"Abang gatal dengan sayang je tau..." Sempat Rayyan menjawab sebelum akhirnya dia hanya mengikut langkah Hannah.

Destinasi pertama mereka adalah Gunung MaChincang yang berada berdekatan dengan Pantai Kok. Apa yang menarik di situ adalah kereta kabel Langkawi yang turut dikenali sebagai Panorama Langkawi.

Ada tiga jenis gondola yang disediakan. Ada gondola biasa, VIP dan juga gondola berlantai kaca. Ramai yang beratur di barisan gondola biasa. Hannah dan Rayyan tidak terlepas juga.

"Kita naik yang lantai kaca, nak tak sayang?" Sesaat suara Rayyan mengetuk gegendang telinga Hannah.

"Tak mahu. Saya gayat." Dia menggeleng-gelengkan kepala. Gila ke apa nak naik gondola berlantai kaca? Mahu dia tutup mata sahaja sepanjang berada dalam kereta kabel tersebut.

"Sayang nak takut apa? Abang, kan ada." Sebelah kening dijongket tinggi.

"Karang saya pengsan kat atas tu, naya je awak nanti." Memanglah Rayyan ada. Tapi nanti kalau dia rasa pening ke, nak muntah ke, haru jadinya.

"Tak apa, kalau sayang pengsan, abang sanggup angkat sayang bawa balik sampai ke hotel."

"Dahlah, malas nak layan awak." Hannah memutarkan bebola matanya ke atas. Rayyan kalau tak merepek, tak sah.

Rayyan tergelak kecil. Dia bahagia.

Setelah hampir setengah jam menunggu, akhirnya giliran mereka pun tiba. Kebetulan hanya mereka berdua sahaja yang berada di dalam gondola tersebut.

Hannah apa lagi, sukalah dia. Bebaslah dia hendak melompat ke, menjerit teruja ke apa ke.

Sedari tadi, Hannah hanya memerhati keindahan alam sekeliling. Dari dalam gondola tersebut, dapat dia lihat keindahan alam semula jadi di bawah sana. Gunung-ganang yang menghijau dan pantai yang luas terbentang. Langit yang kebiruan membuatkan Hannah memuji kebesaran dan kekuasaan Sang Pencipta di dalam hati. Kadang kala, kereta kabel tersebut menembusi lapisan kabus yang tebal. Seperti masuk ke alam lain pula tatkala itu.

Jika Hannah sibuk menikmati keindahan alam sekitar, Rayyan pula sibuk menikmati keindahan wanita yang melengkapi tulang rusuk kirinya.

Hannah tenggelam dalam keseronokannya sendiri, jadi dia tidak perasan yang sedari tadi Rayyan asyik merenung dirinya.

My lady is so beautiful. Ngiaw!

Bulu roma Rayyan meremang sendiri. Hannah tak buat apa-apa pun dia sudah tergoda. Haih, angau!

"Abang," panggil Hannah. Kepala dipusingkan menghadap ke arah Rayyan yang berada di sebelahnya. Namun dia terkejut apabila muka Rayyan berada begitu dekat dengan mukanya.

"Ya, sayang." Rayyan melorek senyuman manis. Terkejut dia apabila Hannah yang leka memerhati alam sekeliling berpaling ke arahnya secara tiba-tiba. Kantoi tenung tak lepas!

"Cantik, kan Pulau Langkawi ni. Saya rasa macam nak tinggal terus di sini," luah Hannah. Berada di tempat ini, dia merasakan suatu ketenangan yang sangat sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Sungguh berbeza sekali dengan suasana hiruk-pikuk di kota yang kadang kala menyesakkan kepala.

"Abang pun suka tempat ni. Cantik." Tangan Rayyan yang sedari tadi memeluk pinggang ramping Hannah kini beralih ke bahunya pula. Menarik tubuh Hannah rapat ke dadanya.

"Tapi cantik lagi sayang abang ni." Menyempat!

"Abang ni... Betul-betullah..." Hannah mencebikkan bibir. Hisy, banyak main Rayyan ni.

"Betullah." Sengihan lebar muncul di bibir Rayyan.

Beberapa minit kemudian, mereka tiba di Top Station di mana stesen itu merupakan stesen paling atas. Dari situ, para pengunjuung boleh menikmati keindahan Pulau Langkawi secara pandangan panorama. Top Station itu bersambung Skybridge yang terletak di puncak Gunung MaChinchang. Skybridge ini terkenal sebagai the longest free span and curve bridge in the world.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now