Satwa bijak yang terlatih itu melayang turun lalu hinggap pada pergelangan tangannya membuatkan mereka saling berpandangan sesama sendiri.Sedikit tergesa-gesa, dia menanggalkan gulungan kertas yang terikat pada kaki unggas penguasa langit biru itu lalu membacanya pantas. Surat yang diutus Enuma di ibu kota.

Tanpa berlengah, helaian kecil kertas papirus tersebut dihulurkan pula kepada Kaii.Keningnya bertaut di tengah dahi sambil berkali-kali mengetap gigi.

" Putera Ardius akan ditabalkan sebagai raja baru Darmenta tengah hari esok "Ujar Kaii sambil menyerahkan pula kertas itu kepada Putera Amadeus." Di hadapan keranda tuanku yang meninggal akibat serangan Aduria"

" Tapi,tuanku masih belum mangkat !!"

" Apa masih kurang jelaskah pada Panglima Madeia? Ini semua merupakan rancangan Keluarga Ares untuk menabalkan Putera Ardius sebagai raja Darmenta."

" Seperti bagaimana beta tidak dibenarkan untuk melihat wajah ayahnda buat kali terakhir,Tuan Ares akan melakukan hal yang sama untuk membohongi semua orang."

" Kita perlu kembali ke ibu kota sebelum terlambat, tuanku. Pertabalan Putera Ardius tidak sah." gesaan Panglima Madeia yang bernada mendesak itu kedengaran sedikit tinggi.

" Kita tidak akan dapat memasuki ibu kota, panglima.Mereka pasti menyiapkan pasukan tentera untuk menghalang kita nanti. "

" Tapi tuanku... "

" Berehatlah dulu dan cuba untuk melelapkan mata sementara kuda panglima juga perlu makan dan minum. Kita akan memberikan kejutan kepada mereka kelak"

" Tuanku." Panglima Madeia enggan mendengar kata-kata Putera Amadeus." Maaf jika sembah patik sembah derhaka. Kita tidak boleh berlengah-lengah di sini"

" Jumlah kita tidak akan mampu menandingi tentera di ibu kota dan kerana itu kita perlu menunggu ketibaan batalion tentera dari empat sempadan. "

" Bagaimana mungkin tuanku? Bukankah Arial dalam batalion di kawasan sempadan dibawah kuasa Tuan Theseus? "

" Sekarang tidak lagi. " Putera Amadeus menguntum senyum sekilas yang sangat misteri " Kita sudah memiliki 8 Arial !"

Hampir ternganga mulut Panglima Madeia mendengarkan hal tersebut. Lapan Arial merupakan satu jumlah ketumbukan tentera yang sangat besar. Dan kerana reputasi buruk Putera Amadeus di istana yang terkenal tidak pernah mahu mengambil tahu urusan pentadbiran-yang maaf kata hanya merupakan raja boneka Keluarga Ares-dari mana baginda memperolehi kekuatan tentera sebegitu ramai?

" Ddariii mmannnaaa... "

" Sudahlah, Panglima Madeia. Rasanya masih ada sarapan baki pagi tadi. Makanlah dan cuba untuk berehat. Kita akan banyak menggunakan tenaga esok hari."

*                  *                    *

Seperti yang mereka duga. Perjalanan awal pagi ketika matahari masih belum terbit membawa mereka tiba di gerbang utara tatkala bebola api gergasi itu baru tergantung sedikit condong di tengah langit.

Bagaikan bersekongkol dengan pengkhianatan dan penipuan Keluarga Ares,suasana di gerbang tersebut senyap-sunyi. Selain angin yang bertiup sedikit kasar,hanya kedengaran bunyi panji-panji kerajaan yang dikibarkan separuh tiang berderak disentuh angin.

Gerbang utara yang dibina daripada tembok batu  tinggi mengelilingi kerajaan Darmenta tampak kukuh dengan pos-pos kawalan jelas kelihatan. Para pengawal mundar-mandir dengan bersenjatakan tombak.

Mereka senyap sahaja. Hampir sepanjang malam tidak ada seorang pun yang dapat melelapkan mata dengan nyenyak.Malam dirasakan berlalu terlalu lambat dan ketika rombongan Aduria bertolak untuk kembali semula ke penempatan mereka, Putera Amadeus juga merasakan itu masa terbaik untuk mereka mulai berangkat semula ke ibu kota. Dan dengan memacu kuda tunggangan sederas-derasnya tanpa berhenti, gerbang utara jelas kelihatan selepas beberapa ketika.

Kaii tahu Keluarga Ares tidak akan berdiam diri sahaja tanpa melakukan apa-apa bagi memastikan Putera Ardius menaiki tampuk kerajaan. Ada kalanya Kaii tidak tahu keputusan yang diambilnya ketika menyelamatkan Putera Amadeus bakal membawanya ke masalah yang bagaimana lagi.

Dan kini mereka menunggu dalam senyap. Aneh. Sunyi bagaikan isyarat bahawa puting beliung akan membadai.Mendengar ringkik kuda dan derap tapak kaki para tentera yang bermunculan dari celah-celah pohon serta gemerincing pakaian perang juga perisai masing-masing, serentak mereka menoleh.

Panglima Ozge - pegawai pemerintah Batalion Utara, Panglima Nehir yang mengetuai Batalion Timur, Panglima Defne yang mengetuai ketumbukan Batalion Barat dan Panglima Neylan dari Batalion Selatan turun dari kuda tunggangan masing-masing lalu tunduk melutut.

" Terima hormat kami, tuanku. Maaf jika kami membuatkan tuanku menunggu. Sebaik sahaja utusan tuanku sampai, kami segera bertolak namun mengambil sedikit masa untuk sampai ke sini. "

" Tidak mengapa,tuan-tuan.Ketibaan tuan-tuan sudah cukup mengembirakan beta. "

" Hanya ini yang kami bawa ke mari. Sesuai perintah tuanku, askar-askar selebihnya menunggu di luar pintu gerbang. "

Panglima Defne berkata dan disambut oleh anggukan daripada Putera Amadeus. Menyerahkan semula plat perak Arial kepada sang putera setelah utusan khas Putera Amadeus membawa sepucuk surat dan plat perak tersebut. Bukti bahawa perintah untuk kembali semula ke ibu kota mengkhabarkan ada sesuatu yang serius sedang berlaku di istana.

" Kaii.."

" Saya tuanku. "

" Walau apa pun keputusan hari ini, beta gembira kerana berkenalan dengan kalian berdua. "

" Kami juga, tuanku. Kita sudah sampai ke tahap ini. Hanya kami berharap agar tuanku mengotakan janji untuk menjadi raja yang adil kepada rakyat tuanku. "

" Demi Darmenta! "

Tanpa sedar Kaii menggenggam tali kekang kudanya kejap mendengarkan suara Putera Amadeus memasuki pendengarannya lalu disambut oleh Panglima Agean dan Panglima Madeia dengan perkataan dan nada yang sama.

Serentak mengepakkan kaki pada sisi kanan dan kiri kuda masing-masing, Putera Amadeus memacu kudanya pantas di hadapan dengan diikuti oleh enam orang panglima kerajaan Darmenta.

Kaii sudah bersedia untuk melepaskan panahan kepada pengawal di atas tembok sana namun tangannya tertahan di udara ketika melihat pintu gerbang mendadak terbuka lebar dan ratusan orang tentera mengacu panah muncul di atas tembok sana.

Sebuah kereta kuda mendahului ketumbukan tentera Balai Temenggung yang lengkap berpedang.Semakin dekat, semakin jelas pada penglihatan Kaii.

Permaisuri Adhreya sedang dipasung pada sebatang kayu yang terpacak di tengah pedati!

Panglima Agean tergamam sementara Putera Amadeus mengumam tanpa sedar.

" Bonda!! "

*                  *                   *

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now