"Adik sihat?"

Hannah mengangguk.

"Adik, kalau daddy nak cakap sedikit adik jangan marah." Tengku Akbar cuba membaca reaksi muka Hannah tetapi pandangannya tetap kosong. Dia tidak mengangguk mahupun menggeleng.

"Daddy tak tahu bila masanya daddy akan pergi tetapi daddy semakin tua. Jadi daddy nak gunakan peluang ini untuk minta maaf dengan adik dari hujung rambut ke hujung kaki untuk segala kekurangan dan salah silap daddy kepada adik." Kedua-dua mata Tengku Akbar dan Hannah berkaca. Masing-masing menahan rasa sebak dan memikul beban perasaan di dada.

"Daddy." Buat pertama kalinya dia menyebut panggilan itu dengan penuh kasih sayang.

Tengku Akbar tersentak. Hampir gugur air mata tuanya. Sudah lama dia mendambakan perkara itu dan akhirnya doanya termakbul. Tanpa sedar, tangannya mengusap bahu Hannah. Namun cepat-cepat dia menarik kembali tangannya kerana risau fokus Hannah akan terganggu. Jika dia diberi peluang untuk memeluk Hannah, dia mahu memeluk anaknya itu saat ini juga. Dia sangat rindu dan dambakan kasih sayang anaknya. Disebabkan kekhilafan dirinya dan sifatnya yang terburu-buru dalam membuat keputusan suatu masa dahlu, dia kehilangan satu-satunya ahli keluarganya yang masih ada. Bukan itu sahaja, dia juga hilang cucu yang datang dari darah dagingnya sendiri.

"Jangan cakap begitu, adik tak suka." Buat pertama kalinya Hannah berlembut dengan Tengku Akbar. Entah apa yang merasuknya sehingga dia memilih untuk berlembut dengan daddynya sendiri sedangkan selama ini hendak memandang muka lelaki itu pun dia tidak mahu.

Seulas bibir Tengku Akbar mengukir senyum. Serasa ingin sahaja dia sujud syukur saat ini kerana terlalu gembira. Dia berharap agar pertemuan mereka pada hari ini akan menjadi titik perubahan untuk hubungan mereka.

"Daddy nak teruskan cakap boleh?" Tengku Akbar berhati-hati dalam menyusun kata. Hati Hannah perlu dijaga. Jika 10 tahun masa yang dia perlu ambil untuk mendapat kemaafan Hannah, selama itu jugalah dia sanggup buat apa sahaja untuk anaknya.

Hannah mengangguk tanda membenarkan.

"Daddy sayang adik sangat. Daddy tahu daddy pernah buat silap besar dahulu dan sekarang daddy nak tebus balik semua salah daddy terhadap adik. Kalau daddy terpaksa gadaikan nyawa daddy untuk adik, daddy sanggup buat adik asalkan adik sentiasa bahagia. Daddy cuma nak adik tahu yang kasih sayang daddy terhadap adik tak pernah berkurang walau sedikit pun sejak mummy lahirkan adik. Kasih sayang daddy terhadap adik dan kakak sama rata, sekali pun daddy tak pernah bezakan kamu berdua." Tengku Akbar jeda seketika. Dadanya menjadi semakin sebak dan berat menanggung perasaan. Sungguh dia rindukan suasana keluarga yang bahagia seperti dulu.

"Adik tahu." Banyak yang Hannah ingin katakan namun satu pun sukar untuk diungkapkan. Tidak tahu mengapa hatinya menjadi sangat lembut pada petang itu. Suasana di dalam kereta itu juga hangat dengan kasih sayang.

"Tolong jagakan Fateh elok-elok adik. Mungkin Fateh tak kenal daddy sebagai atuk dia tapi cukuplah dia tahu yang lelaki tua ini sentiasa menyayangi dan merindukan dia." Tengku Akbar mengesat air mata yang bergenang di pinggir mata.

"Insya-Allah." Pendek sahaja balasan Hannah.

"Daddy nak anak daddy bahagia. Sepanjang Rayyan kenal daddy, daddy nampak dia betul-betul ikhlas dengan adik. Tak pernah sekali pun dia mengeluh. Sebab dia pilih untuk jadi bodyguard adik, adik kena tanya dia sendiri. Tetapi dia tidak kisah langsung tentang bayaran mahupun gaji dia. Kalau diikutkan, gaji yang daddy bagi apalah sangat jika nak dibandingkan dengan harta yang dia ada. Dia betul-betul ikhlas sayangkan adik." Tengku Akbar memberitahu Hannah hal yang sebenar.

"Adik tak tahu." Satu keluhan kecil dilepaskan. Dia sendiri buntu dan keliru dengan perasaannya sendiri. Dia sakit hati apabila mendapat tahu yang dia ditipu hidup-hidup oleh Rayyan namun jauh di sudut hatinya dia tidak dapat menafikan keikhlasan Rayyan yang jelas terlihat sepanjang mereka bersama.

"Adik pernah dengar tak orang kata carilah lelaki yang betul-betul mencintai kita lebih daripada kita cintakan dia." Tengku Akbar mula memberikan nasihat kepada anaknya. Dia tahu anaknya keliru.

"Pernah," jawab Hannah namun dia tidak pasti sama ada kenyataan itu relevan atau tidak.

"Daddy sayang adik dan daddy tahu Rayyan pun sayangkan adik sama seperti daddy," Tangan Hannah di stereng digenggam dengan erat. Hannah dapat merasai betapa hangatnya kasih sayang yang mengalir. Hannah memandang raut wajah bapanya yang sudah dimamah usia dengan hati yang sebak. Mereka bertentang mata dengan pandangan berkaca.

Hannah kembali fokus pada pemanduannya lantas tersenyum, "Adik say..."

"Ya Allah!" Hannah terjerit kuat sambil kakinya menekan brek mengejut disertai dengan bunyi seretan yang kuat di atas jalan raya sebelum dia rasakan sterengnya menjadi hilang kawalan.

Bum!

Pandangan mata Tengku Hannah dan Tengku Akbar menjadi gelap.


Kak Fi baru update bab baru untuk Misi Memikat Tuan Syed. Jemput baca, vote dan komen tau!

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now