Terdiam Daim. Jujur buat masa sekarang dia belum terfikir untuk sambung belajar. Nak luahkan, dia tak sampai hati. Dia sedar kedua orang tuanya sangat berharap kali ini dia menyambung pelajarannya ke luar negara. Itulah salah satu impian Daim sejak kecil.

“Kenapa diam?” Nada Haji Daus sudah bertukar serius. Dulu anaknya pernah menolak dengan alasan mahu mengambil peperiksaan STPM. Kononnya tak sampai hati meninggalkan mereka berdua.

Namun sejak akhir-akhir ini dia sering terdengar kata-kata yang kurang enak dari jiran tetangga. Tentang anaknya sedang bermain cinta bersama gadis liar.

“Daim masih belum fikir lagi abah.”
“Tak fikir atau niat Daim tak nak sambung belajar lagi.”

Tertelan air liur Daim. Abah seolah-olah sudah dapat menghidu hubungannya bersama Raiqa. Masak dia kalau kedua ibu bapanya tahu tentang Raiqa.

“Mestilah Daim nak sambung belajar. Cuma buat masa ni, Daim tak fikir lagi tempat yang sesuai.”

“Baguslah kalau itu rancangan Daim. Abah dan mak hanya harapkan Daim. Daim satu-satunya anak kami. Besar harapan kami nak tengok Daim berjaya. Jangan kecewakan abah dan mak. Paling penting, jangan musnahkan kepercayaan kami.”

Penuh makna Haji Daus memberikan nasihat. Selama ini dia tak pernah menyekat dengan siapa anaknya berkawan. Tapi itu tak bermakna Daim boleh memusnahkan kepercayaan yang diberi.

Daim sedikit terpukul. Sungguh dia kehilangan ayat. Lidahnya menjadi kelu untuk membalas setiap kata-kata si ayah. Memang selama ini dia terlalu banyak rahsia. Duit bulanan yang diberi oleh kedua orang tuannya, banyak diberikan kepada Raiqa. Dalam diam juga dia pernah keluarkan duit simpanan di bank. Semuanya kerana Raiqa.

“Abah keluar dulu. Abah doakan esok anak abah dapat jawab soalan dengan tenang.” Haji Daus bangun dan berjalan mendekati si anak. Bahu anaknya ditepuk lembut.

Tersentuh hati Daim mendengar kata-kata itu. Sebaik saja orang tua itu menghilang, dia rebahkan dirinya di atas tilam. Lama dia merenung ke arah siling bilik.

Antara kasih sayang ibu bapa dan cintanya terhadap Raiqa, dia tak mampu memilih. Mujurlah dia masih tidak mengabaikan pelajarannya walaupun dia dan Raiqa sudah bercinta.

Bunyi deringan telefon mengejutkan Daim. Lekas dia mencapai telefon bimbitnya di atas meja belajar. Senyuman lebar terukir di bibirnya saat nama Dayyan muncul di skrin. Dia sengaja menggunakan nama itu agar hubungannya bersama Raiqa tidak terbongkar di hadapan orang tuanya.

“Hello sayang.”

“Abang…”

Tegak terus tubuh Daim. Suara esakan Raiqa jelas kedengaran.

“Kenapa ni Rai?”

“Nanti Rai beritahu. Abang datanglah sini. Rai betul-betul tertekan sekarang.”

Makin tak senang duduk Daim. Dia pandang ke arah jam dinding. Baru pukul empat petang. Bolehlah dia berjumpa gadis itu sekarang.

“Tunggu abang. Abang datang sekarang.”

Talian terus dimatikan. Dia capai kunci motorsikal dan bergegas keluar dari bilik. Ketika di ruang tamu, dia terserempak dengan Hajah Rogayah. Berkerut dahi orang tua itu melihat wajah Daim yang gelisah.

“Daim nak ke mana?”

“Jumpa kawan. Kawan Daim ada masalah.”

“Masalah apa pula ni?”

“Err… hal peribadi. Daim keluar sekejap aje, mak. Pergi dulu.” Tangan emak diraih dan dikucup terlebih dahulu.

Keluhan kasar terlepas dari bibir orang tua itu. Esok nak periksa pun, masih lagi nak merayap.

“Kenapa dengan muka Yah tu?” soal Haji Daus yang baru muncul dari dapur. Tadi dia ada terdengar suara anaknya berbual. Tak ada pula bayang Daim di ruang tamu.

“Anak bertuah abang tulah. Keluar merayap lagi. Kali ni tak tahulah jumpa siapa. Suka sangat berahsia.”

Terus berubah orang tua itu. Baru sebentar tadi mereka berbual. Sekarang dah menghilang pula.

“Yah tak tanya dia nak jumpa siapa?”

“Dah tapi macam biasalah. Katanya nak jumpa kawan.”

Haji Daus menarik nafas panjang. Hatinya bertambah gusar dengan sikap perahsia si anak. Dia berharap sangat khabar angin yang didengarnya selama ini hanya salah faham. Masa depan anaknya masih cerah. Tahun hadapan anaknya sudah berusia 20 tahun. Dia tidak mahu Daim tersalah langkah dalam membuat pencaturan hidup di usia muda.

🌹

Untuk versi novel, memang ada banyak kisah mak ayah Daim. Sebab cerita ni bukan tentang cinta semata2, tp tentang kekeluargaan💖

Pernah BenciWhere stories live. Discover now