Atau apa mungkin susuk tersebut merupakan antara anak bangsawan daripada blok Keluarga Hemera?

" Kalau begitu.. " mata Tuan Ares menggerenyat benci " Perintahkan Balai Temenggung mempersiapkan segalanya."

" Akan hamba laksanakan. "

Semestinya! Dia yang merancang dan yang lain-lain akan melaksanakan rancangan tersebut.

* * *

Putera Amadeus meredam rasa sakitnya dengan mengetap gigi ketika Dayang Ghea menekap luka besar yang melintang pada rusuk dan perut kirinya dengan sehelai kain basah.

Malam kelima nasib tidak menyebelahi mereka dan ketika hendak menyelinap keluar, muncul para pengawal diraja yang lengkap bersenjata.

Pertembungan tidak dapat dielakkan lagi dan bukan itu sahaja, ia juga sangat tidak seimbang. Belasan pengawal diraja yang cekap dan terlatih menentang hanya mereka berdua-dia dan Panglima Agean.

Dalam keadaan kelam-kabut begitu, salah seorang daripada pengawal diraja tersebut berjaya melukainya dan segera dia mengenali susuk tersebut sebagai salah seorang daripada pengawal rapat Tuan Ares. Dengan kenyataan itu, tahulah dia bahawa apa sahaja yang berlaku di kamar peraduan diraja tersebut amat pasti bersangkut-paut dengan Tuan Ares.

Kegemparan yang ditimbulkan oleh pertembungan tersebut membuatkan Balai Temenggung mengerahkan beberapa kumpulan Riet bekejar ke anjung barat istana dan kedatangan mereka semakin menyusahkan Putera Amadeus untuk melarikan diri daripada kepungan tersebut.

Sementara menunggu masa yang sesuai untuk menyelinap keluar dari anjung barat istana, dia dan Panglima Agean terpaksa bersembunyi mengakibatkan luka besar pada rusuk dan perutnya mengalirkan darah tidak berhenti-henti. Dia tahu dia mengalami kehilangan darah yang banyak sehingga Panglima Agean memapahnya dalam keadaan dia separuh sedar begitu.

" Bagaimana tuanku menghadiri acara perburuan esok dalam keadaan begini? "

Dayang Ghea merasa ngilu setiap kali melihat darah pekat mengalir daripada luka besar pada perut dan rusuk Putera Amadeus yang terbaring pucat di atas katil itu. Setiap kali dia menekapkan serbuk ubat yang diambil secara curi-curi daripada tabib istana, setiap kali itu jugalah Putera Amadeus menggeram kesakitan.

Untuk membawanya berjumpa dengan tabib istana merupakan satu hal yang sangat tidak mungkin dilakukan. Mereka tahu mata-mata Keluarga Ares ada di mana-mana. Malahan menjemput tabib istana pasti akan menimbulkan syak dan ia sama sahaja seperti mengumumkan bahawa Putera Amadeus ialah susuk misteri berpakaian hitam yang menjadi orang buruan paling dikehendaki oleh Keluarga Ares dan juga Balai Temenggung.

" Bukankah ianya jelas? Mengadakan upacara perburuan selepas kejadian di kamar peraduan diraja. " Putera Amadeus bangkit perlahan dengan bantuan Panglima Agean " Nampaknya ia hanyalah satu helah untuk mencari siapa dalang di sebalik kejadian tersebut."

" Tuanku" resah sekali Panglima Agean ketika Putera Amadeus meringis sakit seraya menekap lukanya yang kini sudah berbalut kain itu.

" Tidak ada alasan lain, Agean. Beta tidak boleh membiarkan Keluarga Ares memerangkap beta kali ini! "

* * *

Dia hanyalah seorang putera mahkota tidak berguna yang hanya tahu bersenang-lenang dan berfoya-foya.

Itu adalah watak dan keperibadian yang sengaja disuburkan oleh keluarga bangsawan istana Darmenta terutama sekali Keluarga Ares dan sehingga kini itulah yang mereka perolehi dan nampak pada susuk Putera Amadeus.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now