" Ampunkan kami, tuanku" serentak para bangsawan dan menteri tunduk merapatkan wajah ke lantai.Merayu bersungguh-sungguh agar mereka disisakan daripada kemarahan baginda.

" Beta benar-benar kecewa dengan tindakan para bangsawan terhadap kerajaan Darmenta.!! " Raja Metheus bangkit dari singgahsana yang didudukinya ketika itu. " Kalian tahu apa yang perlu dilakukan, bukan? "

*                     *                    *

Argeia yang masih dalam pakaian perang  duduk bersila dengan tegap dengan pedang tergeletak di sebelahnya.Wajahnya tampak keruh dan memerhatikan susuk tubuh Kaii yang berselimut tebal hingga ke paras leher dengan tatapan yang sukar dibaca maksudnya.

Buat beberapa ketika, fikirannya mendadak kosong apabila menatap wajah pucat lesi yang sedang berkeringat dingin itu sementara seorang dayang istana tidak berhenti-henti menekap dahi Kaii dengan tuala. Bau ubat menusuk hidung tetapi tidak diperdulikannya. Ada dulang berisi air yang sudah kemerahan oleh darah yang mengalir dari luka pada tubuh gadis itu sementara perca berdarah berlonggok di sebelahnya.

" Ayah."

Pintu bergemertak diiringi suara Athreyu menyerunya tetapi dia tidak menyahut apa-apa.Dari ekor matanya dia jelas melihat anak lelakinya itu pantas meletakkan lutut di atas lantai lalu melipat kaki ke belakang.Menduduki kakinya sendiri dengan kedua-dua tangan pada lutut.Bahasa tubuh yang biasa diperlihatkan oleh Athreyu ketika dia tertangkap melakukan suatu kesalahan.

" Ayah tidak apa-apa? "takut-takut pemuda itu bertanya. Gerun dengan riak wajah sang ayah yang mendadak lain auranya ketika menyarung pakaian perang begitu apatah lagi dengan sebilah pedang yang lengkap bersarung di sebelahnya.Rambut ayahnya disanggul tinggi di tengah kepala lalu melintangkan sejalur kain pada dahi
yang diikat ke belakang.Etika berpakaian rasmi seorang panglima kerajaan Darmenta.

Dia tidak tahu bila dan bagaimana ayahnya memiliki sepersalinan lengkap pakaian panglima kerajaan Darmenta seperti itu tetapi dia juga tahu masa itu bukan masa yang sesuai untuk dia bertanyakan soal tersebut.

" Athreyu fikir ayah akan baik-baik sahaja dalam keadaan begini? " Dia menoleh pantas dan sepantas itu jugalah Athreyu menundukkan wajah " Menyangka anak-anak ayah sudah tiada. Tahu-tahu sahaja mereka masih hidup dan terlibat pula dengan pergolakan politik istana sehingga ke tahap ini? "

" Maafkan saya, ayah. Saya tahu tidak sepatutnya saya mendengar sahaja kata-kata Kaii tetapi terlalu banyak perkara yang berlaku sehingga kami terhalang untuk bertemu ayah dan juga ibu. "

Tanpa menyisakan satu hal kecil sekalipun, Athreyu mengumpul keberanian untuk menceritakan segala-galanya kepada sang ayah. Tentang bagaimana mereka boleh terlibat dengan Balai Temenggung sehinggalah kepada bagaimana mereka diselamatkan oleh Putera Amadeus. Tentang pertemuan mereka dengan Suku Marais dan insiden-insiden yang membawa kepada kemuncak seluruh kejadian tersebut yakni pemberontakan oleh blok Keluarga Ares.

Argeia mendengarkan semuanya dengan penuh saksama walaupun hatinya terasa renyuk. Sebagai seorang ayah,dia tidak dapat membayangkan apa yang telah dilalui oleh kedua-dua orang anaknya itu selama ini.

Kerana sama sekali tidak sudi lagi untuk terlibat dengan kemelut politik istana yang kotor dan licik,dia sanggup membuang segala pangkat,gelaran dan kemegahan seorang panglima dengan membawa keluarganya jauh daripada ibu kota namun nampaknya takdir tetap berkehendakkan sesuatu yang lain walaupun dia telah cuba untuk mengelakkannya.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now