Semua yang mendengar bicara jin itu mendiam. Tidak berani menyahut.

Sulaiman kekal tenang. "Berambus kau wahai jin terlaknat! Dia sudah pisahkan perjanjian dia dengan kalian! Jangan diganggu mereka lagi!"

Jin itu gelak besar.

"Manusia terlalu sombong sedangkan ciptaan jin itu lebih hebat dibandingkan kalian. Sedangkan kami taat pada Allah tatkala kami adalah malaikatnya daripada kalian yang diangkat sebagai khalifah tetapi memungkiri! Bahkan mempermainkan hukum Allah demi kepentingan nafsu!"

"Itu semua adalah kerana kau, jin terlaknat!" Sangkal Sulaiman.

"Kerana kami itu mahkluk yang mengotakan janji!"

"Pergi sebelum aku bakar kau!" Serentak itu juga bibir Sulaiman menutur alunan suci Al-Quran. Sekelip mata angin kencang menampar seisi rumah sebelum menghilang pergi. Rumah menjadi jeda. Hilang segala perkara aneh yang tadi menopoli rumah.

Amri memandang Izuan sebelum dua-dua bangkit mendapatkan Aizat. Dipapah tubuh itu bangkit.

"Sakit... Sakit..." Desir Aizat.

Sulaiman menghampiri. "Dia enggan lepaskan kamu. Abi tak rasa dia akan pergi begitu sahaja. Kamu kena kuat untuk lawan dia. Jangan takut pada dia. Dia hanya makhluk Allah."

"Baik, abi."

Aizat menunduk merenung kaki yang sudah hilang fungsi. Bibir dikemam. Kifarah buatnya atas segala khilafnya. Membelakangi Tuhan yang sebenar demi nafsunya. Benar kata jin tadi. Memang tepat dengan batang hidungnya.

Dek terlalu tamak, dia jadi buta hati. Nafsu menjadi tonggak hinggakan Halimah terpaksa korbankan nyawa demi menyedarkan dia.

"Amri... Aku nak jumpa Syuhada." Pinta Aizat. Amri sekadar akur. Bersama Izuan dipapah tubuh itu menghampiri Syuhada yang duduk di sudut terhujung rumah di samping Bella dan Sofea. Di atas riba Syuhada terbaring Syahadat yang tangannya melingkari pinggang Syuhada.

Sudah dua minggu sejak Syuhada ditahan di wad. Hadirnya Sumayyah membantu sedikit sehanyak Syuhada. Alhamdulillah, dah lepas tahap kritikal. Syuhada boleh mula makan sedikit demi sedikit hinggalah doktor beri kebenaran untuk pulang.

Yang paling risau pastilah Syahadat. Hingga tak mahu tinggalkan Syuhada tatkala waktu melawat tamat. Menangis-nangis saat Zack membawanya pergi.

"Syu... Saya nak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki atas semua penderitaan awak. Saya mengaku dalang semua ni adalah saya. Saya yang curi arwah Farhan dan larikan. Saya yang sengaja ikut awak ke Pahang untuk dapatkan perhatian awak dan Syah. Saya yang santaukan awak. Saya tak pernah disantau pun tetapi saka saya buat saya naik gila sampai saya hilang diri saya. Saya mengaku yang memang dari awal niat saya untuk buat awak terseksa lebih-lebih lagi bilamana saya mula berhajat untuk ubah wajah saya seperti bekas suami awak. Saya yang tak boleh terima yang awak tolak saya waktu saya confess dulu. Saya minta maaf, Syuhada."

Saat itu juga Aizat tarik tangan dari papahan Amri dan Izuan hingga dia terjelupuk jatuh, betul-betul di bawah kaki Syuhada. Dua lelaki itu gamam sebelum bertindak mahu mengangkat Aizat semula namun lelaki itu enggan. Dia tetap bersujud di kaki wanita yang menjadi mangsa dendamnya.

"Saya betul-betul minta maaf, Syuhada."

Syuhada pandang ke arah lain. Entahlah, dia sendiri tak tahu nak rasa apa.

Marah? Kecewa? Sedih?

Semua bercampur. Tak terjangkau dek akal bahawa orang paling rapat itu yang mengkhianatinya sendiri. Punyalah dia fikir positif namun sia-sia saja. Ini memang rancangan Aizat. Hinggakan Syuhada masih tak mampu lena di malam hari mengenangkan diri berada di ambang maut yang berkali-kali setiap hari. Macam nak mati tetapi ditegah. Yang deritanya dia. Yang terseksa itu dia juga.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now