Air mata turun mengalir di bukit pipi. Segera Syuhada seka. Tangan kembali dialih. Kotak di hadapannya dibuka. Begetar jantungnya melihat kepingan-kepingan gambar dia bersama Farhan yang disatukan dalam polaroid. Di dalam kotak ini tersimpan semua kenangan. Malah, Syuhada campurkan sekali gambar dia dan Syahadat. Hasilnya, kotak ini adalah perjalanan hidupnya sejak bernikah buat kali pertama sehinggalah kini.

Mata tidak lepas memandang seraut wajah Farhan pada setiap kepingan gambar. Ibu jari menari-nari di wajah itu. Andai ada lelaki itu di hadapan mata, mahu dia peluk dan luahkan segala.

Ralit mengimbau kenangan lalu, jam sudah menginjak 12 tengah malam. Syuhada kembali menyimpan semua kenangannya di dalam gambar. Kotak itu dipeluk seketika. Mata terpejam. Bayangan kisah lalu bermain dalam mindanya. Dia rindu suasana dulu.

Kotak itu dibawa ke beg yang sudah disiapkan. Esok, perjalanannya bermula. Negeri Johor menjadi destinasi. Mersing menjadi pilihan. Kata Izuan, bapa saudaranya seorang ustaz yang sering membantu mereka yang menjadi buatan orang.

Syuhada runsing. Dia adalah mangsa santau? Kepalanya acap kali memikirkan gerangan yang tergamak menghantar santau kepadanya namun tiada satu bayangan yang menjelma. Semua yang rapat dengannya, semuanya baik. Siapa yang busuk hati dengannya?

Syuhada berharap telahan Izuan silap. Harapnya semua ini bukan santau. Tiada siapa yang berkelakuan jahat dengannya. Langsung, siapa yang tergamak?

.

.

ZATI, akak mohon... Bagi akak jumpa Syah. Sekejap aje. Tolonglah.” Tepat jam 7 pagi, Syuhada terpacak di hadapan rumah Aizat. Dia tahu, waktu seperti ini Aizat gemar jogging di taman jadi, waktu sekarang lelaki itu tiada di rumah. Waktu ini ajelah dia ada untuk melepaskan rindu kepada Syah. Untuk peluk cium anak itu sebelum berjauh buat tempoh yangdia sendiri tidak pasti.

“Abang tak bagi.” Mudah Izzati memberi jawapan.

“Zati, sekejap aje akak minta. Akak nak peluk Syah. Akak nak cium dia. Akak janji, lepas ni akak tak kacau dia.”

“Abang cakap abang tak bagi! Kenapa akak degil sangat? Kalau akak nak jumpa dia, bagitahu abang dulu. Abang cakap dengan Zati yang abang tak izinkan manusia bernama Syuhada Umairah jumpa dengan Farhan Syahadat. Akak faham tak?” tengkingnya sedikit kasar. Dia memeluk tubuh. Mulut yang menguap dibiar lepas, tiada hati hendak menutup.

“Zati... Itu anak akak, bukan anak abang. Bagi akak jumpa anak akak.”

“Eee, akak pergilah call abang dulu! Zati tak nak bersubahat dengan akak! Kalau akak tak nak call, biar Zati yang call.” Izzati hilangkan tangan di balik poket baju hoodie yang dipakai. Ternampak Izzati membuka skrin telefon, Syuhada segera menghalang. Dia tidak mahu Aizat tahu dia ada di sini. Hatinya mati untuk bertemu lelaki itu buat masa sekarang. Tawar. Bertambah tawar bila mengingatkan keguguran yang berlaku dua hari lepas.

“Jangan, Zati. Jangan sampai abang tahu.”

“Okey, fine! Kalau macam tu Zati tutup pintu dulu. Selagi abang tak izinkan akak masuk, Zati takkan benarkan.”

“Zati...” Separuh berbisik Syuhada merayu. Telapak tangan disatukan. Mata dibundarkan dengan cebikan di bibir. Hanya Izzati dia ada untuk berjempa dengan Syahadat. Dia hanya mahu peluk dan cium nyawa dia.

“Akak...”

“Woi, perempuan!”

Syuhada pejam mata. Mendengar suara yang langsung tidak ingin dia dengari. Suara Aizat memetir di pagi hari. Sekelip mata, tubuhnya berpusing. Dia dihidangkan dengan pandangan mata Aizat yang membunuh. Mata karbon itu menikam ke dalam anak matanya.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now