"Abang, seriuslah?" Muka dilangut agar mata mereka bertentangan. Tadi dia menangis sebab nak mengada-ngada je. Kali ini, dia berasa seronok pula apabila dimanjakan oleh Rayyan sebegitu. Dia tidak pernah meminta apa-apa hadiah daripada Rayyan dan dia juga tidak perlukan semua itu. Cukuplah Rayyan sentiasa berada di sisinya sewaktu susah dan senang. Itu pun sudah memadai. Tapi kalau Rayyan nak bagi, apa salahnya. Dia akan ambil juga.

"Ya, serius." Kepala diangguk-anggukkan berkali-kali.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, perasaan teruja menjentik tangkai hati Hannah. Beg kertas tersebut dibuka. Di dalamnya terdapat sebuah kotak leper bersaiz segi empat. Ada saiz sederhana dan besar.

"Apa ni?" tanya Hannah. Di belek-beleknya kotak tersebut.

"Bukalah, sayang. Kalau abang bagitahu, tak surpriselah nanti." Hidung Hannah ditarik sehingga kemerahan.

"Yalah. Yalah. Jangan tarik hidung saya, nanti tak mancung dah." Digosok perlahan batang hidungnya. Sambil itu, Hannah ralit membuka simpulan reben yang dililit kemas pada kotak tersebut.

Seketika, mulut Hannah terlopong. Di dalam kotak yang bersaiz kecil, ada seutas gelang tangan mutiara putih yang bersinar-sinar cerah. Dan di dalam kotak yang lain, ada seutas rantai mutiara yang mempunyai design yang sama.

Tampak begitu cantik dan ekslusif di mata Hannah. Dia sukakan hadiah Rayyan yang ini!

"Cantik?" Kening Rayyan diangkat sambil bertanyakan soalan.

"Cantik sangat, tapi—"

"Tapi apa?" Dahi Rayyan berkerut. Hannah tidak suka ke dengan pemberian dia? Berbelas ribu dia habiskan untuk hadiah yang satu ini. Sebenarnya, dia tidak tahu hendak membeli hadiah apa untuk Hannah. Bukannya dia tahu perempuan ini suka apa. Sudahnya, dia tanya Raihana dan setelah beberapa cadangan diutarakan, akhirnya Rayyan memilih untuk menghadiahkan Hannah seutas rantai dan gelang.

"Saya rasa tak syok kalau abang tak pakaikan untuk saya. Boleh abang tolong?" Mata dikerdip-kerdip comel. Teringat pula babak-babak romantik dalam drama yang selalu ditontonnya. Si hero akan menghadiahkan seutas rantai kepada si heroin, kemudian adalah adegan-adegan romantik. Yih, merenyam kau Hannah.

"Mestilah boleh. Apa-apa je boleh untuk sayang." Gelang yang masih terletak elok di dalam kotaknya dicapai oleh Rayyan dan kemudian dipakaikan ke pergelangan tangan Hannah.

Sesaat mata Hannah terpaku pada gelang mutiara di tangannya. Cantik sungguh! Berkilat-kilat saat disimbah dengan cahaya rembulan. Indah terlihat. Tengoklah siapa si pemakainya. Ceit!

Kemudian, Rayyan berdiri betul-betul di belakang Hannah. Tangannya menyentuh permukaan kulit Hannah menyebabkan bulu roma Hannah serta-merta meriding. Dingin malam bertukar menjadi hangat. Hembusan nafas Rayyan menampar pipi Hannah lalu membuatkan dadanya berdebar kencang. Selesai memakaikan rantai ke leher Hannah, Rayyan memalingkan tubuh isterinya supaya menghadapnya. Diangkat dagu Hannah agar mata mereka bertentangan. Jari-jemarinya menyulam jari Hannah. Sejuk! Baru pakaikan lantai, bukan buat yang bukan-bukan.

"Suka?" Pipi Hannah dielus perlahan. Mata helangnya menghantar pandangan yang sarat dengan penuh kasi sayang. Malam itu terasa begitu lain suasananya.

"Suka." Merekah senyum di seulas bibir Hannah yang merah. Malu direnung oleh Rayyan begitu, dia menundukkan pandangan ke lantai.

"Kalau abang bagi sayang hadiah, abang pun nak tuntut hadiah abang juga." Mata Rayyan melirik Hannah nakal. Pipi wanita itu memerah membuatkan dia berasa girang. Semakin Hannah malu, semakin kuat dia hendak mengusik isterinya. Geram! Sudah berbulan-bulan mereka menjadi suami isteri, Hannah masih belum mampu biasakan diri dengan layanannya.

"Apa dia?" Hannah kembali memandang Rayyan. Hadiah apa pula Rayyan nak malam-malam ini? Bukannya dia ada belikan apa-apa untuk Rayyan. Tak prepare langsung!

"You." Sepatah Rayyan menjawab. Senyuman mengusik terukir di wajah Rayyan.

"Me?" Kening Hannah terjongket. Blur untuk seketika. Apa benda Rayyan ni? Cakap tu biar straight to the point, boleh tak? Cakap sepatah-sepatah macam ni, memang dia tak fahamlah.

"Dia buat-buat blur pula. Geram pula abang dengan sayang ni." Pucuk hidung Hannah ditarik kuat lantas bibir Hannah cebik. Sukati je tarik-tarik hidung orang. Nanti kalau dah tak mancung, semuanya salah Rayyan.

"It's time for us to have a baby." Usai menyudahkan ayatnya, Rayyan segera mencempung Hannah tanpa sempat Hannah membalas apa-apa.

"Abang!" Terlepas jeritan dari bibir Hannah dek kerana terkejut dengan perbuatan Rayyan. Akhirnya, tawa mereka gamat memenuhi segenap ruang.

Malam itu menjadi saksi penyatuan cinta antara dua insan yang saling menyayangi antara satu sama lain. Semoga ikatan perkahwinan yang terbina akan kekal sehingga ke Syurga.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now