Hannah tidak dapat menanggung sakit yang mencucuk-cucuk di dada. Dipukul dadanya berulang kali untuk menghilangkan rasa sakit yang tidak berpenghujung. Air mata yang keluar mencurah-curah tidak dipedulikan. Dia mahu rasa sakit ini hilang. Dia penat hidup seperti ini. Kenapa dia tidak mati sahaja bersama-sama daddy? Kenapa dia dibiarkan hidup dan perlu menanggung perasaan bersalah yang tidak berpenghujung? Kenapa? Kenapa?

"Sayang." Gemersik suara garau seorang lelaki menyapa halwa telinga. Tidak usah diberitahu siapa, sudah dapat diagak siapakah itu. Tubuhnya dipeluk dari arah belakang dan aroma Rayyan mencucuk-cucuk hidung. Bahu Hannah terenjut-enjut menahan esakan yang semakin menggila.

"Sayang, kenapa ini?" Perasaan risau bertandang di hati saat melihat tubuh isterinya tiada di sisi. Puas dicari di ruang tamu dan ruang makan, kelibat isterinya langsung tidak kelihatan. Apabila melihat lampu di dapur dibuka, kakinya laju sahaja melangkah ke arah sana. Sebaik sahaja dia tiba, esakan kecil milik Hannah mula menerpa ruang telinga.

Tubuh Hannah dipusingkan ke arahnya dan dia lihat air mata Hannah mengalir tanpa henti. Diangkat dagu Hannah supaya memandangnya namun Hannah melarikan anak matanya, "My lady, don't cry."

Hannah tetap diam namun dia masih belum berhenti menangis.

"Sayang lapar ke?" soal Rayyan lalu disambut dengan gelengan oleh Hannah.

"Haus?" soalnya lagi apabila melihat gelas berisi air sudah kosong namun Hannah tetap menggeleng.

"Sakit ke?" Geleng lagi.

"Shhh... shhh..." Ditarik tubuh Hanah ke dalam pelukan lalu diusap perlahan-lahan belakang badannya. Terenjut-enjut bahu Hannah kerana menahan esakan yang menggila di dada. Lalu Rayyan bertindak untuk mencempung Hannah lalu dibawa ke bilik tidur mereka. Dia membaringkan Hannah ke atas katil dan menyelimutkannya sebelum Rayyan turut sama baring di sebelah Hannah. Hannah tidak sedikit pun membantah tetapi dia berterusan menangis.

"Sayang, cuba bagitahu abang, kenapa ni?" Dipalingkan tubuh Hannah supaya menghadapnya. Air mata yang mengalir di pipi Hannah diusap pergi. Sudah berminggu-minggu lamanya Hannah tidak mahu bercakap dengan dirinya melainkan perkara penting sahaja. Sudah lama juga dia tidak melihat senyuman di wajah yang anggun itu kecuali sewaktu akad nikah tadi. Jika nyawanya boleh menjadi galang ganti untuk menghapuskan segala kesedihan Hannah, dia sanggup buat perkara tersebut.

"Awak..." Tersedu-sedu Hannah.

"Ya sayang," Rayyan mengusap ubun-ubun Hannah, menanti apa yang ingin dikatakan olehnya.

"Nak daddy," usai berkata, Hannah menekup mukanya ke dada Rayyan dan menangis semahu-mahunya.

"Saya nak daddy,"

"Saya rindu daddy." Suara Hannah seakan-akan tersekat di kerongkong.

Rayyan menarik rapat Hannah ke dalam pelukannya. Hatinya turut diruntun rasa hiba saat mendengar Hanah teresak-esak menangis seperti ini.

"Ceritalah sayang, abang nak dengar..." Rayyan cuba memujuk Hannah.

Hannah memejamkan matanya dan dia mula meluahkan segala yang tersirat di hati.

"Sewaktu hari kejadian, daddy minta tolong saya untuk ambil dia di hospital sebab kereta dia rosak. Kebetulan saya dalam perjalanan pulang dari kerja, saya pun pergi ke hospital. Daddy baru je habis kerja dia. Apabila saya sampai, daddy senyum saja bila nampak saya," Hannah terdiam sejenak mengingati semula detik-detik yang bahagia buatnya namun sewaktu itu dia masih belum tahu itulah kali terakhir dia akan melihat semua itu.

Rayyan setia mengusap belakang tubuh Hannah untuk memberikannya kekuatan.

"Di dalam kereta lagilah daddy nampak gembira dan ceria sangat. Dia bagi saya banyak nasihat walaupun saya acuh tak acuh je layan daddy. Daddy minta maaf dan daddy cakap daddy sayang sangat dekat saya dan Fateh, awak. Saya pun sayang sangat dekat daddy."

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now