“Janji jangan tinggalkan saya.” Pinta si isteri. Mata melihat terus ke anak mata Aizat, mencari kejujuran dan keikhlasan cinta yang dihulur.

“Mustahil saya tinggalkan awak, Syuhada. Awak isteri saya dan saya akan pastikan awak sandang gelaran tu hingga dunia kiamat.”

“Janji jangan bencikan saya.”

Aizat tersenyum aneh. Hati sedikit pelik dengan tingkah laku isterinya pagi ini namun dilayankan sahaja bilamana teringat kejadian semalam. Wanita itu benar-benar melepaskan semua perasaannya dan hatinya sedikit gembira apabila dirinya menjadi tempat untuk Syuhada lepaskan tangisan. Seperti maruah suami diangkat semula selepas egonya tercabar.

“Selagi mana kasih saya tumpah untuk awak, selagi itu saya takkan benci awak.”
Syuhada tersenyum kecil. Jawapan Aizat walaupun tidak direct, masih dia lega. Sekurang-kurangnya dia tahu lelaki itu jujur. Mustahil dia tidak jujur kalau anak mata tidak lepas menembusi matanya sehingga dia naik segan.

“Terima kasih untuk jawapan awak. Saya nak tolong mak masak sarapan.” Syuhada mula bangkit.

“Kejap!” Aizat tahan tangan Syuhada. Dia kembali mengenggam jemari isterinya. Kerutan di dahi Syuhada menjelaskan wanita itu tertanya-tanya.

“Awak dah tanya saya. Biar saya tanya awak pula.” Aizat tersengih.

“Saya nak tolong mak masak,” dalih Syuhada. Tiba-tiba dia rasa gemuruh. Soalan apa yang bakal ditanya kepadanya?

“Sekejap aje.”

“Apa dia?” mahu tak mahu Syuhada turutkan. Harapnya bukan soalan susah. Kalau tidak, tercekik air liurnya hendak menjawab. Lagi-lagi andai melibatkan soal hati.

“Awak sayang saya tak?”

Syuhada diam sejenak.

“Awak suami saya, mestilah.”

“Mestilah apa?” usik Aizat. Dia mahu Syuhada sendiri  menuturkan perkataan enam aksara itu. Telinganya meronta-ronta mahu mendengar ucapan itu.

“Aizat...”

“Ya sayang?”

Syuhada ketap bibir. Sedar-sedar dia sudah tidak senang duduk. Kaki menghentak lantai kecil. Dia mahu lari dari soalan Aizat. Orang dah jawab, faham-faham sendirilah maksudnya.

“Saya teringin nak dengar.”

Syuhada tarik nafas dalam-dalam. Kau pernah bercinta Syu, kenapa susah sangat kau nak cakap? Lagak macam kau ni anak dara lagi!

“Mestilah sayang.” Terpancul juga perkataan itu sebaik kekuatan berjaya dikumpul.

“Alhamdulillah, syukur ada isteri yang sayang saya.” Jari Syuhada ditarik sebelum belakang telapak tangan Syuhada dikucup sekilas.

“Boleh panggil saya abang?” pinta Aizat segera. Kalau sudah sayang, ada baiknya jika dia teruskan peringkat seterusnya. Tak mustahil suatu hari nanti Syuhada benar-benar menjadi isteri dalam erti yang sebenar. Dia tidak memaksa tetapi seperti rancangannya, dia harus memikat secara berperingkat. Tak mahu nampak gelojoh.

Syuhada diam. Panggilan itu sudah lama dia tinggalkan. Tujuh tahun dia gugurkan perkataan itu dan kini seorang suami kembali meminta daripadanya. Walaupun berbeza orang, getarannya terasa sama.

Sudahnya, Syuhada gariskan senyuman. Sudah masanya gelaran itu kembali terbit fari sepasang bibirnya. Hanya untuk yang halal. “Boleh, abang.”

Bibir Aizat melekung ke atas. Lebar.

.

.

AIZAT memeluk bahu Puan Halimah lama. Bibirnya langsung tidak mempamerkan senyuman. Bibirnya mencebik ke hadapan. Melihat beg yang dibawa Puan Halimah, bertambah-tambah rasa tidak puas hati.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now