1

87 5 0
                                    


Nafasnya tercungap-cungap. Dadanya terasa sakit. Tapaknya melangkah laju membelah angin bumi. Dia tidak tahu jika kedua-dua kakinya itu mampu bertahan lebih lama lagi. Matanya berkaca. Titisan air jernih mula mengalir membasahi pipinya. Gadis itu menyeka air matanya yang berlinangan. Perjalanannya perlu diteruskan. Langkah terus diatur ke hadapan. Perlahan-lahan, pandangan matanya mula menangkap figura tembok besar yang dibuat daripada batu-bata. Akhirnya, langkahnya terhenti. Di hadapannya itu merupakan tembok pemisah sempadan antara dua buah kota. Sekali keluar dari sempadan, peluangnya untuk kembali ke kota ini amat tipis. Atau mungkin tidak ada lagi. Rambut panjangnya dibawa ke belakang, diikat gaya sanggul. Dia tekad. Hatinya membulat.


***


Arslan! Arslan!


Seorang lelaki berkulit sedikit gelap, berjambang putih dan berusia hampir separuh abad melangkah masuk ke dalam kedai yang tidak berpintu itu. Pandangan matanya melingkar di sekitar ruangan kedai yang dibina sepenuhnya daripada batu-bata yang tidak berbumbung dan berpintu itu. Dia memerhatikan pedang-pedang yang tergantung pada dinding kedai itu. Namun, tidak ada yang memenuhi kriteria yang dikehendakinya. "Arslan!" serunya lagi.


"Ya Pak Birki," satu suara menyahut dari belakang. Kain putih yang dijadikan langsir diselak. Seorang pemuda berkulit sawo matang, berusia sekitar 20-an muncul. Tubuhnya yang tidak berbaju dipenuhi keringat. Dia hanya memakai seluar hitam yang panjangnya paras ke betis. Rambutnya depannya yang hampir menyentuh kening ditolak ke atas. "Kot iya pun berilah salam dulu Pak Birki. Nak beli pedangkah, Pak Birki?" Lelaki yang digelar Pak Birki itu tersengih malu.


"Ya, Arslan. Tapi aku tak mahu pedang biasa. Aku mahu pedang yang unik, yang sekali dilibas, tertumpas terus musuh bajingan dari Kota Belista itu! Aku mahu mereka merayu-rayu kesakitan sambil meminta diampunkan atas kemusnahan yang mereka lakukan ke atas kota kita," bicara Pak Birki penuh semangat sambil mendabik dadanya.


"Kalau begitu kenapa Pak Birki tak kerja saja dengan kerajaan? Mereka pasti dibekalkan dengan senjata yang lebih canggih daripada pedang yang aku hasilkan. Aku dengar, tentera kerajaan boleh dapat makanan istana dan keluarga mereka yang wanita dibenarkan untuk bekerja di istana. Boleh jadi dayang, tukang jahit, tukang masak, atau mengajar kanak-kanak mengaji. Keselamatan di istana pun lebih ketat. Lumayan tu Pak Birki."


Pak Birki mendengus lemah. "Tak mahulah aku. Aku sayang rumah yang aku ada sekarang. Ibu Birki kau, isteri aku tu pun lebih selesa tinggal di situ. Lagipun dia bukan larat sangat buat kerja-kerja berat sejak jatuh sakit hari tu."


Arslan menyarungkan baju di tubuhnya. "Baiklah Pak Birki. Aku dah tahu sebenarnya, saja buat-buat tanya," Arslah tersengih menampakkan lesung pipitnya. "Kebetulan aku memang nak cari bahan di hutan belakang tu. Nanti aku carikan bahan untuk pedang Pak Birki sekali. InsyaAllah dalam tiga hari lagi Pak Birki boleh datang ambil."


"Baiklah Arslan. Nak masuk hutan tu hati-hati. Kadang-kadang ada tentera Belista berkeliaran di situ."


"Ini Arslanlah Pak Birki," Arslan mendabik dadanya pura-pura berlagak.


"Tiga hari lagi aku datang. Kirim salam aku kepada ibu dan kakakmu Aisha."


"Beres, pak." Arslan tersenyum mesra.

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now