13

23 4 0
                                    


Grace merupakan anak ketiga kepada Raja Andrus yang telah mangkat empat tahun yang lalu. Sewaktu umurnya dua puluh satu tahun, Grace mendapati kepincangan dalam pemerintahan kerajaan ayahandanya. Berkali-kali Grace mencuba untuk menentang namun tidak berjaya. Kedua-dua abangnya juga tidak mampu untuk mengambil sebarang tindakan. Raja Andrus merupakan seorang yang kejam dan sanggup menjatuhkan hukuman bunuh kepada sesiapa yang menentangnya.


Lama-kelamaan, dia sudah tidak tahan lagi untuk hidup dalam keadaan sedemikian. Semua yang berkawan dengannya pun hanya disebabkan harta dan kedudukannya sebagai puteri tunggal Kota Belista. Grace tidak pernah mendapatkan kehidupan bahagia yang diimpikannya. Akhirnya dia memutuskan untuk menceroboh sempadan dan memilih untuk melarikan diri ke Kota Zaiden. Namun jejak langkahnya dapat dikesan oleh beberapa tentera kerajaan. Mereka mengikuti Grace sehingga ke sempadan. Dan ketika itulah muncul Arslan yang menyelamatkannya dan membawa Grace tinggal bersamanya.


Grace tahu, pasti ayahandanya sudah mengerahkan tentera untuk mencarinya. Dan dia tahu bila-bila masa sahaja penyamarannya sebagai Izabel bakal terbongkar. Namun dia tidak berniat untuk pulang ke Kota Belista selagi pentadbiran negara itu masih bersifat autokratik. Oleh itu, dia sudah bersiap-sedia dengan segala kemungkinan yang ada. Grace meminta Arslan untuk meminjamkan buku-buku politik dan pentadbiran Kota Zaiden untuk mengkaji sistem pengadilan kerajaan tempatan. Waktu hampir tiga minggu di situ belum cukup untuknya mengkaji keseluruhan sistem pengadilan, namun berbekalkan sedikit ilmu, dia menggunakannya di muka pengadilan.


Pada awalnya Grace diperlakukan dengan kasar oleh polis tempatan Kota Zaiden setelah dibawa ke penjara ibu kota. Setelah dia menceritakan statusnya sebagai keluarga diraja Kota Belista, pihak berkuasa tempatan tidak berani untuk memperlakukan tindakan yang berlebih-lebihan.


Kes Grace mendapat perhatian kerajaan dan Raja Sulaimen, namun arahan agar kes ini dikendalikan secara sulit dikeluarkan oleh Raja Sulaimen. Sebarang informasi salah yang sampai ke pihak Belista mungkin mengakibatkan peperangan yang lebih dahsyat antara kedua-dua buah kerajaan itu. Orang luar tidak dibenarkan masuk campur.


Grace akhirnya berjaya membuat perhitungan dengan kerajaan. Dia meminta agar Arslan dan keluarganya tidak diheret sekali dalam kes tersebut. Dan seorang utusan dari Kota Belista perlu dipanggil untuk menjadi perunding antara Grace, Raja Sulaimen dan Raja Andrus. Permintaannya ditunaikan. Raja Andrus berikrar tidak akan menyekat ekonomi Kota Zaiden untuk tempoh tiga tahun sekiranya puteri kerajaan mereka itu dibebaskan. Perjanjian hitam putih telah pun ditandatangani. Maka akhirnya Grace dibebaskan.


Grace tidak terus pulang ke Kota Belista. Dia mengajar anak-anak dayang dan pekerja istana Kota Zaiden untuk membaca dan mengira. Tindakannya itu tetap dikawal oleh pihak berkuasa tempatan. Grace memutuskan untuk pulang hanya setelah melihat perubahan lain dalam politik Kota Belista. Sepanjang tempohnya mengajar, wanita itu turut mendalami agama Islam daripada seorang agamawan yang bergelar Syeikh Ahmed dan isterinya.


Tiga tahun kemudian, dia menerima berita kemangkatan Raja Andrus. Ketika itu, akhirnya Grace pulang menjejakkan kaki di Kota Belista. Abang sulungnya mengambil alih pemerintahan negara dan Grace banyak memainkan peranan penting dalam politik. Perlahan-lahan, mereka mula mengubah struktur pentadbiran negara, namun tidak secara drastik. Dalam tempoh empat tahun, akhirnya politik Kota Belista mulai stabil. Tiada lagi permusuhan dengan kerajaan-kerajaan yang lain.Apabila agama Islam mulai diterima di Kota Belista, Grace membuat pengumuman tergempar kepada keluarganya. Dia bertekad untuk memeluk Islam dan menukarkan namanya kepada Izabel. Dia bertekad untuk meninggalkan dunia politik dan jawatannya dalam pentadbiran diserahkan kepada anak saudaranya. Banyak tentangan dan halangan yang dihadapi wanita itu sepanjang tempoh tujuh tahun ini. Namun pada akhirnya, dia berjaya mengotakan janjinya untuk pulang ke Kota Zaiden.

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now